Bertahun berkongsi hidupnya, sebaiknya cubalah memahami pasangan dan terima baik, buruk pasangan yang selama ini berada di sisi. Saat bercinta memang indah, perasaan sempurna hadir setelah berkahwin dan memiliki anak. Sekian lama berkeluarga, bukan masanya untuk mencari kekurangan itu dan ini, sebaliknya cubalah serap kebaikan dan kelemahan pasangan.
Manusia tak kiralah suami atau isteri memang tak sempurna, tetapi ianya bukan penghalang untuk mencipta bahagia. Jangan sesekali terfikir bahawa ada lagi di luar sana yang lebih sempurna untuk kita. Hargailah yang sentiasa berada di depan mata.
Ikuti perkongsian, Firdaus Shakirin : Alam perkahwinan bukanlah sesuatu yang rumit, susah dan teruk… Mungkin bagi segelintir lelaki yang bakal menjadi suami atau sudah menjadi suami merasakan bahawa rumit, susah dan teruk untuk menjalani kehidupan berumahtangga. Banyak benda nak kena ikut dan buat… susah nk layan dan jaga isteri… Sebenarnya, kehidupan alam rumahtangga ni tak rumit, tak susah, tak teruk… Ianya sangat-sangat mudah dan simple…
Ads
Manusia Memang Tak Sempurna..
Perkara pertama yang perlu kita tahu untuk menjalani kehidupan rumahtangga yang tenang dan bahagia ialah :
1) Tunaikan tanggungjawab dan kewajipan sebagai suami.
– Ini yang paling utama dalam kehidupan suami isteri. Suami kena ada sifat bertanggungjawab. Hak-hak isteri perlu dipenuhi tanpa sebarang alasan kerana ianya kewajipan yang diletakkan Allah SWT ke atas bahu kita. So, kalau tak buat, maka dosa…
2) Hidupkan agama dalam rumah tangga.
– Sebagai orang islam, solat itu tiang agama… Semua perkara yang berlaku dalam hidup kita bermula dengan solat. Sebab solat itu adalah cara kita mendekatkan diri dengan Pencipta, memohon sesuatu dari-Nya. Hidup orang yang hubungannya dengan Allah terjaga lebih bahagia daripada hidup orang yang melupakan Allah SWT. Solat itu yang akan membentuk keperibadian dan perwatakan kita sebagai seorang hamba dan juga suami.
3) Jauhi perbuatan yang boleh menyakiti hati pasangan.
– Apa yang kita tak suka pasangan buat, maka kita pun jangan buat. Jaga pergaulan, jaga ikhtilat… Pelihara status sebagai suami orang itu baik-baik ketika di luar rumah atau pun di dalam rumah. Jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati pasangan. Andai ianya kesilapan yang tak disengajakan, maka tolong jangan ulanginya semula. Ambil pengajaran untuk setiap kesilapan.
Ads
4) Hormati dan hargai pasangan.. agar lebih sempurna
– Jika ingin dihormati sebagai seorang suami, maka tolong menghormati pasangan sebagai seorang isteri. Jangan layan dia macam kuli, jaga bahasa dan tingkah laku kita terhadapnya. Apa yang dia sudah lakukan dalam rumahtangga tu, tolong tunjukkan penghargaan walaupun hanya sekadar sebuah ucapan, “terima kasih”…
5) Bertegas akan hal akhirat, bertolak ansur akan hal dunia.
– Bab solat, bab aurat, bab pergaulan ialah bab yang seorang suami perlu bertegas dengan isteri. Kena suruh isteri solat, tutup aurat, jaga pergaulan di luar rumah dan dengan siapa dia berhubung. Ini soal akhirat, perkara-perkara yang akan ditanya Allah SWT kepada seorang suami. Isteri di bawah tanggungjawab suami, maka tegur, nasihat dan bimbinglah isteri akan hal-hal agama.
