Masih Dalam Berpantang & Emosi Tak Stabil, Pelakon Mia Ahmad Bukan Mahu Meraih Perhatian

Share

Emosi ibu dalam tempoh berpantang selalu tidak menentu.Rasa lelah ketika melahirkan anak masih terasa keletihannya.Ditambah berhadapan situasi baru untuk menyesuaikan diri menjaga anak yang baru lahir. Emosi yang masih tidak stabil ini pastinya boleh terganggu lebih-lebih lagi jika ada perkara yang menggugat jiwa.

Ramai mengetahui pelakon drama bersiri ‘Hati Perempuan’, Mia Ahmad baru sahaja melahirkan bayi lelaki,Sayf Issa pada 28 September lalu serta masih dalam tempoh berpantang. Namun ada desas desus mengatakan rumahtangga isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi,27 sedang bergolak.

Kongsi Entri Terbaru

Plot cerita ‘drama’ dalam rumah tangga Mia Ahmad dan pemain bola sepak, Mohd Izham Tarmizi Roslan makin hangat apabila pelakon itu berkongsi entri terbaru di Insta Story Instagramnya yang menyentuh mengenai akibat perbuatan berbohong.

Status berbunyi ‘A lie may take care of the present, but it has no future’ (penipuan mungkin boleh menyelamatkan situasi sekarang, namun tiada jaminan masa depan) pantas mencetuskan spekulasi berhubung rumah tangga Mia dan Izham yang sebelum ini dilaporkan ‘diganggu’ pihak ketiga.

Memetik laporan daripada BH Online yang cuba mendapatkan reaksi pelakon Hati Perempuan itu,namun Mia hanya mengulas:

“Apa terjadi selepas ini, saya reda…. Saya tak mampu menjangka lebih jauh.”

Kelmarin, Mia ada berkongsi entri di laman sosial yang antara lain membawa maksud “Allah meletakkan seseorang dalam hidup ini bersebab dan menyingkirkannya untuk alasan yang lebih baik” menyebabkan nama Mia dan hubungan perkahwinannya hangat diperkatakan.

Tidak cukup itu, tindakan Mia memadamkan semua foto suami tersayang yang juga penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT) memberi bayangan seolah-olah rumah tangga mereka bagaikan ‘telur di hujung tanduk’.

Masih Berpantang & Emosi Jadi Tidak Stabil

Mengulas perkara itu, Mia dilaporkan berkata, tindakannya itu berlandaskan alasan kukuh.

“Saya buat ini semua bukan kerana mahu meraih perhatian. Saya buat kerana tercabar dengan suami dan orang di sekeliling.

“Ditambah dengan keadaan saya yang masih berpantang, emosi saya jadi tak stabil. Jadi, orang luar nak hukum itu atau ini… Terpulanglah.

“Selama ini, saya terbuka berkongsi hal peribadi termasuk kehidupan. Tak semua indah, pasti ada turun naik. Mungkin juga semua ini bahagian dan ujian dalam hidup saya,” katanya.

Cubaan Memporak Peranda Rumahtangga

Sementara itu, Izham dilaporkan mendakwa apa yang berlaku ada kaitan dengan cubaan sepasang kekasih yang dikatakan mahu memporak-perandakan rumah tangga mereka.

“Perkara ini terjadi sejak tiga minggu lalu. Saya kurang pasti apa motif mereka. Malah, lelaki terbabit seolah-olah mahu cakap saya ada hubungan dengan kekasihnya.

“Malah lelaki berkenaan menghubungi Mia memaklumkan saya ada hubungan dengan teman wanitanya,” dakwanya yang tidak teragak-agak membuat laporan polis terhadap pasangan itu.

Mia atau nama sebenarnya, Shamiha Ahmad Baderi,30 dan Izham, 27, berkahwin pada 13 Januari 2017 di Taiping, Perak, selepas setahun berkenalan.

Mingguan Wanita mendoakan yang terbaik buat rumahtangga pasangan ini.Semoga perkahwinan ini masih dapat diselamatkan dan menemui jalan penyelesaiannya. Emosi ibu yang dalam berpantang selalunya masih dalam tidak stabil, sokongan suami dan orang sekeliling amatlah penting sepanjang tempoh ini.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab