Masalah Umpama Sebiji Bola. Terpulang Macam Mana Nak Kawal Dan Menang

Share

Masalah umpama sebiji bola. Ada tak orang yang dalam hidupnya tak pernah ada masalah atau kesulitan? Saya pernah mengisi satu slot dalam satu seminar yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan. Saya diminta untuk memberi pandangan saya tentang ‘masalah’.

Masalah Sebahagian Dari Hidup

Saya sentiasa berpandangan bahawa masalah adalah sebahagian dari hidup setiap makhluk tidak kira baik manusia, binatang atau yang lain-lain.

Mudah kata, tiada satu makhluk pun yang tiada masalah. Setiap makhluk wajib ada masalah.  Apa yang membezakan setiap dari kita adalah sebesar mana masalah yang kita hadapi dan bagaimana kita bertindak balas ketika berhadapan dengan setiap masalah.

Pada saya, kecil besar sesuatu masalah adalah subjektif.  Ini kerana ada masalah yang pada kita kecil tetapi pada orang lain ianya begitu besar.  Begitulah sebaliknya.

Masalah Sesuai Dengan Bahu Yang Memikul

Masalah yang kita hadapi sentiasa sesuai dengan bahu yang memikul. Kita tidak akan diberikan masalah yang lebih besar dari bahu hingga kita tidak dapat memikulnya. Perkara yang selalu kita terlepas pandang apabila berbicara tentang masalah adalah bagaimana kita meletakkannya di bahu kita agar ia tidak jatuh hingga kita pun ikut terjatuh.

Justeru, adalah sesuatu yang aneh jika bercita-cita untuk tidak punya masalah sedangkan ianya adalah pakej kehidupan setiap makhluk. Masalah adalah proses kematangan kita dalam menjalani kehidupan ini.  Tanpa masalah kita pasti akan sentiasa kebudak-budakan. Bahkan kadangkala ada masalah yang kita hadapi secara kebudak-budakan hingga menambah beban emosi.

Baca artikel menarik lain di sini

70 Tahun Terpisah, Lelaki Ini Sanggup Merentas 350 Kilometer Untuk Bertemu Ibu Kandung

Petua Elak Isi Kerang Kecut, Bubuh Cuka & Gaul Dengan Ais, Memang Menjadi!

Ibarat Sebiji Bola

Sejak dari dulu lagi saya menyatakan yang masalah ini adalah ibarat sebiji bola yang sedang direbutkan dalam permainan bola sepak.  Bukankah lebih mudah jika setiap dari pemain itu diberikan sebiji bola agar mereka tidak kelelahan berebut-rebut mengejar sebiji bola.

Pasti ada yang tersenyum mendengar saranan sedemikian kerana jika setiap pemain diberikan sebiji bola seorang maka permainan bolasepak tidak akan ada keseronokannya.  Mereka lebih seronok berebut bola dan mengejar antara satu sama lain.

Pastikan Ia Dikawal Dan Tak Dirampas

Saya melihat bola itu adalah satu masalah. Ia perlu dipastikan dapat dikawal dan ia juga perlu dipastikan agar tidak dirampas oleh pihak lawan. Setiap pasukan akan membuat strategi masing-masing untuk mengawal permainan seterusnya dapat memenangi perlawanan tersebut.

Jika kita menganggap masalah itu seperti sebiji bola yang sedang dimainkan maka kita perlu menikmati permainan ini. Masalah yang dianggap seperti satu permainan insya-Allah tidak akan membuatkan kita tertekan kerana kita akan sentiasa bersiap sedia untuk mengawal keadaan dan sentiasa memastikan yang masalah tersebut tidak jatuh ke tangan pihak lawan.

Emosi Adalah ‘Musuh’

Apa yang menariknya dalam permainan bolas sepak kehidupan ini, musuh itu adalah emosi kita sendiri. Jika dibiarkan masalah dikawal oleh emosi maka kita pasti akan kalah.  Kita kalah kerana kita sentiasa akan membuat keputusan yang salah. Kita kalah kerana kita lelah untuk berhadapan dengan masalah lainnya kerana masalah hanya akan hilang apabila nafas kita berhenti buat selamanya.

Sewaktu kita di dunia ini kita diberi kebebasan untuk mengawal masalah dan dapat memberi reaksi terhadapa apa juga masalah yang datang. Tetapi nanti di alam kubur, kita sudah tidak bebas lagi untuk memberi reaksi terhadap masalah datang.

Masalah di dunia ini adalah satu bentuk latihan untuk kita memikirkan jalan hidup kita seterusnya agar kita sentiasa berwaspada dalam tindakan kita seharian. Kita perlu berhati-hati agar kita tidak melakukan banyak kesalahan hingga ia akan memberi masalah di alam kubur biarpun ketika di dunia ia tidak dianggap satu masalah.

Nikmati Saja

Kita perlu sentiasa menikmati masalah yang datang agar ianya tidak menyentuh emosi kita secara mendalam dan memegang kita dengan masa yang agak lama.  Kita peru berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap masalah yang datang agar reaksi yang diberi tidak mencacatkan iman kita.  Kita juga perlu sentiasa memastikan masalah setiap masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan sesegera mungkin agar ianya tidak berpanjangan hingga keliang lahat.

Masalah adalah satu permainan. Permainan memerlukan kemahiran.  Permainan memerlukan strategi. Permainan memerlukan jurulatih. Jurulatih yang bagus adalah jurulatih yang pernah menjadi pemain kemudian dilatih untuk menjadi jurulatih. Satu hal yang perlu kita lakukan dengan segera adalah mencari jurulatih yang benar-benar mahir hasil dari pengalaman dan pembelajaran.

Strategi Dalam Memberi Reaksi

Jurulatih sebegini sangat diperlukan untuk kita mengasah kemahiran sedia ada dan dapat memberi kita strategi dalam memberi reaksi yang tepat untuk sentiasa mengawal bola ‘masalah’ dan seterusnya menjaringkan gol kemenangan.

Carilah mereka yang Berjaya mengharungi gelora tsunami kehidupan untuk kita nikmati hidup ini. Jauhi mereka yang hanya bercerita tentang gelora tsunami. Permainan bukanlah hanya satu teori. Permainan adalah satu tindakan yang jelas.

Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP  Gold Master Trainer (NFNLP, USA)

Jangan lupa follow kami di:

Facbook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Published by
webadmin