Untuk hal-hal dunia seperti isteri ingin bekerja, isteri ingin berbakti terhadap orang tuanya, giliran beraya, maka bertolak ansurlah dengan isteri… Fahami situasi yang dialami isteri sebelum menuntut atau menghalang isteri daripada melakukannya…
Ads
Perkara terakhir yang ingin dinasihati ialah, sebagai manusia, kita pasti ada kelemahan, kekurangan dan keburukan. Lengkapilah semua ini dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri… Jangan jadikan ianya sebagai penghalang untuk kita bahagia…Jangan fikir bahawa ada lagi yang lebih baik dan sempurna diluar sana utk kita… Sempurnakan pasangan kita walau siapa pun dirinya… Semoga bermanfaat…
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua, insyallah semoga Allah merahmati hubungan suami, isteri yang sentiasa meletakkan kebahagiaan di tempat yang pertama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Minatnya untuk mengenali agama Islam sudah terbit sejak daripada kecil lagi. meskipun usia baru sahaja 10 tahun, Ang Kwai Leng, tercari-cari erti sebenar dalam kehidupan. Hidup bermasyarakat yang kebanyakannya dikelilingi orang Melayu sedikit sebanyak membuatkan wanita yang lebih dikenali dengan nama Jennifer ini meneruskan pencarian untuk mencari agama yang sebenar untuk dianutinya.
Persoalan
Banyak persoalan yang bermain di benak fikirannya ketika itu, penyelidikan yang dibuat tentang agama Allah membuatkan dia sedar bahawa patung-patung berhala yang selama ini menjadi kiblat ketuhanan agama yang dianuti oleh dirinya itu bukanlah Tuhan yang sebenar.
Lantas sedikit demi sedikit, wanita yang kini sudah berusia 45 belajar tentang Islam. Dicarinya ustazah dan ustaz untuk belajar solat, bertanya pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya yang ketika itu masih lagi muda. Tapi ternyata hidayah Allah masih belum menjadi miliknya, mungkin sahaja faktor umur yang masih setahun jagung membuatkan Jennifer masih lagi tercari-cari erti kehidupan yang sebenar menerusi agama yang boleh dipercayainya.
“Sejak kecil saya ada banyak persoalan tentang Islam. Saya banyak bertanya kepada ustazah dan juga ustaz di sekolah. Saya belajar solat, saya belajar banyak benda tentang Islam dan dari situlah saya mula sedar bahawa patung-patung berhala yang disembah itu semua bukanlah tuhan.
“Namun pencarian saya tidak terhenti di situ sahaja. Saya mula membuat penyelidikan tentang agama Kristian pula. Saya banyak pergi ke gereja-gereja untuk kenal sendiri agama tersebut. Tapi ternyata pencarian saya masih belum sampai ke penghujungnya. Walaupun begitu, dari pemerhatian dan penilaian saya, apa yang boleh saya katakan Islam adalah agama terbaik yang tersemat di hati saya.
Turut mempunyai seorang abang yang juga merupakan seorang Mualaf yang telah terdahulu mengenali Islam sebelum dirinya. Dari situlah Jennifer banyak belajar dan mendengar tentang agama Allah sekali gus menguatkan lagi minatnya untuk terus mendalami Islam.
“Pencarian saya tentang agama seakan tiada jawapan. Tapi hidayah Allah belum betul-betul datang kepada saya. Namun saya bersyukur kerana mempunyai seorang abang yang telah lama memeluk Islam sebelum saya. Dalam tempoh saya mencari agama sebenar untuk saya jadikan pedoman hidup, saya belajar banyak benda tentang Islam menerusi abang kandung saya.
“Dialah yang banyak mengajar tentang indahnya Islam, tentang kisah-kisah Nabi dan Rasul, tentang Umrah dan Haji serta banyak lagi. sedikit sebanyak membuatkan hati saya bertambah teruja untuk terus mengenali Islam,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.
Banyak Dugaan Yang Perlu Ditempuh
Sebelum memeluk Islam, Jennifer sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup, pasangannya dahulu tidak pernah membantah dan tidak pernah mendorong untuk dia belajar tentang Islam, tapi kerana hatinya yang bagaikan sudah terpikat dengan agama suci ini, Jennifer teruskan jua.
Keterujaan Jennifer kali ini tidak seperti dahulu, terasa lebih dekat dan ingin terus mendalami Islam. Dia mula mencari maklumat dalam internet, di media sosial dan juga medium-medium lain tentang kelas-kelas agama, persidangan tentang Islam dan banyak lagi. Dia juga banyak meminta tunjuk ajar dari sahabat-sahabat berbangsa Melayu yang tidak lokek berkongsi ilmu yang ada selain meminta tunjuk ajar dari abangnya itu.
