Maryam Durian Kimchi, suami pilih Rina. Itulah nama yang diberi oleh pasangan popular yang juga selebriti media sosial Maryam You Narae atau lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi dan suami, Ryzal Ibrahim untuk anak sulung mereka.
Perkongsian tersebut diumumkan oleh Ryzal dan nama yang diberikan bersempena gabungan nama mereka, Rizal dan Narae.
Maryam Durian Kimchi, Suami Pilih Rina
Pasangan yang mendirikan rumahtangga pada 15 Ogos 2019, yang pada awalnya menetap di Seoul sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada September 2020 kini sudah bergelar ibu bapa.
Paling menggembirakan Ryzal juga memberitahu isterinya selamat bersalin dan anak yang dilahirkan juga sihat. Ryzal juga sangat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan teruja apabila dapat mendukung dan membelai puteri sulung kesayangan.
“Assalamualaikum warahmatullah.
“Masya-Allah comelnya puteri kesayangan genggam erat jari ayahnya.
“Saya namakan puteri kami Rina (Rizal + Narae).
“Kalau Rizal Maryam jadi Rima, lari nurse dengar nama anak,” tulis Ryzal.
Allah Permudahkan Maryam Bersalin
Menerusi hantaran terbaru di Instagram, Maryam yang juga anak kelahiran Korea Selatan telah berkongsi beberapa foto dirinya dan Ryzal sedang memangku bayi perempuannya.
Ads
“Alhamdulillah. Baby dan Maryam sihat. ALLAH mudahkan bersalin.
“Terima kasih semua doakan saya,” kongsinya.
Untuk rekod pada Jun lalu, Maryam pernah berkongsi bayi dikandung adalah perempuan dan mempunyai wajah seiras suaminya, Ryzal.
Mingguan Wanita : Kami juga ingin ucapkan tahniah buat Maryam dan Ryzal. Selamat berpantang buat Maryam dan semoga anak yang dilahirkan menjadi anak yang solehah apabila dewasa kelak.
Sumber: Instagram @maryamyunrrr
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan bagi seorang isteri, menguruskan rumahtangga dan anak-anak cukup melelahkan. Melakukan rutin yang sama setiap hari, bertahun-tahun, adakalanya membuatkan diri rasa cukup tepu. Mulalah rasa tidak gembira, riak wajah tak berseri dan kurang bersemangat!
Sedar atau tidak situasi ini sebenarnya adalah ‘parental burnout’. Adalah sangat penting bagi seorang suami, bersikap prihatin dengan keadaan isteri ini. Harus bantu isteri, ubah rutin hariannya agar kembali ceria dan bersemangat dalam menguruskan rumahtangga.
Jemput baca perkongsian daripada Dr Taufiq Razif ini sebagai panduan;
Bila wajah bidadari saya dah mula kusam dan redup, benda pertama yang akan saya suspek adalah PARENTAL BURNOUT.
Ya, kadang kadang parental burnout ni bukan disebabkan kepenatan pun tapi sebab kita duk ulang ulang circle, rutin dan pattern yang sama bertahun tahun.
Bangun pagi
Kejut anak
Mandikan anak
Kemas baju anak
Pergi kerja
Balik kerja
Ajar anak mengaji
Sambung jaga anak
Dan seterusnya
Ianya adalah circle dan pattern yang sama je tiap hari bidadari saya ni buat. Dah la bidadari saya ni jenis Extrovert yang mana dia dapatkan semangat dan tenaga bila bersosial dan bersilaturrahim dengan orang lain. Bukan sekadar rutin bersama anak sahaja!
Jadi untuk merawat Parental Burnout isteri saya ni saya guna teknik BREAK THE ROUTINE. Ya, saya akan bawa dia keluar daripada rutin harian dia dengan tolong dia buat kerja rumah yang dia selalu buat, minta dia ambil cuti masa weekday dan pergi dating, hantar anak ke pengasuh sekali sekala dan pergi dating berdua atapun bawa je semua bercuti ke tempat yang tak pernah dilawati.
Ya, saya bagi NEW EXPERIENCES, NEW FEELINGS dan NEW ROUTINES pada bidadari saya. Mengejutkan, dia akan kembali bersemangat, badan kembali cergas dan wajah akan kembali jernih dan tenang!
Jadi kepada suami di luar sana, tolong BREAK THE ROUTINE para isteri kita. InsyaAllah para isteri takkan mengalami Parental Burnout lagi. Cubalah sendiri.
Taufiq Razif
Say No To Parental Burnout
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, sikap prihatin suami, ubah rutin kebiasaannya isteri mampu membuatkan dirinya kembali bersemangat, badan kembali cergas dan wajah akan kembali jernih dan tenang.
Iinilah realiti yang dikongsikan Akhtar Syamirtentang suami-suami kaki game; jasad suami ada di depan mata anak isteri tapi bagaikan tak bernyawa.
Para suami yang terjebak dengan ketagihan ini, eloklah segera sedarkan diri. Agar tidak berlebih-lebihan bila menghadap telefon bimbit anda melayan game.
Ambil perhatian, dan jaga-jaga bila suami ada 8 tanda ini. Hakikatnya, anda sedang melebihkan GAME itu dari anak isteri.
Suami Ketagihan Game
Saya pernah jadi seperti ini. Telefon sentiasa di tangan. Masa sentiasa tidak cukup. Semua benda atau perkara lain adalah gangguan.
Whatsapp dari isteri dirasakan leceh. Apatah lagi video call. Hati rasa benda itu sangat mengganggu. Nak tak nak terpaksa jugak jawab. Bila jawab dengan keadaan sebegini, perbualan selalunya akan menjadi ringkas dan tidak berkualiti. Selalu juga akan berakhir dengan ketidakpuasan si isteri atau pergaduhan kecil.
Kadang – kala isteri call untuk bertanya khabar, bermanja atau sekadar melepaskan kerinduan serta kebosanan di rumah. Tetapi dibalas dengan dingin. Ditanya sepatah, jawab pun sepatah. Mana taknya, hati dah panas kerana permainan terganggu.
Bila di rumah pula, anak – anak perlukan perhatian, bantuan kerja sekolah atau sekadar bermanja, anda menjadi rimas dan terganggu. Semuanya kalau boleh tangguhkan, “nanti – nantilah ayah tengok, ayah sibuk ni”. Padahal sibuk dengan game.
Berhenti membohongi diri anda. Memang ini yang anda rasa. Inilah realitinya dan kenapa ianya adalah satu penyakit yang semakin merebak dan membahayakan rumahtangga.
Kenapa Kaki Game Mengeluh Tak Cukup Masa
Game is fun. Permainan itu suatu yang menyeronokkan. Ianya menjadi satu kepuasan apabila kita berjaya di dalam objektif game itu sama ada, mendapat chicken dinner di dalam PUBG, memenangi perlawanan di dalam Mobile Legends atau karektor yang semakin kuat dan hebat di dalam game MMORPG (massively multiplayer online, Role Playing Game) seperti Lineage 2, AxE dan lain – lain.
Game itu sendiri secara dasarnya tidak salah. Tetapi apabila ianya mengambil masa yang terlalu lama untuk bermain, di sini datangnya masalah itu.
Kita semua ada 24 jam di dalam sehari. Seorang yang normal memerlukan 8 jam untuk mendapat tidur yang cukup. Baki 16 jam akan ditolak lagi sebanyak 9 bekerja dan 1 jam perjalanan pergi balik ke tempat kerja (lebih kurang). Pada penghujung hari, tinggallah 6 jam untuk membuat perkara lain dan bersama keluarga.
Di sini datangnya masalah. Masa yang tinggal itu akan direbut dan ditagih oleh ahli keluarga. Tetapi bagaimana pula kalau masa itu juga dihabiskan dengan bermain game?
Seringkali penggemar game akan sentiasa mengeluh tentang tiadanya masa yang cukup untuk diri sendiri. Mereka juga akan menegaskan yang mereka juga ada hobi dan bermain game inilah hobi mereka. Jadi, isteri dan anak – anak wajib faham dan beri ruang yang secukupnya.
Apalah Gunanya Jasad Depan Mata, Tapi Tak Bernyawa
Tak sedar lagi? Baca semula perenggan di atas dan sedarlah yang anda dah letak game itu lebih tinggi dari keluarga. Masa dengan keluarga tidak akan kembali. Jika anda terlepas masa itu, jangan harap anda akan dapatkannya semula.
Berhenti gunakan ayat, “mujurlah abang tak melepak sana sini, main perempuan dan lain – lain, sekurang – kurangnya abang sentiasa ada kat rumah”. Ayat ni teramat tidak cerdik. Apalah gunanya jasad di depan mata tetapi tidak bernyawa? Tiada gunanya. Percayalah.
Isteri anda akan rasa tidak dihargai, diabaikan, dirasakan tidak penting, tidak dihormati, tidak disayangi dan tidak dipedulikan.
Jika anda rasa melampau si isteri rasa macam tu, anda sebenarnya dah terlalu jauh mengabaikan isteri anda untuk tidak lagi memahami perasaan isteri.
Isteri Perhatikan Ini Tanda-tanda Suami Anda Ketagihan Game
“Ahhh, aku main game nie suka – suka je, bukan ketagih pun.” Jom kita tengok tanda – tanda suami ketagihan game.
√ Bila suami nampak lebih gembira bermain game berbanding menghabiskan masa dengan orang lain atau ahli keluarga.
√ Bila suami sangat keberatan untuk keluar berjumpa ahli keluarga lain atau saudara mara dan lebih suka tidak keluar dari rumah untuk bermain game.
√ Bila suami menghabiskan masa berjam – jam dengan bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan sentiasa tidak mengendahkan kerja – kerja di rumah.
√ Bila suami secara konsisten akan bermain game setiap petang atau malam.
√ Prestasi kerja suami semakin menurun. Mereka sering lewat ke tempat kerja, sentiasa mengantuk dan tidak cukup tidur akibat bermain game.
√ Suami tidak lagi berminat untuk bersukan atau ke taman berjalan bersama anak dan isteri.
√ Sahabat handai dan saudara mara terdekat seringkali bercakap mengenai betapa suami sering bermain game.
√ Suami sering menipu mengenai berapa lama mereka bermain game dan sentiasa berjanji yang ianya tidak akan lama dan seringkali bertukar kepada berjam – jam lamanya.
Jika anda atau suami ada tanda – tanda seperti di atas, berhentilah menipu diri sendiri dan mengakulah yang anda adalah seorang penagih game.
Sebelum Parah, Bantu Suami Dengan..
Bagaimana nak mengatasi masalah ini?
1. Jangan terjebak sekali dengan masalah suami dengan bermain game bersama. Mungkin anda akan rasa anda meluangkan masa berdua, sebenarnya tidak dan ianya menjadi bertambah buruk jika pasangan sudah mempunyai anak.
2. Mengabaikan masalah tu atau membiarkan suami dengan ketagihan game hanya akan memburukkan lagi masalah. Jangan abaikan, teruskan menasihati. Teruskan cuba mencuri masanya. Jangan putus asa sehinggalah dia sedar yang game itu tidak akan membantu apa – apa.
3. Katakan pada suami yang anda mencintainya, anda risaukan ketagihan gamenya, anda rindukan masa bersama, terangkan yang ketagihan itu telah membuatkan suasana yang tidak baik di rumah dan akhirnya, berterus teranglah kepada suami yang ketagihan game dia bakal membuatkan rumahtangga anda retak.
