Anak adalah amanah Allah pada mak,ayah. Adakalanya kita diuji dengan sikap dan karenah anak-anak. Ada yang mampu ditelan, tak kurang juga yang tidak dapat diterima. Namun seburuk-buruk sikap anak, mereka tetap darah daging mak,ayah.

Jangan sesekali marah anak keterlaluan hingga melukakan hati mereka. Lagi parah timbul dendam di hati anak. Sebenarnya jika sedari kecil kita mendidik anak-anak dengan baik, insyallah kelah mereka menjadi anak yang baik serta mendengar kata.

Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslinda ini dan hadam baik-baik.

Anak Menjadi Teman Kepada Mak, Ayah

Anak adalah anugerah kepada semua insan di dunia ini. Tidak kira apa jua jantina yang Allah kurniakan namun ia tetap anugerah yang tidak ternilai. Malah mereka ini juga merupakan teman gaduh, teman jalan-jalan, teman membeli – belah dan sebagainya.

Lagi seronok bila meluangkan masa bersama mereka kerana mereka tidak akan melawan kita dan akan mendengar semua arahan kita. Lebih lagi bila keluar berjalan-jalan dengan mereka kerana mereka juga boleh jadi penasihat peribadi kita.

Anak-anak ni kadang-kadang mereka lebih bijak dan kreatif daripada kita sebagai ibu dan bapa mereka kerana jika kita hendak beli sesuatu, sebagai ibu bapa kita pasti akan rasa buntu dan keliru nak pilih yang mana satu untuk dibeli.

Tetapi tanpa kita sangka secara tak sengaja anak-anak kita akan memberi cadangan yang bernas dan cadangan mereka itu lebih baik dari jangkaan kita.

IKLAN

Anak-anak juga adalah pendengar setia setiap masalah dan apa jua yang hendak kita bebelkan.

Walaupun kadang kala riak mereka seperti tidak suka, namun hakikatnya mereka adalah pendengar yang baik dan dengan meluahkan kepada mereka ianya membuatkan jiwa kita jadi tenang malah dengan melihat wajah mereka juga, sudah cukup membuat kita tersenyum. Itulah keistimewaan mereka yang kita tidak sedar dan terlepas pandang.

Jangan Marah Keterlaluan

Oleh itu, sebagai ibu bapa janganlah kita cepat menjadikan anak-anak kita tempat untuk kita melepaskan marah atau sebagainya. Jika mereka nakal, kita boleh marah tetapi jangan keterlaluan sehingga boleh melukakan perasaan mereka yang menyebabkan ianya menjadi dendam.

Kita sebagai ibu bapalah contoh yang terbaik buat anak-anak kita. Bagaimana kita melayan mereka, begitulah mereka akan melayan kita kelak. Justeru itu, layan dan didiklah mereka dengan baik tanpa merosakkan masa depan anak-anak kita.

Jika kita layan anak-anak kita seperti kawan baik, percayalah sehingga mereka dewasa, mereka tetap menganggap kita kawan baik mereka. Selain itu, anak-anak kita juga tidak akan segan silu untuk berkongsi segala masalah yang mereka hadapi dengan kita.

IKLAN

Layan Seperti Teman Baik

Jadi layanlah mereka sebagai teman baik kita. Dengan ini juga, mereka akan rasa lebih dihargai dan dapat mengurangkan mereka meluahkan kepada orang yang salah. Bahkan kita juga dapat mengelakkan mereka dari terjerumus dalam perkara yang tidak baik.

Dalam dunia ini, kita semua tidak sempurna. Janganlah kita yang tak betul ini, ingin mengajar anak-anak mengikut cara tak betul kita itu. Ibarat seperti pepatah orang-orang tua, ketam mengajar anaknya berjalan.

Diri sendiri tak betul tapi nak cari salah orang lain. Begitulah kehidupan kita sebagai ibu bapa. Jika ada salah dan silap kita ditegur oleh anak-anak kita secara spontan atau tak sengaja, jangan cepat melenting, malah fikir dahulu dan ambil itu secara positif dan muhasabah diri sendiri. Anggaplah itu teguran Allah kepada kita melalui anak-anak kita.

IKLAN

Bimbing Anak-anak Ikut Ajaran Yang Betul

Oleh itu, bimbing dan didiklah anak-anak kita menjadi anak yang baik mengikut ajaran yang betul. Mereka adalah amanah yang tidak terhingga kepada kita semua. Jangan abaikan mereka.

Luangkan masa bersama-sama supaya mereka akan rasa dihargai dan disayangi. Peringatan ini juga untuk diri saya sendiri kerana anak-anak kita ibarat kain putih, bagaimana kita bentuk dan corak mereka itulah hasil yang akan kita dapat sama ada baik atau sebaliknya.

Semoga kita semua mendapat rezeki zuriat yang hebat dan membanggakan kita sebagai ibu bapa mereka. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Menulis dari pengalaman dan pemerhatian. Yang baik jadikan pengajaran dan yang tidak baik jadikan ia satu iktibar. Sekian. Terima kasih.

#catatankupengalamanku
#kisahcikgulinda
#anakanugerahterindah

MW: Anak adalah anugerah tidak ternilai, jagalah amanah ini sebaik mungkin. 

Sumber: Nurul Haslinda

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI