Marah Sekali Pun Suami Dengan Isteri, Jangan Sampai Terlepas Kata Memaki

Share

Ramadan ini kena fikir yang baik-baik, tahan hati dari marah-marah. Kalau pun marah sungguh dengan kesalahan isteri, gandakan rasa sabar, kurangkan rasa nak marah itu iya wahai suami.

Sebab, kadangkala isteri bukan sengaja.. dia terbuat silap. Jangan terus dituduh dengan ayat yang ‘makan dalam’, kata-kata hinaan hingga buat jiwa isteri rapuh lagi parah.

Ambil contoh Bro Ohsem Akhtar Syamir tangani emosi marahnya bila isterinya telah melakukan kesalahan yang tak kena dimata.

Isteri Kalau Dah Buat Silap Dia Akan Takut..

Semalam saya marah betul dengan isteri saya. Dia ada buat satu kesalahan yang agak membahayakan. Tidak perlulah saya maklumkan apa kerana ia bukan fokusnya di sini.

Saya sejenis orang yang boleh marah kepada sesuatu bukan disebabkan oleh benda yang telah terjadi itu, tetapi lebih kepada marah kerana benda itu boleh dielakkan.

Saya kenal isteri saya. Apabila dia ada buat kesilapan atau kesalahan, dia akan takut, dia akan kalut dan akan sedih.

Sebelum kami berkahwin, saya pernah marah dia disebabkan suatu perkara. Bukan secara kasar pun, sekadar menyatakan yang saya marah dengan suara yang tegas tanpa menjerit.

Dia pecah terus. Dia menangis berjujuran air mata dan ianya sukar untuk dihentikan. Setiap manusia itu memang unik. Saya dijodohkan dengan orang yang kental, bersemangat tinggi tetapi amat rapuh dan mudah sedih apabila dimarahi.

Abang.. Janganlah Marah Sayang

Mungkin itulah sebabnya kami dijodohkan bersama, kerana saya seorang yang mempunyai daya ketahanan menghadapi tekanan yang tinggi dan boleh menjadi pelindung dia.

Pernah sekali pada tahun lepas, saya ingat lagi dia ada buat salah kepada saya. Dia menangis teresak-esak dan berkata “abang janganlah marah sayang, sayang takde kawan dah nanti.”

Saat saya menulis ayat ini, air mata saya berlinangan. Kerana sehingga kini, saya masih rasai apa yang saya rasai pada saat isteri saya berkata begitu.

Betapa insan di dalam pelukan ini sangat memerlukan saya dalam hidupnya dan menyesal diatas perbuatannya. Saya berasa amat sedih dan terharu. Saya peluk dia dengan rapat, saya cium rambutnya, sapu belakang badannya dan memberi kata-kata semangat untuk memulihkan keadaannya.

Seperti lelaki, seorang wanita juga berasa bersalah di atas kesilapannya. Tetapi lumrah wanita ini dilahirkan dengan penuh emosi. Kadang-kala emosi itu boleh menjadi teramat kuat sehingga dirinya menjadi tidak terkawal.

 

Memarahi Isteri Tanpa Memarahi

Jadi, bagaimana untuk memarahi isteri tanpa memarahi? Saya tidak kata ianya mudah. Suami perlu mempunyai daya kesabaran yang tinggi untuk menghadapi situasi ini dengan baik.

1. Bertenang dan dengar penjelasan dari dia. Tidak ada gunanya dua orang bercakap dalam masa yang sama.

2. Jangan meninggikan suara. Ada bezanya bertegas dan meninggikan suara. Ketegasan bermaksud yang anda kesal kerana ianya terjadi tetapi memarahi terus akan menjadikan ianya negatif.

3. Terangkan kesalahannya dan bagaimana ianya sepatutnya boleh dielakkan. Seperti mendidik anak, isteri juga kadang-kala kurang faham kenapa sesuatu perkara itu bakal mendatangkan masalah. Menjadi tugas suami menambah apa yang kurang.

4. Tekankan betapa pentingnya berkongsi dengan suami tentang apa yang ingin dilakukan sebelum ianya dilakukan. Bukan semuanya perlu keizinan, tetapi pendapat orang kedua adalah sangat penting dan boleh membuka pandangan baru di dalam sesuatu perkara.

5. Jangan menuduh, jangan mengungkit.

Kita lelaki, kita tidak sepatutnya menghukum perkara yang sudah lama berlaku “di atas” perkara yang sedang berlaku. Fokus pada yang sekarang dan bukan menambah keberatan kesalahan itu dengan kesalahan lalu.

6. Jangan sekali-kali memaki. Perkataan yang paling perlu dielakkan ialah “bodoh”, “lembab”, “degil” dan lain-lain. Simpan perkataan itu di dalam hati. Kesannya sangat buruk dan berpanjangan jika ianya terkeluar dari mulut suami.

7. Beri isteri ruang. Jangan terlalu menekan. Jika si dia terlalu tertekan, kesannya amat tidak baik. Kadang-kala ianya boleh jadi luar kawalan. Jika ianya berlarutan, kebarangkalian depresi juga boleh terjadi.

8. Akhir sekali, peluklah isteri kamu. Maafkanlah dia. Ciumlah rambutnya. Dia juga seorang manusia, tidak terlepas dari melakukan kesilapan sama seperti kita.

Akhiri itu semua dengan positif. Ada kemungkinan, dengan kesilapan isteri dan cara pengendalian suami ini boleh membuatkan ikatan perhubungan itu semakin erat. In Shaa Allah.

Semoga penulisan ini dapat memberi ilmu yang baru dalam kehidupan suami-isteri. Silakan SHARE untuk kita sama-sama dapat menyebarkan kebaikan.

Adakah anda juga seorang isteri yang kental tetapi rapuh? Kongsikan di komen.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa di Supergroup Telegram BroOhsem Fans http://t.me/broohsemfans

Published by
Netty Ah Hiyer