Sayunya hati ibu bila anak kecilnya disahkan disleksia. Ada ibu sanggup berhenti kerja semata-mata nak bantu dan beri tumpuan pada anak.
Bila mana anak Ezatul Marini Mohd Ghazali disahkan disleksia, ibu ini tak patah semangat. Diusahakan agar anak yang tak boleh bertutur secara normal itu dapat dipulihkan celotehnya.
Apa pun mak jangan susah hati ya, kerana anak disleksia ini ada keistimewaan yang tersendiri.
Ilmu Bawaan Dia
Syakir Naeim Khaizuzafarin. Anak disleksia kami yang dahulunya payah untuk saya terima kekurangannya. Bukan payah kerana sombong tetapi payah memikirkan apalah nasibnya nanti.
Dia dilahirkan 13 tahun dahulu. Comel, sihat, tiada apa yang kurang hinggalah kami sedar dia tidak boleh bertutur secara normal. Bayangkan hingga usianya mencecah 2 tahun, perkataan yang mampu disebutnya amat terhad. Dia lebih selesa gunakan kaedah menunjukkan pada objek yang dia maksudkan.
Dia juga mencipta sistem kod sendiri. Contohnya O.I adalah kod yang digunakan tiap kali dia lapar atau haus. Lama kelamaan kami juga terbiasa dengan kod ini hinggalah kala membawa dia ke temujanji bersama pakar, saya ditegur kerana tidak biasakan dia dengan sebutan sebenar.
Proses mengajarkan dia perkataan dan komunikasi hanya berlaku secara sistematik setelah kami bawa dia ke beberapa kali perjumpaan pakar.
Itu pun setelah guru besar sekolah minta kami bawa juga dia untuk diagnosis masalah pembelajaran dek kerana hingga hampir 6 bulan di tahun 1 dia masih ketinggalan terutamanya dalam aspek bahasa.
Ads
Mudah Selesaikan Soalan Matematik Yang Sukar
Suatu hari kami kesan satu kebolehannya. Dia mampu selesaikan soalan matematik yang agak sukar untuk anak- anak sebaya dia. Dia juga cekap lahirkan rasa dengan lukisan. Bermain dengan komputer? Itu enteng untuk dia.
Kami bawa dia menjalani ujian diagnostik di Persatuan Disleksia Malaysia.
Berulanglah kami setiap Sabtu dari Tanjong Malim ke Titiwangsa untuk kelas beliau dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.
Ini Yang Buat Anak Disleksia Ini Seronok Masuk Kelas Khas
√ Setiap minggu, dia seronok ke kelas. Dan kami mula mencari-cari apa faktor yang menyebabkan dia teruja.
√ Pastilah jumlah pelajar dan pengajaran lebih berfokus menjadi sebab utama.
√ Guru yang mengajar adalah guru- guru yang memang dilatih untuk uruskan anak- anak disleksia. Mereka lebih maklum keperluan dan kaedah membantu anak- anak ini.
Ads
√ Buat pertama kalinya, di pusat inilah, adik Naeim dilepaskan untuk mengikuti aktiviti luar, bermalam di Hulu Langat.
√ Pada masa yang sama, dia sudah kami tukarkan dari kelas aliran utama ke kelas pendidikan khas. Pertukaran ini sangat membantu perkembangan positif pembelajarannya.
√ Dalam masa kurang 5 bulan, dia mampu membaca dan di penghujung tahun 1 pengajiannya, saya terkejut bila guru maklumkan, dia berjaya mendapat kedudukan pertama dalam peperiksaan.
Saya dan guru kelasnya sama- sama mengalirkan airmata merenung perjalanan dia hingga sampai ke tahap itu. Untuk anak normal itu biasa sahaja, tetapi untuk anak berkeperluan khas, itu satu lonjakan besar.
Anak Disleksia Ini Hadir Untuk Mengajar Ibunya Tentang..
Percaya atau tidak, saya tonton filem Taare Zameen Par untuk belajar kaedah meransang pembelajarannya. Saya cuba kaedah melukis huruf atas tangannya agar dia rasa perbezaan bentuk huruf. Alhamdulillah percubaan kami berjaya.
