Mantan Pegawai Bank Ini Kongsi Strategi Dana Simpanan, Moratorium Dan i-Citra

Share

Jika anda sudah membuat pilihan mengambil moratorium, dan memohon i-Citra boleh cuba ikut saranan ini dan apa perkaitan kemudahan ini dengan dana simpanan anda.

Buat yang masih belum bertemu solusinya, cuba hadamkan perkongsian Mohd Shukur yang berpengalaman lebih 30 tahun mengendali Agensi Takaful. Perkongsian ini sudah pun diolah dengan gaya bahasa layman, agar lebih mudah difahami oleh sesiapa pun.

Sebelum ini Mingguan Wanita ada berkongsi berkenaan moratorium.Ada ramai pembaca komen di sharing yang lepas, tetapi saya tidak dapat menjawab kesemunya.

Diharapkan agar perkongsian terbaru ini dapat menjawab sebahagian besar dari komen-komen pembaca tersebut.”

Strategi Dana Simpanan Anda, Moratorium Dan i-Citra

1) Sebelum anda buat keputusan samada ambil Moratorium atau tidak, periksa dahulu komponen pengurusan kewangan paling penting iaitu dana simpanan tunai anda.

2) Masih ada pekerjaan, pendapatan masih kekal setiap bulan, aliran tunai masih OK, Net Worth OK…..bukanlah jaminan untuk anda bersedia menghadapi cabaran selepas 6 bulan akan datang ini.

3) Dana Simpanan anda adalah benda yang sama dengan apa yang disebut sebagai Emergency Fund, Cash Reserve atau Aset Cair.

4) Ramai yang menyebut secara umum iaitu anda mestilah mempunyai duit simpanan untuk 6 bulan, ianya betul tetapi mari kita analisa secara lebih terperinci tetapi mudah difahami semua lapisan masyarakat.

Perhatikan 2 Perbelanjaan Bulanan Anda Ini

5) Ada 2 perbelanjaan bulanan anda yang besar iaitu :

(i) Perbelanjaan Tetap : Ansuran Sewa Beli Kenderaan kepada Bank, Ansuran Rumah kepada Bank atau bayaran sewa rumah & Caruman Bulanan Hibah Takaful. Katakan jumlah semuanya RM 2,000.
(ii) Perbelanjaan Isi Rumah

iaitu perbelanjaan makan minum keluarga, bil elektrik dan air, bil telefon, internet, duit poket dan sebagainya. Katakan jumlah ialah RM 2,000.
Maka Jumlah tanggungan anda sebulan ialah RM 4,000 sebulan atau RM 48,000 setahun.

6) Jumlah Dana Simpanan yang anda sepatutnya ada jika anda berumur 40 tahun hingga 49 tahun ialah bersamaan setahun tanggungan perbelanjaan di nombor 5 tadi.
Ianya Nisbah Semasa antara Dana Simpanan ( Aset Cair anda ) dengan Tanggungan Perbelanjaan ialah 1:1

1:1 bermaksud 12 bulan : 12 bulan iaitu Dana Simpanan mencukupi untuk menanggung setahun tanggungan perbelanjaan ( bagi yang berumur 40 tahun hingga 49 tahun ).

Jika terjadi apa-apa yang mengakibatkan anda kehilangan pekerjaan dan aliran tunai, aset tetap anda seperti rumah kediaman, rumah pelaburan dan tanah tidak dapat membantu dengan segera kerana mengambil masa yang lama untuk dicairkan.

Kereta pula lagi tidak membantu kerana mengalami susut nilai besar setiap tahun dan jika ianya masih lagi dalam perjanjian sewa beli, nilainya mungkin lebih rendah dari baki hutang.

Duit KWSP juga tidak boleh dikeluarkan jika belum sampai had umur, maka untuk golongan yang terjejas ada baiknya anda mohon i-Citra untuk dimasukkan ke dana simpanan anda. Ianya memberi ketenangan fikiran untuk anda mengorak langkah ke depan.

Fahami Dana Simpanan Dan Aset Cair Ikut Had Umur

7) Dana Simpanan atau Aset Cair terdiri daripada wang tunai di rumah atau akaun bank, Simpanan ASB, Simpanan Tabung Haji, Unit Trust / Pelaburan tunai, Emas bar juga emas perhiasan mengikut nilai semasa.

Anda mestilah mempunyai jumlah aset cair di atas bersamaan jumlah setahun tanggungan perbelanjaan.

8) Bagi mereka yang berumur 39 tahun ke bawah, anda bolehlah mempunyai jumlah dana simpanan/aset cair berjumlah 6 bulan iaitu nisbah 0.5 : 1 dengan tanggungan perbelanjaan setahun.