4. Jangan sekali – kali letakkan diri di bawah game ataupun kurang penting dari game. Anda lebih penting, anda lebih utama. Dapatkan semula suami anda ! Jangan biarkan suami utamakan game dari anda dan anak – anak.
5. Jika suami tetap tidak mahu berubah, cadangkan untuk bertemu dengan pakar kaunseling rumah tangga.
6. Dan di pengakhirannya, berikan kata dua, game atau anak dan isteri?
Suami Fikirlah! Game Lebih Berbaloi Ke.. Anak Isteri
Kepada suami, fikirkan semula, berbaloi ke? Berbaloi ke lebihkan game berbanding kehidupan yang dipenuhi kegembiraan yang benar dan nyata? Insaflah. Bila sudah berkeluarga ini, masa sepatutnya dihabiskan bersama mereka kerana apabila kita terlantar di katil hospital nanti, bukan game yang akan menjaga kita, bukan game yang akan menyuapkan nasi ketika kita sudah tidak mampu makan sendiri, bukan game juga yang akan duduk di tepi katil berdoa dan memberi semangat apabila nyawa kita berada di penghujungnya nanti.
Buanglah ketagihan itu. Kembalilah kepada keluarga. Anak dan isteri anda sangat merindui anda.
Kepada si isteri, terimalah kenyataan yang suami anda mempunyai masalah. Bantulah dia, kembalikan matanya kepada anda dan keluarga.
Sebelum saya terlupa, berhenti mengungkit tentang pengorbanan anda sebagai seorang ayah atau suami setiap kali ditegur pasal game. Itu bukan alasan untuk menghadap telefon berjam – jam dan bukan anda seorang sahaja yang berkorban untuk keluarga.
Game itu menyeronokkan. Tetapi ketagihan game itu adalah masalah yang boleh membawa kepada keretakan rumah tangga.
Kepada yang belum berkahwin, bawak – bawaklah berhenti bermain game. Nanti sedar tak sedar anda dah 30an dan masih tinggal seorang diri. Berhentilah dari membuang masa.
Semoga bermanfaat.
Silakan kongsi penulisan ini supaya ia dapat membuka lebih banyak mata mengenai permasalahan ini.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa. BroOhsem.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau anak kena sawan, boleh berderau jantung mak ayah yang tengok keadaan anak tetiba kekejangan dan mata ke atas dengan air liur meleleh.
Biasanya sawan ini boleh dialami anak kecil seawal umur 3 bulan hingga 6 tahun tetapi jika mak-mak boleh tahu elakkan daripada terjadi dari awal itu lebih bagus.
Tetapi sekiranya anak kecil anda dah kena sewan, mak ayah kena berjaga-jaga dan ini sedikit perkongsian daripada Dr Ezairy M.Sallih, apa yang mak ayah boleh lakukan bila anak diserang sawan tiba-tiba di rumah…
Anak anda sering mengalami serangan sawan atau ‘tarik’ di rumah? Tiba-tiba sahaja diam, hilang kesedaran, kaki tangan kejang, keras dan tersentak-sentak?
Apa perlu ibu bapa lakukan?
Perhatikan 9 langkah ini…
Langkah 1: Bertenang dan jangan panik.
Ini paling penting. Ramai orang takut apabila mereka melihat seseorang mengalami kekejangan atau serangan sawan. Anda perlu membantu anak anda dengan tenang. Tenangkan anak anda dan pesan orang lain di sekeliling bahawa segala-galanya adalah terkawal.
Langkah 2: Mencegah kecederaan.
Jauhkan anak anda dari sumber bahaya. Jika dia berhampiran tangga, dapur panas, jalan yang sibuk, atau bahaya lain, lindungi dia seboleh yang mungkin. Jauhkan objek berdekatan yang tajam atau keras. Cuba letakkan sesuatu yang lembut seperti baju atau selimut yang dilipat di bawah kepalanya.