Ads
Dia dikirim Allah untuk kami belajar banyak perkara:
1. Syukur – Kami belajar mensyukuri setiap satu kurniaan kecil dan besar yang Allah berikan kepada kami. Jika kami rasa ujian kami ini besar, ada orang lain yang lebih hebat ujiannya
2. Terima seadanya – Pernah rakan tanyakan “kak, macamana ye kak terima keadaan Syakir yang begitu?”. Jawapannya, terimalah seadanya. Allah berikan dia sebagai amanah, biar bagaimanapun kami perlu terima dan tunaikan amanahnya
3. Sabar – Tidak hanya kami yang perlu bersabar selama melayani dia, segala sesuatu yang berlaku pada dia mengajarkan sabar kepada ramai insan lain. Abang kakaknya harus sabar, kaum keluarga juga. Selain disleksia, dia juga mempunyai sedikit masalah “psychological behaviour”. Dia memilih untuk memberi respon kepada hanya beberapa orang tertentu yang memberi dia rasa selesa. Itu juga menuntut banyak kesabaran.
4. Allah ada – Allah ada, Allah mendengar, Allah melihat dan Allah yang berkuasa mengubah jalan cerita hidup hambanya. Kini Syakir sudah 13 tahun. Banyak perkembangan positif yang telah dia capai. Itu sahaja sudah meningkatkan rasa syukur dan pergantungan kami pada kuasa Allah s.w.t
Sesungguhnya Syakir memberi kami banyak pengalaman yang penuh warna- warni. Dalam usianya kini, dia sudah boleh membaca, namun masih ada sedikit masalah menyusun perkataan dalam membina ayat.
Dari seorang yang pendiam, dia kini banyak celotehnya cuma susunan ayatnya seperti ayat dalam buku.
Melalui dia Allah kirimkan kami sekeluarga ilmu yang mahal maharnya.
Sumber/Foto : Ezatul Marini, Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang Perak.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak yang ada dua pusar di kepala selalu sangat dikaitkan dengan sikap nakal, keras kepala dan tak dengar cakap. “Ooo.. Patutlah dua pusar!” Bila dengar ada adik-beradik atau saudara mara jenis yang mulut laser kata macam itu dekat anak kita, mulalah hati mudah terasa.
Sedihnya, bukan kita yang tentukan pusar anak satu atau dua. Itukan anugerah Allah untuk ibu yang bertuah. Sebab itulah, tak boleh nak hakimi kenakalan anak-anak berdasarkan fizikal mereka, dua pusarlah, lesung pipitlah, kening bertangkuplah.. Rahsia kejadian itu semua di tangan Yang Maha Menciptakan.
Orang tua-tua memang banyak pengalaman, mereka lebih lama makan asam garam kehidupan. Melalui pengalaman itu timbullah petua-petua untuk panduan dalam kehidupan seharian. Meskipun zaman berubah, petua lama masih utuh dipercayai dan diamalkan.
Tidak setakat petua. Orang lama juga kaya dengan pengalaman hasil pemerhatian. Maka selalulah kita dengar orang menyebut istilah ‘kata orang-orang tua’.
Namun, tidak semua boleh dipercayai. Ada yang terbukti mitos semata-mata. Sebagai umat Islam kita harus memeriksa kesahihah fakta, dan mengetahui hukum agama sebelum menerima bulat-bulat sesuatu kepercayaan atau amalan.
Sering kita mendengar orang berkata anak dua pusar kepala sebagai nakal dan lasak. Entah di mana logiknya, tetapi itulah yang kerap dimomokkan orang.
Apabila ternampak kepala anakku berpusar dua, orang tua-tua terus mengingatkan supaya bersiap sedia dengan karenah anakku itu. Ada yang menyebutnya membesar banyak akal, ada yang melabelnya budak lasak tidak kurang juga yang berani melabelnya budak nakal.