Namun pencariannya itu bukanlah jalan mudah yang perlu Jennifer lalui, ditambah pula dengan pasangannya yang ketika itu tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan dirinya berhijrah ke agama Allah. Keadaan sekeliling dan juga di tempat dia bekerja nampaknya tidak memberikan respons yang positif untuk Jennifer memeluk agama fitrah ini memandangkan rata-rata rakan sekerjanya tidak beragama Islam.
“Dalam usaha untuk saya belajar tentang Islam, memang banyak dugaan yang perlu saya tempuhi terutama dengan bekas suami dan juga rakan sekerja. Bekas suami tahu saya belajar tentang Islam tapi dia pernah minta saya berjanji supaya tidak bertukar agama barulah dia izinkan. Sebelum masuk Islam lagi saya sudah mula belajar Al-Quran, saya ke masjid selepas Isyak untuk hadiri kelas-kelas agama dan banyak lagi.
“Tempat kerja saya tak ramai muslim dan lebih mengeruhkan keadaan adalah majikan saya yang seakan anti dengan Islam. Jadi apa yang saya buat saya perlu sembunyi-sembunyi dan tidak terlalu mendedahkan bahawa saya minat dengan Islam.
“Alhamdulillah niat saya untuk belajar tentang Islam dan seterusnya menjadi seorang muslim akhirnya menjadi kenyataan. Walau banyak dugaan dan cabaran yang perlu saya tempuhi, tapi semua itu bagaikan dipermudahkan. Pada 5 Mei 2017 saya secara rasminya menjadi seorang muslimah setelah mengucapkan Kalimah Syahadah pada 1 Mei tahun lalu dengan menukar nama kepada Nur Hidayah Ang dan masih mengekalkan nama sebenar dalam kad pengenalan,” jelasnya penuh kesyukuran.
Ibu turut memeluk Islam
Pada hari yang sama Jennifer mengucapkan syahadah, dia berpindah dari rumahnya ke rumah jiran sebelah yang kebetulan tinggal sendirian. Dia terpaksa membawa ibunya yang sudah uzur bersama-sama demi menjaga ibunya itu. Meskipun tidak seagama, tanggungjawab terhadap ibu tercinta tidak dilupakan begitu sahaja.
Tiga bulan setelah bergelar seorang muslimah, tiada tanda-tanda bahawa bekas suaminya bakal mengikut jejak langkah Jennifer untuk memeluk Islam. Mengikut undang-undang syariah, setelah tempoh tersebut Jennifer dan pasangan perlu berpisah. Kedua anaknya yang kecil dibawa bersama tinggal di bilik yang disewanya bersama ibu. Manakala anak sulungnya kekal bersama ayahnya. Namun semua itu ada hikmahnya, ibunya juga akhirnya memeluk Islam setelah melihat banyak perubahan positif terhadap anaknya itu.
“Pada hari saya memeluk Islam saya pindah ke rumah jiran yang kebetulan tinggal seorang. Saya bawa ibu saya bersama kerana dia sudah uzur dan berusia. Dua anak yang kecil juga saya bawa bersama manakala yang sulung masih lagi tinggal bersama ayahnya. Pada mulanya ibu saya agak marah dengan saya, namun melihatkan perubahan pada diri saya setelah belajar mengenali Islam, dia reda.
“Lebih menggembirakan hati saya juga apabila ibu saya juga akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam seminggu selepas pengislaman saya. Ramadan dan Syawal tahun lalu memang satu kenangan indah buat saya dan ibu kerana kami dapat bersama-sama menyambutnya. Walau tidak sesempurna orang Islam yang lain, tapi kami cuba untuk buat yang terbaik. Tapi hayat ibu saya tidak panjang, pada Oktober tahun lalu dia telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Sedih memang sedih kerana ibulah sumber kekuatan dan semangat saya, namun dalam masa yang sama saya bersyukur kepada Allah kerana ibu juga mendapat hidayah di penghujung hayatnya dan meninggal sebagai seorang muslim,” kongsi wanita cekal ini lagi.
Jodoh baru
Dalam usaha untuk menjadi seorang muslim yang sempurna, Jennifer terus mengikuti kelas-kelas agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain dan banyak lagi. Dalam penghijrahannya itulah dia bertemu seorang jejaka yang kini menjadi imamnya yang sah. Hanan Mok Abdullah, 56, jodoh baru yang dititipkan Allah buat Jennifer juga seorang mualaf yang telah lapan tahun bergelar seorang muslim. Menurut Jennifer, suaminya itulah yang banyak membimbing dan mengajar tentang Islam kepada dirinya yang masih lagi bertatih.
