
Isi Kandungan
ToggleTahukah anda kulit pisang juga memiliki manfaat yang tak kalah seperti isinya? Kalau biasanya kita dah tahu tentang khasiat pisang yang mengandungi banyak zat terbaik untuk kesihatan dari sudut vitamin, mungkin ramai yang belum tahu rahsia kulit pisang yang selama ini dianggap sebagai sampah terselit manfaat luar biasa untuk kecantikan.
Petua ajaib ini digodek dari blog Style Craze, yang mana kulit pisang mampu mengatasi masalah jerawat dan kulit wajah yang tak gebu.
Nak tahu bagaimana caranya? Ok, jom semak…
Kupas pisang, ambil isinya untuk dimakan atau dibuat masakan. Tetapi jangan buang kulitnya, gunakan sebagai bahan scrub untuk kulit wajah berjerawat.
Cara-caranya:
- Ambil kulit pisang kemudian gosokkan pada kulit wajah secara lembut.
- 2. Kulit pisang yang digosokkan pada wajah lama kelamaan akan berubah warna dari kuning menjadi hitam.
- Janga bimbang sebab itu kotoran pada wajahmu telah melekat pada kulit pisang.
- Lakukan proses scrubing ini selama 10 minit.
- Kemudian jangan terus bilas wajahmu, biarkan sisa-sisa kulit pisang melekat pada wajahmu satu malam untuk mengatasi infeksi pada wajahmu.
- Untuk hasil terbaik, lakukan tip ini setiap malam sebelum tidur.
Nota Tentang Kulit Pisang
Kulit pisang yang digosokkan pada wajah lama kelamaan akan berubah warna dari kuning menjadi hitam.
Ok, jangan bimbang sebab itu sebenarnya kotoran yang ada di wajah anda tapi telah melekat pada kulit pisang.
Lakukan proses scrubing ini selama 10 minit.

Kemudian jangan terus bilas wajahmu, biarkan sisa-sisa kulit pisang melekat pada wajahmu satu malam untuk mengatasi infeksi pada wajahmu.
Untuk hasil terbaik, lakukan tip ini setiap malam sebelum tidur.
Selamat mencuba!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lepas 5 Bulan Bernikah Suami Lumpuh Dan Buta Akibat Buah Pinggang Bocor, Sebak Bila Baca Permintaannya Pada Isteri..