Sebagai ibu baru, hati tentu tersentuh apatah lagi anak masih merah. Tetapi aku selalu memujuk hati mengambil yang positif saja. Dan membiarkan kata-kata orang berlalu seperti angin.
Apabila anakku semakin membesar, aku sedari karakter dirinya yang ekstrovert dan aktif. Dia mudah mengekspresikan emosinya. Dia suka menyanyi dan mempunyai keyakinan diri yang baik untuk kanak-kanak seusia empat tahun.
Tetapi memanglah adat kanak-kanak yang banyak ragamnya, anakku juga tidak terkecuali. Kadangkala dia menghiburkan tapi ada masanya ragamnya juga menyebabkan kami naik marah.
Satu hal yang tidak aku persetujui ialah meletakkan kesalahan kepadanya mengikut tanggapan ciri fizikal dua pusarnya itu.
Apabila dia berbuat silap kita segera memarahinya. Jika terlibat dalam perbalahan anak-anak, cepat saja kita menuding jari kepada si dua pusar tadi. Terkadang tidak sempat dia membela diri, dan belumpun kita selidik duduk letak perkara sebenar. Kita pantas menjustifikasikan situasi dan meletaknya sebagai pesalah.
Aku melihat perkembangan ini sebagai tidak sihat untuk pembinaannya sebagai individu yang bersahsiah mulia. Adakah berkepala dua pusar semestinya nakal? Wallahualam.
Pernahkah kita terfikir dua pusar di kepala ini ciri fizikal, sama juga seperti lesung pipit dan tahi lalat?
Menilik Rahsia Tahi Lalat
Apakah amalan menilik rahsia tahi lalat tidak sama dengan menilik rahsia ciri fizikal tubuh badan yang lainnya. Kening bertangkup, begini. Mata ke dalam begitu?
Adalah amalan ini tidak sama dengan memukul rata peribadi individu melalui zahirnya saja? Lebih sedih jika kita mengaitkan dengan mitos tahayul yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Tanggapan sebegini menanamkan stigma di dalam kepala individu di sekeliling anak tadi. Ibubapa misalnya terdorong memberi layanan tegas dan keras kepada anak ini semata-mata tidak mahunya menjadi nakal. ‘
Setiap langkah karenah anak sentiasa dibayangi dia dua pusar, maka akalnya banyak. ‘Dia dua pusar, maka dia lasak’. Ibu bapa secara tidak langsung telah meletakkan label kepada anaknya. Adakah adil memandang sikap indvidu berdasarkan ciri fizikalnya? Nah, tidakkah ia juga terpakai dalam situasi ini?
Anak Dua Pusarku Sama Saja Seperti Anak Lain
Ada waktunya apabila timbul rasa marah terhadap si anak, aku mengingat diri, dia sama saja seperti anak lain. Akhlak dan adabnya dibentuk oleh aku dan suami. Sikap dan pembawaan karakternya terbentuk oleh persekitarannya membesar.
Generalisasi dan kata orang tua-tua tidak membantu perkembangan anak-anak. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab kita mendidiknya menjadi anak yang baik seperti diidamkan oleh semua.
Semoga kita diberikan kesabaran melayani dan mengasuh anak-anak.
Sumber/ Foto : Blog Aminah Hafizah, cerpen.co.id
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siapa yang ada anak-anak lelaki, dia punya kekalutan itu cuma mak-mak saja yang faham. Bila datang angin ribut, anak lelaki bergaduh memang seakan boleh runtuh rumah.
Sampai satu tahap, mak-mak dah tak kuasa lagi nak beri amaran keras, melainkan denda cara HALUS lagi tegas. Inilah yang dipraktikkan Bonda Nor ketika berdepan situasi anak-anak lelaki bergaduh lagi.
Imran Dan Izhan Bergaduh Lagi
Mama tengah kalut fikir nak bersiap untuk fly hari ini, terdengar dentam dentum bunyi di tingkat atas. Jerit pekik kedua-duanya memekakkan telinga.
Huh. Imran dan Izhan bergaduh lagi!
Memang selalu macam ni. Masa baik bukan main baik. Bila bertekak, memang rumah rasa nak terbalik. Debush, debush! Tendang itu ini. Masing-masing akan histeria!