Semasa serangan sawan itu berlaku, apabila tubuhnya kaku, dia mungkin berhenti bernafas dan menjadi biru. Ini kerana darah lebih banyak dihantar untuk melindungi organ-organ pentingnya, seperti apa yang berlaku ketika anak melompat ke dalam air sejuk. Tempoh ini biasanya ringkas dan selalunya tidak memerlukan CPR. Dia akan mula bernafas sebaik sahaja ototnya berehat. Jangan menahannya atau cuba menghentikan gerakannya.
Langkah 3: Perhatikan tempoh masa serangan sawan atau kekejangan berlaku.
Seboleh-bolehnya, perhatikan masa mula serangan sawan itu berlaku, dan berapa lama ia berlaku. Sekiranya ia berlangsung lebih daripada lima minit, hubungi ambulans atau mana-mana bantuan kecemasan. Perhatikan sifat, kriteria dan panjang serangan sawan supaya anda dapat memberikan laporan yang tepat.
Langkah 4: Pastikan anak anda selesa.
Tanggalkan cermin mata supaya ia tidak pecah. Jika anak anda mempunyai makanan di dalam mulutnya, jangan cuba mengambil makanan itu, kerana ini sebenarnya boleh menyebabkannya tertelan lebih jauh ke dalam.
Cuba iringkan perlahan-lahan tubuhnya ke bahagian sebelahnya atau iringkan kepala ke tepi supaya mana-mana cecair boleh keluar dari mulutnya. Pastikan saluran pernafasannya stabil dan terkawal. Longgar dan tanggalkan apa-apa di sekeliling lehernya untuk memudahkan pernafasan. Buka butang atau tali pinggang yang ketat.
Langkah 5: Jangan letakkan apa-apa di mulut anak anda.
Meletakkan jari, sudu, atau apa-apa objek lain di dalam mulutnya boleh menyebabkan anak anda tercekik atau patah gigi, dan boleh juga menyebabkan jari digigit. Ramai antara kita yang salah faham bahawa seseorang itu boleh menelan lidah mereka semasa serangan sawan berlaku. Ini tidak benar kerana lidah terlekat ke pangkal mulut. Ia tak akan tertelan lidah!
Langkah 6: Jauhkan diri dari orang ramai.
Hanya satu atau dua orang diperlukan untuk pertolongan cemas. Tak perlu terlalu ramai. Ini boleh mengganggu proses rawatan kecemasan.
Langkah 7: Jangan berikan air, makanan atau pil sehingga serangan sawan selesai.
Ini akan mengelakkan daripada anak anda tercekik. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin telah menetapkan ubat-ubatan yang perlu digunakan pada masa serangan sawan itu; gunakannya seperti yang diarahkan. Periksa sama ada dia telah sedar dengan bertanya beberapa soalan mudah sehingga anak anda kembali kepada keadaan biasa.
Langkah 8: Jadilah ibu bapa yang ‘supportive’.
Kanak-kanak biasanya sembuh dari serangan sawan dengan sendirinya. Jika anak anda sudah boleh memahami dan bersekolah, terangkan kepadanya apa yang berlaku, dan berapa lama serangan itu berlaku. Anak anda mungkin mahu ditenangkan. Bantu dia tahu di mana dia berada dan apa yang sedang berlaku. Dia mungkin boleh mengalami situasi seperti buang air kecil atau besar ketika serangan berlaku tanpa disedari. Bantu dia untuk membersihkan.
Langkah 9: Selepas serangan sawan.
Sekiranya anak anda mengadu sakit di bahagian kepala, sakit otot atau lidah, beberapa ubat boleh membantu. Sekiranya dia mengalami kesakitan yang teruk, atau jika dia cedera semasa serangan berlaku, bawa dia untuk berjumpa doktor. Sekiranya anak anda mempunyai demam yang berkaitan dengan serangan itu, rujuk doktor di klinik atau hospital. Dia mungkin mempunyai jangkitan yang perlu dirawat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...