Mangsa Wanita Dedah Apa Yang Jadi Waktu Lif Terhempas Di PPR Kerinchi

Share

Dalam kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Pantai Dalam, seorang mangsa adalah wanita. Selebihnya tujuh orang adalah lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak usia 10 tahun.

Mangsa wanita yang mengalami tisu koyak dan mendapat cuti sakit selama dua hari ini berkongsi detik cemas yang dilalui dari saat dia menjejak masuk ke lif hinggalah lif itu jatuh terhempas dalam keadaan pintu lif terbuka.

Ibarat aksi filem.” kata Noorhasniza Jamaluddin, 34 mangsa wanita yang ditemui di kediamannya.

Ketika kejadian, dia cuma mampu memejamkan mata dan beristigfar.

Waktu dalam lif itu ada suaminya, Johari Jamaluddin, 40 yang bersama-sama dengannya untuk turun mengambil barang yang tertinggal dalam kereta.

Ketika lif bergerak untuk naik semula itulah dia lalui detik penuh debaran itu.

Tiba-tiba Lif Terhempas Menjunam Ke bawah

Kongsinya, sebaik seorang pemuda keluar dari lif di tingkat lima itu, secara tiba-tiba lif menjunam ke bawah. Dalam keadaan pintunya terbuka. Masa itu, dia sempat lagi berpaut tangan suami dan menundukkan sedikit badan.

Semuanya terjadi dalam sekelip mata. Sedar-sedar dia sudah sampai ke aras bawah dalam keadaan lapan orang mangsa saling berhimpit.

Dekat 15 minit juga dia terpaksa berhimpit dengan mangsa lain yang terperangkap dalam lif itu. “Kami cuba buka pintu lif. Tapi tak berjaya. Sampailah penyelenggara lif datang buka kunci

.”

Dan akhirnya, kesemua mangsa ini dibantu orang awam keluar dari lif berkenaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang Jumaat lalu, masih mengundang trauma di hatinya. Katanya lagi, ini bukan kejadian pertama yang jadi di situ.

Harap lif uzur ini diganti dengan yang baru, sebab kerap sangat rosak.”

Lebih menyayat hati, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan 3 mangsa lain patah kaki, manakala empat yang lain cedera di pergelangan kaki dan tangan. Dari kalangan mangsa juga adanya seorang warga emas berusia 69 tahun.

Sungguh! tak dapat dibayangkan betapa ngerinya saat nyawa bagai di hujung tanduk tu.

 

Lif PPR Kerinchi Bukan Terhempas..

Dalam temuramah bersama Astro Awani, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Ir Omar Mat Piah menjelaskan lif di PPR Kerinci itu tidak terhempas.

Sebaliknya, lif berkenaan bergerak lebih dari kelajuan biasa sebelum brek keselamatan berfungsi sehingga menyebabkan impak kepada mangsa di dalamnya.

Katanya lagi, insiden ini bukan disebabkan tali sawat putus atau sebagainya, tetapi ia masalah teknikal. “Lif ini turun bukan freefall (jatuh bebas) tetapi ia turun dalam keadaan laju biasa. Lif ini mempunyai banyak alat kawalan jika lif terlalu laju ada kawalan-kawalan akan mengurangkan kelajuan.

Tambahnya, sekiranya berlaku free fall, ada satu alat keselamatan dikenali sebagai brek keselamatan untuk berhentikan lif tersebut. Tapi untuk insiden ini tidak sampai keadaan tersebut.

Siasatan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

MW : Jika ini bukan kejadian pertama, seharusnya pihak berwajib lebih prihatin dengan nasib penghuni rumah flat di kawasan kediaman berkenaan. Malah, bukan saja di PPR Kerinchi.. terdapat juga lif-lif di kediaman flat lain di ibu kota yang dalam keadaan uzur dan membimbangkan.

Sumber/Foto : Sinar Harian, Astro Awani

Published by
webadmin