Dak abah dah berlari ke atas, marah-marah. Soal siasat, cuba mencari punca. Makin riuh jadinya. Huh. Mama dah tahu sangat. Kedua-dua hero ini takkan ada yang nak mengaku bersalah. Lagi ditanya, lagi kuat berbalah. Makin kuat tangisannya.
“Mari sini! Dua-dua berdiri kat sini. Berdiri tegak saja. Jangan buat apa-apa. Jangan cakap apa-apa. Berdiri saja!”
Akhirnya mama terpaksa masuk campur.
Kedua-duanya diam. Airmata masih berjuraian. Tapi diam.
Mak Guna Cara Paling RARE Diamkan 2 Anak Lelaki Bergaduh
Saya biarkan saja. Memang ini antara pendekatan saya dalam mendiamkan anak-anak bila mereka bergaduh. Kita jadi pengadil, kena kawal emosi kita dulu, baru boleh kawal situasi yang berlaku.
Masa mereka kecil, bila bergaduh, saya akan suruh mereka berpeluk sesama sendiri. Kaedah ni memang menjadi sejak zaman Najla dan Najdah lagi.
“Peluk lagi! Peluk kuat-kuat!”
Dan biasanya kemarahan mereka akan berakhir dengan ketawa. Memang pelukan menghasilkan lega.
Tapi bila mereka sudah semakin besar, kaedah peluk mungkin sudah kurang berkesan. Mereka sudah mula ada ego. Selagi kekusutan tidak dihuraikan, mereka takkan puas hati.
Tapi masalahnya, kekusutan tak boleh dileraikan ketika masing-masing sedang mengamuk. Jadi, apa yang saya buat ialah beri mereka tempoh bertenang.
Ini Teknik Pandang Dinding Kosong
√ Berdiri tegak. Pandang dinding yang kosong. Terlebih baik jika ianya dilakukan di mihrab. Iaitu ruang khas dalam rumah yang selalu digunakan untuk solat.
√ Ambil tempoh bertenang. 10 minit, 15 minit. Perhatikan mereka. Jika masing-masing sudah mula tampak lenguh, panggil mereka mengadap kita.
Masa ni, baru tanya punca. Baru adili keadaan sebaik-baiknya. Dan akhiri dengan sesi bermaaf-maafan.
Anak-anak sedang memberontak, mak ayah jangan sama turut terpekik. Kadang diam kita, suara perlahan dan tegas kita adalah lebih baik. Pandangan tajam kita kadang lebih mampu mengawal mereka berbanding teriakan kita.
Kawal emosi sendiri, insya-Allah, kita boleh kawal situasi.
Akhirnya Mak Tahu Cerita Sebenar, Apa Pun Mak Kena Bertenang
“So, apa cerita? Kenapa bergaduh tadi?”
“Abang Im pukul Hadif, lepas tu Hanis nak lari beritahu mama. Dia marah. Tutup pintu. Dia tangkap Hanis tak bagi pergi.”
“Bang Im bukan pukul Hadif kuat pun, ma. Bang Im nak gurau je. Sebab tu Bang Im tak bagi Hanis bagitau mama.”
Huh, itu je?
“……..”
“……..”
“……..”
Dan bermulalah ceramah percuma mama di pagi Ahad nan indah.
“Dah, salam. Minta maaf.”
Mereka bersalaman. Berpelukan.
2 minit kemudian, terdengar jerit pekik mereka ketawa menuruni tangga.
Hmmm.. gasak! Namanya pun budak-budak. Memang boleh giler kalau take serious semua perbalahan mereka.
Perangai atau sifat anak kedua ini selalu dikaitkan dengan kenakalan mahupun degil. Sampaikan wujud istilah sindrom anak kedua. Hakikatnya, baik anak kedua mahupun anak pertama waima ketiga sekalipun, mereka mempunyai karektor yang tersendiri. Pandai ibu membentuk jadilah mereka anak-anak yang hebat.