“Setelah memeluk Islam, saya memang mencari seseorang yang dapat membimbing saya untuk menjadi muslim yang baik. Syukur Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya dan dipertemukan dengan suami saya kini. Dia banyak membantu dan membimbing saya mengenali lebih dekat tentang Islam. Dari dia juga saya belajar untuk menutup aurat dengan betul, makan makanan yang suci dan halal dan banyak lagi. Kalau ada perkara yang kami berdua tidak tahu, kami sama-sama belajar. Saya berharap dengan bimbingan dan tunjuk ajar suami, Insya-Allah kami berdua dapat jadi muslim yang lebih baik,” ulasnya lagi.
Seorang ibu pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya, kini dua orang anaknya yang kecil tinggal bersama Jennifer, harapannya dengan ajaran yang diterapkan semoga suatu hari nanti anak-anaknya juga mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk Islam dan menjadi seorang muslim sepertinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak pelik pun kalau ada mak-mak bagi susu sunnah pada bayi sebab ada sesetengah orang rezeki susunya tak lebat. Tetapi yang jadi persoalan, betul ke susu itu selamat untuk si comel?
Haaa… ada pelbagai jenis susu dicipta khusus untuk menggantikan susu ibu, seperti susu segar lembu (whole cow’s milk), susu formula lembu diperkaya zat besi (iron fortified infant formula), susu berasaskan soya (soy based formula) dan susu kambing.
Untuk pilih susu yang terbaik buat bayi anda, baca kupasan oleh Doktor, Hana Hadzrami ini…
Selepas menulis tentang susu krimer baru-baru ini, ramai yang bertanyakan tentang susu yang diminum oleh anak masing-masing. Boleh dikatakan 100% brand susu sunnah yang ditanyakan oleh pembaca Fb kepada saya di peti mesej semuanya susu bercampur krimer belaka. Susu cuma 10%, minyak sawit 90%! Sedih betul.
Bukan setakat satu dua jenama tetapi berpuluh jenama termasuk jenama terkemuka yang selalu ber”lala lala” di radio dan TV.
Jadi bagaimana memilih susu yang betul?
Pertama sekali saya ingin nyatakan, susu ibu adalah susu yang terbaik. Kandungan zatnya berubah menurut keperluan bayi. Tak seperti susu formula yang berbeza-beza kandungannya. Nama pun susu formula, bermakna kandungan zat protein, karbohidrat dan garam galian diformulasikan khas untuk keperluan umur bayi tertentu. Berbeza formulanya untuk bayi pra matang, bayi 6-12 bulan, bayi setahun ke bawah atau 2 tahun keatas. Jika bayi berkeperluan khas (kurang berat, penyakit metabolik dan lain-lain) lebih berbeza formulanya.
Sebab itu bila saya lihat iklan susu menyamar sunnah yang mendakwa susu mereka sesuai untuk bayi yang baru lahir sampailah ke orang dewasa; sakit betul hati saya.
Namun tak semua bayi bernasib baik boleh mendapat susu ibu. Ada ibu yang kekurangan susu kerana masalah hormon (PCOS atau masalah pituitari contohnya), atau kerana tahap stress yang tinggi. Ada bayi yang tak boleh latching dengan betul (lidah pendek-tongue tie, pra matang, bermasalah pernafasan dan sebagainya). Ada juga bayi yang tak boleh diberi susu ibu contohnya ibu penghidap HIV. Jadi usah berbangga jika boleh menyusu badan dan memandang rendah kepada yang tak boleh menyusu badan. Rezeki itu dari Tuhan, bukan dari tubuh kita.
Sebelum memilih susu, ada beberapa perkara perlu difikirkan.
?Mengapa susu formula, bukan susu segar? Kerana bayi manusia bukanlah bayi lembu atau kambing. Keperluan zat besi dan garam galian adalah berbeza, jadi perlukan formulasi khas yang mendekati susu ibu manusia. Sebab itulah perlu susu formula.
?Pilihlah formula yang bersesuaian dengan umur bayi. Bayi baru lahir hingga 6 bulan tak sesuai minum susu formula biasa. Kandungan garam galian susu biasa adalah berat untuk buah pinggangnya. Keperluan zat lain juga berbeza. Susu segar yang diproses boleh diberikan setelah anak berumur 2 tahun.