Ini disebabkan dengan usia muda, anda boleh bangkit pantas untuk berniaga atau bekerja sendiri. Juga anda masih diterima dalam pasaran buruh / tenaga kerja untuk makan gaji.

9) Jika anda berumur 51 tahun ke atas

, Dana simpanan / Aset cair anda mestilah nisbah 2 : 1.

Iaitu anda mempunyai jumlah aset cair untuk 2 tahun atau 24 bulan bagi menanggung perbelanjaan isi rumah jika ditimpa bencana seperti kehilangan pekerjaan atau perniagaan.

10) Pandemik kali ini akan menyebabkan kemerosotan ekonomi dengan nisbah 80 : 10 : 10 iaitu 80% terjejas, 10% bertahan dan 10% terus semakin kaya.

11) Anda boleh belajar mengira sendiri Dana Simpanan / Aset Cair anda dan nisbahkan dengan Tanggungan perbelanjaan anda mengikut umur anda sekarang.

Saranan Ambil Moratorium, Mohon i-Citra

12) Jika anda dapati Dana Simpanan / Aset Cair anda hanya bersamaan sebulan atau 3 bulan tanggungan perbelanjaan, anda dalam keadaan bahaya dan saya mengesyorkan anda mengambil Moratorium 100% 6 bulan untuk mengukuhkan dana simpanan anda di samping memohon i-Citra.

13) Sebab itulah Moratorium ini bukan hanya untuk yang terjejas pendapatan dan terbuka untuk M40 dan T20 sekali. Tetapi ianya adalah kesempatan untuk anda memperbaiki dana simpanan atau aset cair anda.

14) Baru-baru ini seorang lelaki berumur 40-an yang mempunyai gaji dan elaun RM 50,000 sebulan kehilangan pekerjaan. Kini pendapatannya ialah RM kosong. Jumlah tanggungan perbelanjaannya sangat tinggi ( saya tidak ada data ini cuma dimaklumkan oleh seorang rakan perancang kewangan ).

Saya dimaklumkan dia mempunyai gaya hidup mewah, baiklah itu boleh tukar jadi gaya hidup B40, tetapi bagaimana untuk membayar ansuran rumah dan keretanya sekarang ?

15) Janganlah anda terlalu mengira jumlah interest dari moratorium jika anda tidak mempunyai dana simpanan untuk sebulan pun. Lebih kurang sama sahaja setiap bank di Malaysia ini.

Ianya ibarat orang yang sedang terkapai-kapai lemas di lautan dalam tetapi nak membuat analisa dan kajian dahulu jika ada yang datang nak membantu.

Betulkan Dana Simpanan Anda

16) Untuk moratorium ini, jika faedah pinjaman perumahan anda ialah 3% sekarang dan anda menyimpan di ASB contohnya dengan dividen 4.5%, anda masih untung 1.5%.

Tetapi keuntungan paling besar yang sangat tinggi nilainya ialah ketenangan fikiran dan ketenteraman jiwa anda dan keluarga tersayang. Anda kini mempunyai dana simpanan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan datang.

17) Gunakan moratorium ini untuk membetulkan dana simpanan anda. Duit moratorium ini boleh simpan di ASB atau Tabung Haji supaya anda tiada risiko kehilangan modal.

Melabur itu boleh jika anda ada ilmu. Jangan laburkan duit moratorium jika anda bukan pakar. Ceritera indah untung main saham hanyalah nisbah 20:80.

Juga usah terpengaruh dengan mereka yang mengaku pakar. Pakar Ular pun mati dipatuk Ular. Pawang Buaya juga mati dibaham buaya. Jurulatih Payung Terjun mati ketika melakukan terjunan. Pakar Scuba pun boleh mati lemas, kepakaran bukanlah jaminan mereka akan selalu selamat.

18) Nasihat ini samada sesuai atau tidak sesuai untuk anda bergantung kepada situasi anda sendiri.

Saya berharap saya telah memberi sedikit sumbangan kecil kepada mereka yang membaca.

Jika anda nak FREE Tips kewangan setiap hari, belajar pengurusan kewangan, pelaburan & hartanah? Klik link ini, https://t.me/TipsKewanganPowerful dan JOIN bersama subscribers lain.

Apa pun keputusan anda ingatlah, apabila terjadi bencana nanti, tidak ada orang akan datang ke rumah anda dan berkata….. Hai, saya datang nak bayarkan ansuran rumah dan kereta anda setiap bulan.

Sayangi keluarga anda dan masa depan anak-anak.

Mingguan Wanita : Semoga berjaya mencapai kewangan tenang untuk anda dan keluarga.

Sumber/Foto : Mohd Shukur, Ex-Banker, 30 years in Takaful / Insurance / Finance.

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Netty Ah Hiyer