“Saya dulu lawyer. Berhenti kerja buat online bisnes sebab nak jaga anak depan mata.”
Fayyadh Anak Kedua Yang Banyak Berkorban
Hari ni hari bertemu guru di sekolah Fayyadh. Membincangkan tentang performance untuk beberapa bulan ini.
Fayyadh anak kedua yang secara peribadi banyak berkorban sebenarnya.
Hadirnya Fayyadh di saat mama sibuk mengejar kerjaya. Boleh dikatakan, kehadiran yang tidak berapa dinantikan waktu itu.
Masih segar dalam ingatan bila tiba saat nak melahirkan. Apa barang pun tak ready. Dalam perjalanan ke hospital baru sibuk nak cari pampers sana sini.
Dalam menahan kesakitan nak bersalin, sempat lagi singgah dari satu stesyen minyak ke satu stesyen minyak cari pampers.
Emosi mama sepanjang mengandung juga tidak menentu. Arghh! Sakit! Jika diingat kembali. Lumrah anak nombor dua kiranya.
Dalam pantang, mama masih sibuk dengan tanggungjawab kerja. Ambil sekadar mahu susukan kemudian letak ke tepi sibuk kembali dengan kerjaya. Dalam pantang sudah ditinggalkan, kerana mama sibuk bertemu client sana sini.
Aduh! Sampai tak sedar bila anak ini membesar. Terlalu banyak dia berkorban sebenarnya. Sering mengalah memberi ruang pada abang yang cemburu tidak berkesudahan.
Tapi dia bijak mengambil hati, saat mama pulang keletihan dari bekerja. Diambil air buat mama basahkan tekak. Di saat bilik mama macam baru dilanda taufan, dikemas cantik tersusun rapi.
Janji insan di sekelilingnya bahagia. Walaupun ada kala dia sakit menahan luka.
Hari ini bila bertemu guru, mama sebak menahan air mata.
Semua Puji Anak Kedua Ini Baik Sifatnya
Dari satu guru ke satu guru. Semua puji Fayyadh anak yang baik.
“Fayyadh kalau saya marah dia hari ini. Esok mesti dia cari saya mintak maaf”
“Di saat orang lain tak mahu berkawan dengan Armi, Fayyadh yang akan suruh Armi duduk di sebelah dia dan ajarkan Armi siapkan kerja sekolah”
“Ada satu hari Armi kena denda tak dapat main di padang. Tapi Fayyadh datang pada saya, minta agar benarkan Armi main bersama”
“Saya tak nampak Fayyadh ada masalah dalam pembelajaran, dia sama sahaja macam student lain. Banyak perubahan dia dari awal dia masuk dahulu. Dia bijak, dia boleh faham dan buat apa pun arahan saya”
“Bila dia tengok saya tengah minum air, cepat je dia nak tolong angkatkan cawan siap basuhkan lagi”
“Fayyadh banyak sangat perubahan, memang perubahan yang amat ketara. Saya sendiri nampak perubahan dia”
“Patutlah Fayyadh hebat. Didikan mama dan papa dia mantap”
Allahu, serius saya sebak.
Anak-anak hadirnya sebagai guru pada ibu ayah.
Maafkan mama sayang. Mama tahu Fayyadh anak hebat. Doa mama agar Fayyadh dan semua anak-anak mama berada dalam Rahmat, kasih sayang dan perlindungan yang Maha Berkuasa.
Buat Guru-guru
Ash Shura Institute of Quranic Sciences – ASIQS, kalian luar biasa. Terima kasih atas tunjuk ajar, keikhlasan dan kasih sayang yang diberikan dalam mendidik anak bangsa.
Sama-sama kita bantu dalam membentuk generasi “anak-anak kita” lahir dalam generasi yang terdidik hebat duniawi mahupun ukhrawi.
Seharusnya mak ayah memahami dan tidak menyalahkan sifat anak kedua dalam proses mendidik anak-anak menjadi insan terbilang. Mereka akan jadi hebat, andai mak ayah hebat cara membentuk karektor dan kejayaan anak-anak.
Sumber/Foto: FB Zura Betty
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...