?Susu formula lembu vs susu formula kambing. Ramai mengatakan susu kambing adalah sunnah. Sebenarnya susu itu sendiri adalah makanan sunnah; tak kira susu dari lembu, kambing atau unta. Asalkan ia susu dan bukan minyak sawit seperti susu sunnah yang berada dipasaran.
?Susu formula kambing adalah terbaik selepas susu ibu? Susu yang terbaik ialah susu yang membekalkan cukup nutrisi dan tak membebankan poket ibubapa. Jika anak tiada alahan kepada susu lembu, tak perlulah ditukar kepada susu kambing. Susu kambing asli sangatlah hamis, kesian anak tak mahu minum. Kalau susu kambing tu sedap, wangi dan tak hamis, itu bukan susu kambing tetapi krimer sawit.
Susu Untuk Bayi Selepas 6 Bulan
Saya ingin menambah; untuk bayi selepas 6 bulan, susu tak sepatutnya menjadi satu-satunya sumber nutrisi. Bayi hendaklah diperkenalkan dengan makanan pejal. Bukan saja makanan pejal penting untuk keperluan zat tambahan, malah membantu ransangan otot mulut untuk bercakap. Makanan pejal haruslah makanan yang betul (real food) bukan pati madu, kurma, delima dan za’faran yang ditambahkan dalam susu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Orang yang berhati busuk tak mustahil akan melakukan perlakuan buruk, sihir cinta. Dalam al-Quran juga tercatat tentang sihir. Bermakna aktiviti ini memang wujud di tengah-tengah manusia dari dulu lagi. Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj menerima kiriman e-mel dari seorang isteri.
Tentang suaminya yang disihir cinta selepas sehari diijab kabul. Demi sayang wanita ini terus setia sampai 13 tahun lamanya. Sampailah akhirnya ini yang isteri itu alami.
Kisah Dari E-mel Isteri Yang Menderita Akibat Sihir Cinta
Saya amat tertekan sekarang. Tolong saya! Masalah saya adalah suami saya yang tidak mempunyai perasaan. Saya sudah berkahwin 13 tahun dengannya. Sebelum berkahwin dia amat penyayang dan romantik.
Selepas berkahwin keesokan harinya, dia terus berubah sama sekali. Saya masih mampu bertahan sampai sekarang demi anak dan juga famili. Mereka semuanya baik.
Saya tak tahan dengan sikapnya yang tak pernah ambil tahu perasaan saya atau apa saya buat.Saya tak boleh menyentuhnya sama sekali. Saya juga tak boleh berbual dengannya seperti pasangan lain.
Dia pernah menghalau saya jika saya sentuh atau cuba bermanja dengannya. Jika saya berbual dengannya dia akan suruh saya diam dengan nada menengking. Apa salah saya.
Saya pernah minta dia melepaskan tapi dia enggan. Saya mempunyai tiga orang anak dengannya. Seks juga mengikut kemahuannya. Saya tak boleh mendekati suami dan hanya dia yang boleh mendekati saya.
Saya amat sedih melihat orang lain bahagia dan mesra dengan suami. Tapi sayatak begitu. Saya selalu membawa diri bagi menenangkan hati. Pernah saya bertanyakan tidakkah dia mencintai dan menyayangi saya. Sebaliknya, saya yang dimarahi.
Katanya saya gila. Bukankah kita sudah berkahwin, kenapa nak tanya semua itu?
Saya bekerja, tapi suami cuma duduk di rumah. Masanya dihabiskan di meja komputer dan bermain piano. Sekarang saya nak tahu, saya gila atau dia yang gila? Sampai bila saya nak memendam rasa.
Tanda-tanda Gangguan Sihir Panggilan
1. Selalu alami mimpi ngeri
2. Bermimpi mendengar orang memanggil nama
3. Selalu was-was, selalu syak wasangka pada teman atau orang yang mencintainya termasuk isteri atau suami
4. Mimpi jatuh dari tempat tinggi
5. Mimpi melihat haiwan yang mengejarnya
Nasihat Untuk Mereka Yang Alami Gangguan Sihir
Bawalah suami berubat kerana agak mustahil kasih sayang boleh berubah selepas sehari disahkan menjadi pasangan suami isteri.
Biasakanlah diri mengamalkan bacaan surah al-Falaq
Sumber: Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.