Masih Berbaki 10 Hari Awal Zulhijah, Untungnya Bila Buat Amalan Ini

Share

Tinggal beberapa hari lagi nak sampai 10 Zulhijah. Masa ini umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha. Jadi, sebelum bermulanya takbir Aidiladha, marilah gunakan masa yang berbaki ini untuk gandakan amalan kebaikan di 10 hari awal Zulhijah ini.

Seperti yang dikongsikan Najmi Farisham, mahasiswa Islamic University of Madinah ini, ada keistimewaan dalam 10 hari awal Zulhijah ini yang tuhan kumpulkan untuk hambanya. Sebab itulah, beruntung jika segera rebut amalan yang masih berbaki ini.

Terhimpun Ibadat Besar Dalam 10 Hari Awal Zulhijah

Kita sudah berada di 10 hari awal Zulhijah. Hari-hari yang mana Tuhan sebutkan khas di dalam al-Quran. Suatu hari yang dikhabarkan oleh Baginda SAW bahawa amal soleh yang dilakukan padanya sangatlah dikasihi Allah SWT.

Istimewanya hari-hari ini kerana terkumpul beberapa ibadat besar padanya. Ada solat, puasa, sedekah dan haji. Ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sekaligus dalam satu-satu masa.

Disebabkan itulah, kita semua disunatkan untuk perbanyakkan amal ibadat pada 10 hari ini. Sudah semestinya ia mempunyai kelebihan yang besar di sisi agama. Lakukan dan tingkatkanlah amal kebaikan pada hari-hari ini.

Amalan 10 Hari Awal Zulhijah

Antara yang boleh dilakukan adalah:

1. Sentiasalah solat berjemaah dan lazimilah masjid selalu. Perbanyakkan solat-solat sunat tidak kira masa dan waktu.
2. Digalakkan berpuasa sunat. Sama ada puasa Isnin Khamis ataupun Puasa Nabi Daud iaitu puasa selang sehari. Hari ini puasa, esok tak, lusa puasa balik.
3. Perbanyakkan zikir Takbir, Tahlil dan Tahmid kepada Allah SWT

tidak kira masa dan tempat.
4. Perbanyakkan juga mengaji al-Quran. Hari-hari biasa pun, setiap satu huruf diberi 10 pahala. Inikan pula hari-hari terbaik dalam setahun ini.
5. Berpuasa pada hari Arafah. Puasa ini disunatkan kepada mereka yang tidak menunaikan fardu haji. Oleh kerana tahun ini, kita semua tidak berpeluang ke sana, ambil peluang besar ini sama-sama.
Sebuah hadis Nabi SAW menyatakan bahawa Puasa Hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun akan datang. Lumayan kan?
6. Perbanyakkan bersedekah infak kepada mereka yang memerlukan. Setiap satu infak itu akan digandakan 70 kali kebaikan pahalanya. Bayangkan dibuat pada hari yang dikasihi Tuhan. Dahulukan kaum kerabat kita dahulu. Pasti lebih afdal.

Paling Penting! Jangan Lupa Berdoa..

Ini antara amalan ibadat yang boleh kita buat sepanjang 10 hari awal Zulhijah ini. Dan paling penting, jangan lupa untuk berdoa. Ini pengharapan dan kebergantungan kita pada-Nya. Doakan diri sendiri, kaum keluarga dan umat Islam seluruhnya.

Khabarkan kepada kenalan kita semua akan kelebihan 10 hari ini. Boleh jadi ada yang langsung tak perasan dek sibuk itu dan ini. Sama-sama kita cuba sebaik dan semaksima mungkin ya, insya-Allah.

Itulah.

Sumber/Foto : Najmi Farisham, sebarkan manfaat. *Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.

Published by
NETTY AH HIYER