Masak Nasi Goreng Jimat Masa…Tak Perlu Lauk Lain, Semua Zat Ada

Share

Aduh..Kadangkala pening kepala memikirkan apa yang nak dimasak apatah lagi hari ini  ada banyak kerja untuk dibereskan (work from home). Lantas tercari-cari hidangan yang lebih ringkas tetapi lengkap terkandung pelbagai zat di dalamnya. Apa kata anda cuba resipi nasi goreng ini. Lebih mudah kerana ia tidak perlukan lauk pauk sampingan lain.

Selain itu, boleh dimasak untuk makan tengah dan makan malam sekali gus. Masa dan tenaga juga boleh dijimatkan. Selamat mencuba!

NASI GORENG AYAM

BAHAN-BAHAN:

175 gram nasi putih

2 ulas bawang putih  – ketuk

3 sudu makan cili giling

1 biji telur

100 gram sawi      –  potong

100 gram kubis     – potong

Garam secukupnya

1 ketul ayam ( paha / dada )

Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK :

  1. Untuk memasak nasi goreng; Panaskan minyak, tumis bawang putih yang telah diketuk bersama cili giling sehingga naik bau.
  2. Masukkan telur, garam, sawi dan kubis.
  3. Masukkan nasi dan gaul hingga rata. Angkat dan ketepikan.
  4. Untuk memasak ayam, panaskan minyak dan goreng ayam yang telah diperap bersama serbuk kunyit dan garam. Angkat dan sedia dihidangkan bersama nasi goreng.

NASI GORENG TOMYAM

 BAHAN-BAHAN:

175 gram nasi putih

2 ulas bawang putih      – ketuk

50 gram kacang panjang –  hiris halus

50 gram daun limau       – hiris halus

50 gram anak jagung     – hiris haus

1 batang serai                – hiris halus

Sedikit daun limau purut – hiris halus

1 sudu makan pes tomyam

1 biji telur

100 gram isi ayam     – potong

100 gram  udang        – bersihkan

100 gram  sotong        – potong nipis

1 biji cili merah/cili padi  – potong

Garam secukupnya

Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih yang telah diketuk bersama bahan yang telah dihiris. Masukkan telur, garam, sotong, ayam, udang, dan pes tomyam. Kacau sekata.
  2. Masukkan pula nasi dan gaul hingga sebati dan taburkan sedikit daun limau purut dan cili merah/cili padi jika hendak lebih pedas.
  3. Sedia dihidangkan dengan salad dan timun berserta sup kosong.

NASI GORENG KERABU

BAHAN-BAHAN:

175 gram nasi putih

2 ulas bawang putih       – ketuk

50 gram kacang panjang   – hiris halus

50 gram daun limau       – hiris halus

50 gram anak jagung     – hiris haus

1 batang serai                – hiris halus

1 batang bunga kantan – hiris halus

50 gram kubis                – hiris halus

50 gram lobak merah     – hiris halus

1 biji telur

100 gram isi ayam          – potong

100 gram udang             – bersihkan

100 gram sotong            – potong nipis

50 gram taugeh

1 biji cili merah              – potong

Garam secukupnya

Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih yang telah diketuk bersama bahan yang telah dihiris.
  2. Masukkan telur, garam, taugeh, isi ayam, sotong dan udang.
  3. Masukkan pula nasi dan gaul hingga rata serta taburkan sedikit hirisan serai dan cili merah.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan.

Resipi: Terima kasih Majalah RASA.

 

Published by
Nurul Azwa