Jaga isteri sakit? Jarang dengarkan? Selalunya dengar isteri ditinggal macam tu saja oleh si suami. Sebenarnya ada banyak kes suami jaga isteri yang terlantar sakit bertahun-tahun lamanya. Kisah yang seharusnya diteladani oleh golongan lelaki ini sayangnya jarang diberikan publisiti.
Ikuti perkongsian daripada HM TUAH ISKANDAR al-Haj (www.drtuah.com), motivator, yang pernah kongsikan artikel ini di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Hairan juga mengapa orang lelaki jarang hendak mengetengahkan kes mereka sedangkan apabila kejahatan berlaku, misalnya seorang lelaki meninggalkan isteri dan anak-anaknya yang masih kecil, berita tentangnya tersebar dengan meluas.
Saya ingin kongsikan kisah seorang suami berhenti kerja kerana mahu jaga isterinya yang langsung tidak dapat bergerak akibat satu kemalangan jalan raya di Melaka lebih lapan tahun lalu dan wanita ini adalah kenalan lama saya, sekira-kira 30 tahun yang lampau.
Selama lapan tahunlah si suami ini menjaga isterinya yang lumpuh tanpa keluh-kesah. Apabila keadaan isterinya semakin teruk, dia mengambil pencen awal agar dapat memberikan lebih perhatian.
Sesungguhnya, ini amat luar biasa sekali. Syabas, tahniah dan juga terima kasih kita ucapkan. Seterusnya, saya cuba mendapatkan maklumat sampingan daripada ahli keluarganya, tetapi juga gagal.
Satu segi sikap begini amat baik untuk kekal ikhlas namun pada satu segi yang lain, terlalu isolated menyebabkan masyarakat tidak terdedah oleh kisah-kisah yang sarat motivasi.
Apalagi kisah seperti kenalan saya ini bukan selalu ada. Yang selalu kita dengar, isteri yang sudah tidak boleh berbuat apa-apa itu ditinggalkan suami hidup penuh daif, selalunya dipelihara dengan susah payah oleh ibu bapa sendiri ataupun adik beradik mahupun anak-anak sahaja.
Sepanjang 19 tahun saya dalam bidang motivasi ini, memanglah saya menjadi tempat masyarakat mengadu atas pelbagai hal, salah satu yang paling banyak jumlahnya ialah tentang masalah rumah tangga.
Boleh saya katakan daripada 1000 masalah yang sampai, satu adalah tentang suami/lelaki yang baik, selebihnya anda boleh agak sendiri. Sebab itu, apabila saya mendapat kisah seperti di atas, saya teruja untuk menceritakannya secara lebih detail untuk memberikan motivasi terunggul terhadap semua pihak.
Anjuran berbuat baik kepada isteri adalah sesuai dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “… Dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik.” – Surah An-Nisa ayat 19.
Merenung ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa hukum berbuat baik kepada isteri adalah wajib. Ia merupakan satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap suami, apalagi dalam tempoh si isteri sakit berat lebih-lebih yang berpanjangan dan tiada harapan sembuh.
Mereka yang berbuat baik kepada isteri ini disamakan dengan kesempurnaan iman sebagaimana hadis berikut, “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-sebaik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya.”– At-Tirmidzi.