Marah Dan Tengking BUKAN Cara Nak Ajar Anak. Nanti Makin Degil Perangainya

Share

Biasa mak ayah akan keluarkan suara ‘tarzan’nya bila anak ada buat salah. Bukan apa, cakap sekali dua , tidak didengarnya. Cara mudah, tengking, marah, jerit dan semua ada. Sebab geram punya pasal.

Hakikatnya, ‘what you give you’ll get back’ setiap didikan akan mencerminkan siapa kita dan kesannya tetap ada kepada seorang anak. Kenapa anak ini, bercakap kasar dan bersikap kurang ajar? Kenapa anak ini degil tidak mahu mendengar kata? Kenapa anak ini diam, senyap bagaikan boneka? Lihat saja kepada ibu bapa mereka dan kita akan mula memahami. Mohd Shariman bin Che Deris berkongsi tip dan cara yang sepatutnya dalam mendidik anak.

Bukan Isyarat Hormat

Ramai yang masih lagi beranggapan untuk mendisiplinkan cara terbaik adalah dengan menengking dan mengherdik.
Anak ditengking yang kemudiannya menikus dianggap oleh ibubapa sebagai satu isyarat kepatuhan dan hormat. Pendapat ini sangat salah, anak ini sedang menurut dengan membuta tuli sahaja tanpa memahami kenapa dia perlu patuh, blind obedient. Lebih parah jika anak ini sedang membina benteng diri dan akal menolak perlakuan agresif ibu bapanya, dia bersikap defensif dengan cara diam dan menyimpan rasa bukannya tanda kepatuhan.

Benar, ada sesetengah anak ini nakal dan degil namun menengking dan mengherdik bukan penyelesaian didikan yang baik. Persoalannya kenapa masih ada mak ayah yang menengking anak? Lima keadaan ini mungkin adalah penyebabnya.

1. Mak Ayah Mahu Menunjukkan Authoriti
Kerapkali apabila mak ayah hilang kawalan ke atas anaknya dan tidak tahu lagi bagaimana untuk mendidik dan mendisiplin anak kecuali menengking dan mengherdik.

2. Kesalahan Anak Yang Sama Berulang-Ulang
Mak ayah sentiasa mengharapkan anak ini akan faham dengan hanya sekali didikan, namun ini tidak berlaku, anak-anak memerlukan masa dan didikan berulang sebelum ianya lekat dan jadi budaya sebagaimana Teori Pelaziman.

Mak ayah yang terlupa hakikat ini akan menganggap anaknya degil dan mula mendisiplinkan anak dengan cara menengking.

3. Mood Mak Ayah Yang Tidak Baik
Ada waktunya dek kerana perkara lain, mungkin urusan kerja yang membebankan sehingga mood ibubapa ini berubah dan apabila anak melakukan kesalahan, ianya bercampur baur dengan bebanan sedia ada, anak jadi mangsa dan ditengking

4. Mak Ayah Yang Bersikap Panas Baran
Mak ayah perlu belajar untuk mengawal panas baran, bimbang nanti anak sentiasa akan jadi mangsa tengkingan biarpun kesilapannya tidak seberapa.

5. Mak Ayah Yang Bersikap Prejudis Dengan Anak-anak
Ini sangat bahaya, ada mak ayah yang telah melabelkan anaknya sebagai jahat, bodoh, malas dan macam-macam lagi. Kebaikan yang dibuat oleh anak tidak lagi nampak dan dianggap hanya lakonan anaknya semata.

Kesan Pada Anak

Tingkah laku anak adalah kesan daripada didikan ibu dan ayah. Kesannya:
1. Anak Akan Memberontak
Anak yang dibesarkan dengan cara ditengking akan membentuk satu kepercayaan bahawa menengking itu baik, kekasaran itu baik dan sumpah seranah itu normal. Anak ini akan membentuk sifat agresif dalam dirinya dan berkebolehan untuk menentang ibu bapanya juga secara agresif.

2. Anak ‘Silent Protess’
Anak ini tidak akan menentang ibu bapanya secara terang-terangan, dia akan mula membentuk kepercayaan dalam diri bahawa dia anak yang tidak berguna, anak yang menyusahkan ibu bapanya. Ini membentuk silent protess dalam dirinya untuk mengiyakan segala kepercayaan ini. Pencapaian akademiknya akan menurun, dia akan mudah menikus dan takut tanpa sebab. Anak ini akan membuatkan dirinya menjadi anak yang benar-benar tidak berguna kepada ibu bapanya.

3. Anak Bertambah Degil
Anak yang kerap ditengking mula menjadikan alunan tengkingan ibu bapanya sebagai satu kemestian buatnya, anak ini akan mula merindui jika dirinya tidak ditengking dengan anggapan bahawa tengkingan dan herdikan ibubapanya adalah satu bentuk kasih sayang. Anak ini akan sengaja bertambah degil kerana sudah lazimnya ditengking. Ianya satu kepuasan buatnya.

4. Menengking Akan Membunuh Lebih Sejuta Sel Otak
Anak-anak yang sedang berkembang otaknya perlukan suntikan-suntikan yang baik dan positif. Anak yang berumur 2 – 3 tahun apabila ditengking akan membunuh lebih sejuta sel daripada sejumlah 10 trillion sel otak dengan hanya satu tengkingan sahaja. Bayangkan bagaimana keadaan anak ini jika sepanjang masa dihidangkan dengan tengkingan dan herdikan ibu bapanya?

5. Anak Bersikap Agresif Kepada Rakan
Anak mempunyai rasa, dan ianya disimpan sehingga membentuk satu pegangan dalam diri, satu prinsip diri. Anak ini adalah klon kepada ibubapanya, dan akan juga mempamerkan sikap yang sama kepada rakan-rakannya. Anak ini akan bersikap agresif, membuli, menengking dan kasar dengan rakannya terutama apabila berlaku satu perkara yang dia tidak suka. Apa yang anak ini rasai, lihat dan dengar sepanjang didikan ibubapanya akan dikeluarkan kepada rakan-rakannya. Anak ini berpotensi untuk mencipta kes-kes disiplin di sekolah. Anak meniru tingkah laku ibu bapa nya.

6. Anak Tidak Percaya Kepada Diri Dan Ibu Bapanya
Anak ini akan mengalami konflik kepercayaan diri, tidak percaya dengan kemampuan dirinya dan mula membuat perbandingan sikap ibu bapanya dengan ibu bapa lainnya. Anak ini mula meletakkan label dan menghukum ibu bapanya secara diam sehingga tiada lagi kepercayaan mereka kepada ibu bapa.

Tiada ibu bapa yang mahukan anaknya gagal dalam kehidupan dan terlibat dengan kes disiplin apatah lagi jenayah namun mengharap sahaja tidak cukup.

Mak ayah perlu belajar dan memperbetulkan cara didikan mereka terhadap anak-anak. Berlapang dada dengan tindakan mereka, tenang dan cari cara didikan yang sesuai untuk anak mengikut peringkat umur dan keadaan anak itu sendiri. Setiap anak adalah unik dan cara didikan terhadap mereka juga adalah unik dan tersendiri. Tinggalkan menengking dan menghendik kerana ianya tidak membantu sebaliknya lebih merosakkan.

Published by
Nora