Panas sungguh hati bila suami yang betul-betul kita cinta, sayang separuh mati mengkhianati cinta luhur isteri. Betapa parah sekali pun, ingat ya.. buruk suami atau isteri, jangan sesekali ‘up’ di media sosial.
Itu kepantangan besar dalam mewujudkan sebuah keluarga yang damai lagi harmoni. Mungkin ada yang menyangkal saranan ini.
Alasannya, perbuatan jahat suami atau isteri perlu didedahkan. Biar semua tahu siapa sebenarnya ‘malaikat’ yang kau sanjung-sanjungkan itu. Hakikatnya, itu hanyalah bisikan-bisikan nakal yang akhirnya akan buatkan hati kita makin parah.
Niatnya mahu mencari sokongan. Sayangnya apabila kisah sudah menjadi terlalu diketahui umum, anda hanya akan membaca saranan yang tak masuk akal lagi menyakitkan.
Bukan semua orang ikhlas nak bantu kita pun. Sebaik-baiknya, carilah orang tua, dapatkan nasihat perundangan yang betul dan tepat.
Itu lebih membuatkan anda terlihat sebagai isteri atau suami yang tegas dan jangan sesekali kau berani nak buat main-main.
‘Batu api’ yang hadir melalui komen-komen aib ini nanti hanya akan membuatkan rumah tangga yang boleh diselamatkan, langsung hanyut dilanda badai. Parah!
Marah memang marah, tapi jangan mudah sangat terpengaruh dengan emosi marah, kecewa atau sakit hati. Kerana selagi dia masih suami atau isteri, rasa hormat itu kena ada.
Bawa berbincang secara matang. Sungguh, bila hati masing-masing tengah panas. Memang nak tengok muka pun menyampah.
Tapi berilah masa 3 hari untuk bertenang. Selepas hari ketiga kalau tak boleh juga selesai. Jangan berdiam diri, minta bantuan ahli keluarga.
Sebaiknya biarlah cuma keluarga dan anda yang mengetahuinya. Janganlah dikisahkan kepada orang lain. Kerana bila sampai ke pengetahuan orang lain, tempiasnya akan balik juga pada diri sendiri.
Nanti lagi sukar untuk kita berdepan dengan bermacam-macam persepsi dan pandangan. Sudahnya, dia yang bersalah tak ada apa-apa, kita yang teraniaya pula digossip yang bukan-bukan oleh mereka yang tak kan faham.
Bukan semua orang ikhlas nak tengok kita bahagia. Ada tu cuma berpura-pura simpati. Di belakang, guntingnya lebih tajam menikam.
Bayangkan konflik selesai, kita berdamai dengan suami atau isteri.
Biarpun kita terlihat bahagia, orang tetap mengata. Kita juga nanti yang sakit hati. Mulalah cakap, kau orang tak faham cuma boleh mengata.
Walhal punca itu datang daripada kita.
Berfikirlah matang, dan bertindaklah dengan tenang. Moga kita dapat menghidupkan rahmah dalam hubungan suami isteri yang Allah anugerahkan untuk kita.