Tahun 2019 bakal ke penghujung. Daripada pemerhatian saya, kes melibatkan orang ketiga berupa kekasih atau isteri baru suami tetap berada di kedudukan yang paling tinggi. Ada juga berpunca daripada sikap isteri yang manjakan suami hingga suami ‘lupa’ tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Alasan biasa sebagai punca ialah suami kurang dapat layanan isteri, tak memahami dan macam-macam lagi. Secara konklusinya jawapan-jawapan tersebut betul tetapi kurang tepat.
Jawapan yang paling tepat dan menjadi punca utama kepada wujudnya cinta baru di hati suami terhadap wanita lain ialah sikap isteri sendiri yang terlalu memanjakan si suami.
Saya bukan menghalang para isteri memanjakan suami tetapi biarlah manja dan kasih sayang yang bertempat. Boleh manjakan suami dengan kata-kata rindu, belaian sayang, pujukan manja, layanan mesra dan pelbagai tindakan lain selagi manja tersebut tidak melanggar dua syarat utama iaitu; pertama; tidak mengambil alih peranan dan tanggungjawab suami. Kedua; tidak mencabuli hak anda sebagai seorang isteri.
Islam tentukan seorang suami wajib dihormati tanpa pengecualian disebabkan si suami diberikan dua peranan yang besar terhadap isteri dan anak-anak iaitu menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak serta mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang Allah redai.
Malangnya, dalam dunia serba moden dan maju kini, seakan-akan tanggungjawab ini tidak lagi menjadi perkara perlu dilaksanakan.
Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep bahagi sama rata atau kongsi dua – sewa rumah bahagia dua, bil air bahagi dua, bil elektrik bahagi dua, dah macam teman serumah tapi tidur sekatil. Malah ada kes, nak beli susu dan lampin anak pun kosnya dibahagi sama rata.
Bukan tak boleh berkongsi tetapi anda sengaja membiarkan suami anda gagal melaksanakan tanggungjawabnya yang patut yang Allah SWT tentukan kepadanya sebagai seorang suami dan seorang bapa jika mempunyai anak-anak.
Memang diakui, ramai isteri hari ni yang bekerja malah ada kes, pendapatan isteri lebih tinggi daripada pendapatan suami. Tak ada salahnya jika isteri memilih suami yang kurang pangkat atau kurang pendapatan berbanding pangkat atau pendapatan anda.
Hanya pesan saya, pastikan anda benarkan suami menggunakan wang hasil pendapatannya terlebih dahulu untuk menampung segala perbelanjaan keluarga. Bila duitnya dah tak cukup, barulah gunakan duit anda pula.
Paling malang bila makin ramai isteri yang membiayai segala keperluan rumah tangga sebab suami tak bekerja. Tahun ini sahaja ada dua kes yang benar-benar menaikkan darah saya, satu kes – suami tak kerja langsung sepanjang 22 tahun perkahwinan dan terkini minggu lepas, suami tak bekerja langsung sepanjang 35 tahun perkahwinan.
Prinsip perkahwinan bukan hanya untuk membenarkan dua insan bernama lelaki dan wanita bersatu atas dasar cinta dan kasih sayang sebaliknya syariat juga tentukan perkahwinan adalah untuk kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri melaksanakan peranan dan tanggungjawab.
Terdapat tiga kategori tanggungjawab iaitu:
1- tanggungjawab tersendiri seorang suami yang menjadi hak isteri,
2- tanggungjawab tersendiri seorang isteri yang menjadi hak suami; dan
3- tanggungjawab bersama suami isteri yang menjadi hak anak atau anak-anak
Tanggungjawab tersendiri seorang suami ialah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan dengan syarat berusaha peringkat maksima tanpa menganiayai diri sendiri, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.
Tanggungjawab tersendiri seorang isteri pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormati suami sepanjang masa dan menyenangkan hati suami.
Sementara tanggungjawab bersama suami isteri ialah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga. Andai masing-masing berusaha melaksanakan segala tanggungjawab dinyatakan sebaiknya, akan ada pihak yang menerima hak dan kesannya akan wujud bahagia.
Saya merayu dan memohon kepada para isteri semua: jangan ambil alih peranan suami dalam perbelanjaan keperluan anda, anak-anak dan rumah tangga. Bantu tetapi tuntut semula jumlah yang anda bantu sebagai hutang yang perlu suami bayar apabila suami berkemampuan membayarnya semula. Bukan mengajar anda berkira tetapi saya hanya mohon agar anda berjaga-jaga. Percayalah! Bila suami terasa beratnya beban menjadi suami kepada seorang isteri, dia akan lebih menghargai anda, insya-Allah…
Artikel ini merupakan penulisan daripada Puan Suzana Ghazali, perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. Berpengalaman lebih kurang 21 tahun dalam mengendalikan kes-kes rumah tangga.