Marah anak dengan niat untuk mendidik tak salah. Anak-anak adalah permata keluarga yang amat indah. Keletahnya sewaktu kecil amat menghiburkan. Manakala keindahan budi bicara dan ingatannya ketika menginjak ke usia yang lebih dewasa pula menjadi penyejuk hati. Adapun, doanya ketika kita di barzakh amat membahagiakan.

Pokok Pangkal Di Tangan Mak Ayah

Begitulah anak, amat besar sumbangannya kepada kita jika dapat dididik dengan baik. Pokok pangkalnya di tangan kita sendiri selaku ibu bapa yang mencorak kehidupannya. Kepada Ilahi harus sentiasa dipanjatkan doa dan pengharapan agar diberikan bantuan dan izin untuk memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka sehingga dengannya kelak semakin kukuh iman dan amal mereka hanya untuk-Nya.

Dalam meniti hari-hari membesarkan dan menitipkan pendidikan ini kepada anak-anak. Pelbagai jenis emosi harus dihadapi. Selaku orang dewasa, kita mempunyai beban dan tanggungjawab yang amat berat untuk dilangsaikan. Walaupun begitu, kita harus dapat menilai tanggungjawab dan amanah yang hakiki dan bersifat sekunder agar mudah dibuat pilihan andai kedua-duanya menuntut komitemen.

Jadikan Anak Ranking Teratas

Anak adalah amanah Allah yang harus dijaga dan dipenuhi segala komponen dirinya agar fitrahnya dapat dioptimumkan kehebatannya. Oleh yang demikian, bagi ibu-ibu peranan ini harus diletakkan dalam ranking yang awal dalam senarai tugasan kita. Walau sejauh mana kita melangkah tanggungjawab ini seharusnya dititik beratkan. Jangan penat kerja, balik hanya tahu marah anak saja.

Dalam menghadapi dunia yang menuntut komitemen yang tinggi dalam pekerjaan. Kita seharusnya tidak tertipu dengan persekitaran. Impaknya nanti bukan sahaja dalam keluarga malah melibatkan masyarakat keseluruhannya. Jika kita berjaya membentuk anak-anak dengan baik maka insya-Allah dengan izinNya keseluruhan masyarakat juga akan harmoni dan dirahmati.

Marah Atau Hukum Anak, Sesuaikan Dengan Peringkat Usia Mereka

Baca lagi di sini:

IKLAN

Masak Sedap-Sedap, Hias Bento Cantik-Cantik..Anak Mesti Tertarik!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Didik Anak Jangan Marah-Marah Je

Oleh yang demikian, komitmen ini harus dipikul secara bersama dalam ruang lingkup yang Allah telah berikan kepada kita. Jagalah amanah ini dengan sebaik mungkin dan sedaya mungkin. Usah jadikan alasan tekanan ditempat kerja untuk menolak ajakan mereka untuk bermain bersama kerana keperluan emosinya harus kita penuhi. Jika tidak perkembangan emosinya pasti terganggu dan menyebabkan implikasi yang lebih parah seperti tidak yakin diri, perahsia, sukar mempercayai dan sebagainya.

Usah juga meletakkan anak sebagai mangsa untuk dimarahi dan diherdik sesuka hati kerana mereka perlukan belaian dan senyuman manis ibu dan ayah untuk mereka. Hakikatnya, apa yang kita tonjolkan dan lakukan terhadap mereka pada usia kecil ini amat memberikan kesan terhadap pembentukan persepsi dalam minda mereka. Bagaimana mereka melihat dunia kehadapan dan diri mereka sendiri amat bergantung kepada apa yang kita tunjukkan kepada mereka.

Asyik Kena Marah, Besar Jadi Agresif

Mereka akan menjadi memberontak, agresif dan sukar dikawal jika keadaan emosi yang ibu dan ayah tunjukkan sewaktu mereka kecil adalah emosi sedemikian. Sebaliknya mereka akan jadi tenang, mudah berbincang dan menghiburkan jika watak itu juga yang sering mereka lihat daripada ibu dan ayah sewaktu kecil.

Jadi benarlah kata Nabi saw, “ibu bapa lah yang akan membentuk anak-anak mereka samada menjadi yahudi, nasrani atau majusi”. Mafhumnnya dapatlah difahami, pada tangan kitalah anak-anak ini akan dicorakkan masa depan mereka termasuklah keperibadian mereka.

Beri Sepenuh Perhatian

Oleh itu, masa ini amat penting bagi anak-anak kita mendapat sepenuh perhatian daripada kita ibu bapa. Jika berasa marah sekalipun, gunakanlah cara yang terbaik bagi menegur dan memberitahu kesilapan mereka berdasarkan umur mereka. Usah benarkan diri kita memberikan hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Masakan mereka melakukan sesuatu itu jika mereka tahu bahawa perkara itu menyakitkan?

Kitalah yang seharusnya dapat membuat keputusan yang lebih baik ke atas sesuatu perkara yang mereka lakukan samada ia memerlukan hukuman atau tidak dan bagaimana seharusnya kita bertindak. Ini kerana kita adalah orang dewasa yang memiliki akal yang matang untuk berfikir dengan baik.

Cuma usah menarik nafsu dan emosi untuk turut sama berfikir sudah pasti natijahnya menjadi kurang wajar. Justeru, mintalah pada Allah cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak. Pergantungan yang padu kepada-Nya akan lebih menenangkan dan memberikan panduan yang lebih tepat lagi dalam langkah-langkah yang akan kita ambil untuk mendidik anak-anak.Wallahuallam..

Artikel: Dr Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)