Masakan Mak, SIMPLE Tapi SEDAP. Itulah Keberkatan Untuk Anak Ingat Sampai Bila-Bila

Share

Masakan mak. Itulah makanan yang kita akan cari setiap kali balik kampung. Goreng telur mata pun rasa sedap, asalkan itu mak yang masak. Betapa ajaibnya air tangan ibu. Pergilah mana-mana, mesti tak dapat tanding dengan masakan mak. Betul tak?

Masakan mak jugalah yang cuba kita masak tapi mesti tak jadi dan tak sama kan. Hebatnya. Itulah keberkatan air tangan ibu dalam menyediakan makanan untuk suami, anak dan keluarga. Namun, ada juga mak-mak sekarang ini tidak cukup masa untuk memasak buat hidangan keluarga dan hanya membeli di kedai sahaja. Kita tak tahu dengan gaya pemakanan di luar itu telah mencorak keperibadian anak-anak.

Perkongsian daripada Zulkifli Che Noh tentang pengaruh budaya pemakanan ibu ayah kepada anak-anak ke arah pembentukkan dan keperibadian anak nanti.

Setiap Hidangan Berbeza

Kata orang, masakan ibu adalah hidangan paling sedap biar pun ringkas dan biasa-biasa sahaja.

Ya, ibu adalah orang yang bertanggung jawab memperkenalkan makanan kepada anak-anak semenjak di alam rahim lagi. Andai ibu gemar memakan petai, anak di dalam kandungan turut menikmatinya secara tidak langsung.

Begitulah kuatnya pengaruh gaya pemakan ibu dan ayah kepada anak-anak. Ibu bapa yang berketurunan Melayu sudah pasti berbeza menu hidangannya berbanding Cina, India dan sebagainya.

Begitu juga, taraf ekonomi dan sosial yang berbeza turut menentukan gaya pemakanan anak-anak.

1. Ibu Ayah makan manis, anak-anak pewaris Diabetes.

“Kenapa air ni tak manis, tak letak gula ke?” adu ayah mertua kepada anak perempuannya.
“Ayah, dah manis sangat ni!” Rasa gula melekat di tenggorokan saya.

Ketika baru berkahwin, saya agak terkejut dengan kemanisan hidangan harian keluarga ini. Namun, lama-kelamaan, lidah saya semakin dapat menerimanya.

Jika tidak dibendung, tabiat ini akan menjadi budaya. Maka, tidak hairanlah penyakit kencing manis ayah turut diwarisi oleh anak-anak pula.

Demikianlah, penyakit-penyakit berbahaya yang lain seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Alasan yang selalu didengar, “Keturunan kita memang ada penyakit kencing manis!” Benarkah begitu? Ibu ayah … anda mampu mengubahnya!

2. Pantang lalu, pasti sapu

Ibu ayah yang bijak hanya membenarkan makanan yang dipastikan halal dan bersih sahaja mengisi perut anak mereka.

Mereka yakin, makanan mempunyai pengaruh terhadap pembentukan jiwa dan keperibadian.

Anak-anak memerhati, bagaimana sensitiviti ibu bapa mereka ketika memilih restoran atau kedai makan untuk menjamu selera. Mereka juga meneliti, apakah jenis makanan yang menjadi kegemaran.

Andai, ibu ayah jenis ‘pantang lalu, pasti sapu’, ‘asal trending, mesti mahu’ tanpa memikirkan tentang status halal atau ragu, anak-anak juga akan terbiasa begitu.

3. Ibu ayah wara’ anak-anak khusyu’

Selesai menceduk lauk pauk, dia menghulurkan pinggannya kepada juruwang untuk ditentukan harga makanan.

Ketika mula menyuap ke mulut, dia baru perasan telor dadar yang diambil tadi bertindan. Dia segera bangun mengadu kepada juruwang. “Tadi, harga telor dadar ni, kira sekeping atau dua?” soalnya gusar.

Setelah mendapat penjelasan juruwang, baru wajahnya bertukar tenang. Saya terpegun, memerhati gelagat beliau dari meja sebelah.

“Tidak hairanlah, anak-anak beliau kelihatan sangat sopan dan cerdas. Ia lahir dari seorang ibu yang solehah!”

Kesimpulannya, ibu ayah yang mengambil berat soal apa yang ditelan anaknya akan menuai generasi anak-anak syurga yang sihat dan berkat, menyejukkan mata.

Sabda Rasulullah yang bermaksud; “Setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram maka neraka lebih berhak baginya.” (HR. Thabrani).

MW: Dalam memberi makanan pada anak-anak, mak ayah jangan terlalu ikutkan kehendak anak terutamanya dalam pemilihan makanan segera. Sebab inilah yang boleh mempengaruhi perkembangan anak-anak nanti.

Sumber: Zulkifli Che Noh
Hati-hati Anak Memerhati 2.0: Pengaruh Budaya Pemakanan Ibu Ayah Kepada Anak-anak)

Published by
Nora