Manusia & Obses Warna

Share

Kerana minat yang mendalam kepada sesuatu membuatkan ada diantara mereka yang obses dan sanggup menyesuaikan diri mengikut perkara yang diminati. Sebagai contoh warna. Kita semua pastinya ada warna kegemaran dan kecenderungan untuk selesa memilih warna yang kelihatan sempurna dengan peribadi kita. Tetapi tahukah anda, ada manusia di luar sana yang boleh menikmati hidup bertahun lamanya dengan hidup berwarnakan warna kegemaran mereka. Kali ini MW berkongsi kisah menarik berkenaan warna yang besar impaknya dalam kehidupan mereka.

1. Valeria McCulloch
Seorang pelukis dan pereka fesyen; Valeria McCulloch cukup meminati warna biru. Menurutnya lagi, sudah 20 tahun beliau ‘membiru’ sepenuhnya. Hampir keseluruhan wardrobenya dilimpahi dengan warna biru. Kreativiti menjadikan wanita ini kreatif mengolah dan memberi sentuhan peribadinya yang pastinya masih mengekalkan warna biru sebagai warna wajibnya. Kata Valeria, biru itu lambang keyakinan, persis udara dan air yang penting dalam kehidupan. Warna biru yang dikenali sebagai International Klein Blue (IKB) adalah biru pilihan wanita ini.

2. Elizabeth Sweetheart
Elizabeth Sweetheart yang juga dikenali sebagai Green Lady of Brooklyn merupakan seorang artis dan pereka. Kecintaannya pada warna hijau adalah secara menyeluruh sehingga sanggup mewarnakan rambutnya juga kepada warna hijau. Walau bagaimanapun, suaminya Robert Rosenthal tidak pula terpengaruh dengan kehijauan isterinya, dan mereka kini menetap di Carroll Gardens. Elizabeth telah menjalani kehidupan berwarna hijau sejak lebih 20 tahun lalu. Minatnya terhadap warna hijau tidak pernah menjemukannya. Hijau itu baginya memberi suntikan rasa positif, kebahagiaan, kegembiraan dan kesegaran.

3. Kitten Kay Sera
Wanita ini menerima jolokan sebagai The Pink Lady of Hollywood ataupun The Queen of Pink,berbahagia dengan kehidupan merah jambunya sejak tahun 1981. The Pink Lady atau nama sebenarnya, Kitten Kay Sera. Hampir apa sahaja berkaitan dengan dirinya berwarna merah jambu. Rumahnya juga dikenali sebagai “The Pink Palace”, kereta yang dipandu termasuk anjing peliharaannya juga berwarna merah jambu. Anjingnya dinamakan sebagai ‘pinkerbelle’. Beliau juga mengimpikan di hari kematiannya nanti, keranda dan juga kuburnya berwarna merah jambu. Obsesnya beliau kepada merah jambu sehinggakan susu di dalam peti sejuk harus warna yang sama, telur mata, cereal, jus dan apa sahaja makanan wajib berwarna tersebut.

4. Ella London
Wanita ini pula cukup obses dengan warna kuning. Ella London juga dikenali sebagai “The Yellow Lady” ataupun “Miss Sunshine”. Sudah berkahwin, sama seperti Green Lady of Brooklyn…beliau juga mengambil berat perasaan dan pendirian suaminya untuk bebas memilih warna apa pun dan tidak obses pada warna kuning seperti dirinya. Semuanya berlaku secara tiba-tiba, pada mulanya sewaktu tunangnya yang kini suaminya menyarankan pemilihan warna kuning sebagai warna tema perkahwinan mereka. Warna ini cukup dekat dengan mendiang bapanya, Ella pula menerima cadangan tersebut dan akhirnya jatuh cinta dengan warna kuning sepenuh hatinya. Bermula tahun 2012 sehingga ke hari ini Ella memulakan kehidupan dengan warna kuning. Ella berkongsi minatnya dengan warna ini menerusi instagram peribadinya di @ellalondon.

5. Sandra Ramours
Sandra Ramours seorang wanita yang berusia 76 tahun dan mempunyai minat yang mendalam terhadap warna ungu. Wanita ini dikenali dengan nama lainnya iaitu The Purple Lady. Dia menetap di dalam sebuah rumah yang dicat luarannya menggunkan warna ungu. Baginya warna ungu itu memberinya semangat, kekuatan dan berunsur magis. Obsesnya terhadap warna ungu membuatkan diajuga sanggup mewarnakan rambutnya kepada warna ungu.

6. Kristina
Ibu kepada seorang cahaya mata ini, merupakan peminat warna pelangi. Kristina berasal dari Singapura dan kini telah berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 2010 dan membina hidup di sana. Menurut Kristina lagi, kemurungan menemukan dia dengan warna pelangi. Berhijrah ke negara asing dan depresi membuatkan dirinya perlu bangkit. Pada mulanya beliau berminat ke arah fesyen harajuku yang cukup dikenali dengan penggunaan warna-warna terang dan lambakan aksesori unik. Akhirnya beliau menjadikan warna pelangi sebagai warna yang memberi identiti baru
kepada dirinya. Kristina mempunyai akaun YouTube tersendiri di bawah nama cybr.grl dan sudah pun mempunyai pengikut seramai 4.07 juta keseluruhannya.

7. Zorica Rebernik
Wanita ini pula sangat obses dengan warna merah. Zorica Rebernik sudah hidup dengan merah sejak usianya 18 tahun lagi. Akui dia lagi, warna merah sentiasa menghangatkan semangatnya dan dia tidak akan pernah berhenti dengan obsesinya ini. Jika pengantin lain menjadikan warna putih sebagai warna wajib, tidak bagi Zorica. Beliau dengan yakinnya menggayakan gaun pengantin berwarna merah di hari istimewanya. Mujur suaminya sentiasa menyokong dan memahami minat isterinya. Tambah Zorica lagi hampir kesemua orang disekelilingnya, tahu minatnya terhadap warna merah. Zorica juga amat gembira menerima hadiah dalam warna kegemarannya itu. Dia juga dengan tegas akan menolak apa juga pemberian orang lain jika ia bukan berwarna merha dan tidak kisah menolakknya walaupun hadiah itu mahal harganya. Walaupun belum meninggal dunia, wanita ini awal-awal lagi sudah membuat persiapan tugu khas untuknya dan suami dalam warna kegemarannya itu.

Published by
Mastura Burhanuddin