Isi Kandungan
ToggleKenal 5 hari, Hafiz dan Sahida disatukan. Lepas 5 bulan bernikah, suami lumpuh dan buta akibat disahkan buah pinggang bocor tahap 4. Sampai satu tahap, Hafiz rasa hidupnya itu menyusahkan isterinya, Sahida. Ketika pilu, inilah permintaan yang keluar dari bibirnya.
“Jika awak rasa penat dan berjumpa dengan orang lain yang lebih baik, pergilah awak bersamanya. Abang dah tidak punya apa-apa. Tak berharta, nak berjalan pun sudah lumpuh. Mata pun sudah tak mampu melihat. Semuanya bergantung pada awak untuk teruskan hidup.
“Abang bukannya bayi, kalau bayi bolehlah ditimang-timang. Ini sudah besar panjang tetapi menyusahkan. Kalau awak tak mampu layani abang, abang rela lepaskan awak dengan orang lain demi masa depan awak.
“Sebab abang nak lihat awak bahagia seperti orang lain. Sudah banyak awak berkorban untuk abang.”
Itulah kata-kata Mohamad Hafiz Abdul Hamid, 31 tahun setiap kali dia terasa begitu membebankan isteri tercinta, Sahida Abdul Rahman, 37 tahun.
Setiap pasangan ada jalan ceritanya yang tersendiri. Begitu juga dengan buku kehidupan Mohd Hafiz dan Sahida. Berkenalan sekadar lima hari sebelum nekad menyulam cinta yang disuburkan dari muka buku. Dalam masa lima bulan mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Setelah diijab kabulkan pada 28 Mac 2014, Sahida merasakan dirinya adalah wanita terbahagia di dunia. Mohd Hafiz seorang suami yang penyayang dan kuat bekerja. Bersama Mohd Hafiz dirinya merasai kebahagiaan luar biasa yang setiap wanita inginkan.
Tubuh Bengkak Tanda Buah Pinggang Bocor
Januari tahun lalu mengubah kehidupan pasangan ini secara total.
Mohd Hafiz sememangnya kuat bekerja, apatah lagi sejak diterima sebagai Pembantu Operasi Jabatan Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Peluang pekerjaan ini amat dinantikan suami Sahida. Setiap hari, Hafiz berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.
Sampailah suatu petang, ketika pulang dari tempat kerja. Hujan turun dengan lebatnya. Suaminya terpaksa merelakan tubuhnya kebasahan. Motosikal ditunggang deras meredah bumi yang menangis.
Setiba di rumah, badannya terasa lemah dan mula membengkak. Paling ketara di bahagian mata. Ketika bangun keesokan pagi, badan Mohd Hafiz terasa panas. Dia demam. Bimbang keadaan Hafiz, Sahida membawa suaminya ke klinik.
“Awalnya kami ingatkan cuma demam biasa. Mungkin juga itu disebabkan alergi. Kami jadi tertanya-tanya. Apa yang Hafiz makan sampai badan bengkak tiba-tiba. Bila dia telan ubat, bengkak mulai surut.” Hati isteri dapat merasai, ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
“Saya bawa dia ke HUKM pula, di sana baru kami tahu yang Hafiz mengalami kebocoran buah pinggang tahap empat. Hampir terduduk kerana tidak percaya dengan kenyataan.
“Selama ini Hafiz sihat sahaja dan tidak pernah mengadu sakit, saya sendiri terkejut, apatah lagi dia,” ungkap Sahida sedih mengimbau kenangan lalu.
Apabila Suami Lumpuh Separuh Badan
Mohd Hafiz ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bila beransur baik, dia dibenarkan pulang. Hatinya masih kuat walau kesihatan makin terjejas. Pergerakan jadi lebih terbatas. Terjatuh itu biasa. Langkahnya juga tertahan-tahan. Tapi tetap bekerja seperti biasa. Sekitar Januari sampailah April tahun lalu.
Biar pun matanya kabur, dia menunggang motosikal ke tempat kerja. Sahidalah jurupandu dan ‘mata’ kedua suaminya. Dia tak pernah meninggalkan suami dan sentiasa menemani walau cuma mahu ke tempat kerja.
Kemuncaknya, Oktober tahun lalu Mohd Hafiz tak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua minggu dia koma, 2 minggu kemudian dimasukkan ke wad biasa. Dan akhirnya suaminya dibenarkan pulang.
Tugas sukar Sahida pun bermula. Menjaga suami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah. Melakukan sendiri proses dialisis di rumah. Pilihannya cuma mencuci darah dengan air. Kerana, dia tidak mampu membawa suami ke hopital untuk dialisis setiap hari. Itulah saja kaedah terbaik yang mereka ada dengan saranan doktor.
“Sejak Januari lalu, suami perlu cuci darah lima kali sehari bermula seawal tujuh pagi dan yang terakhir pada jam 11 malam. Biar pun agak penat, tetapi kesihatan suami tampak beransur baik sejak dia lakukan dialisis. Paling penting saya dapat lakukan sendiri.
“Saya bersyukur, untuk bekalan air bagi proses dialisis kami mendapat bantuan daripada pihak hospital termasuklah topeng muka. Selebihnya seperti lampin pakai buang, plaster, dan beberapa perkara lagi, kami perlu beli sendiri.
“Kami hanya bergantung kepada gaji suami, RM1300, yang masih berjalan. Tetapi itu pun mengikut majikan suami, gaji tersebut sepatutnya dihentikan pada Jun lalu. Jadi kami masih menunggu bagaimana status gaji suami, sama ada perlu bayar balik atau bagaimana.
“Selama ini pun duit yang ada masih belum cukup untuk menampung sewa rumah, bekalan lampin pakai buang, bil elektrik, tambang untuk berulang-alik ke hospital sebulan beberapa kali.
Saraf Mulai Rosak, Mata Pun Sudah Buta
Beberapa bulan belakangan ini, kesihatan mata suami makin menyusut. Hasil pemeriksaan mendapati kedua belah mata suami buta kerana saraf rosak.
“Saya tetap mendoakan agar ada keajaiban untuk kembali melihat. Saya begitu teringin menatap wajah isteri yang penat lelah setiap hari. Menguruskan keperluan saya sampai tak cukup rehat dan tidur.

“Sekarang ini pun, saya tak dapat bezakan siang dan malam. Kadang-kadang rasa dah lama sangat tidur, sebab itu bangun. Rupanya masih malam. Tengok televisyen pun dia tidak mampu, hanya dengar sahaja. Itulah hiburannya sekarang, dengar radio.
“Moga suatu hari nanti saya dapat bekerja semula biarpun tak mampu berjalan ataupun melihat. Yang penting, saya tak menyusahkan orang.” Luah Mohd Hafiz sedih.
Ujian Tuhan Takkan Buat Isteri Ini Goyah
Sebagaimana suaminya redha dengan ujian yang Tuhan tuliskan buat mereka berdua, dia juga sebegitu. Tiada langsung sekelumit perasaan menyalahkan takdir Ilahi. Kelumpuhan yang suami alami diterima dengan hati terbuka. Sahida kuat semangat dan tidak kekok menguruskan keperluan suaminya. Pengalaman menjaga orang sakit memudahkan urusannya.
“Mungkin Allah temukan kami berdua untuk saya kuat.” Lebih banyak ganjaran pahala kerana dapat menjaga suami yang perlukan belaian khusus darinya. Namun Sahida juga insan biasa. Kadang-kadang dia merasa penat. Doanya agar dikurniakan kesabaran yang tinggi sepanjang berkhidmat untuk suami tercinta.
“Sejak berkahwin dengan suami, saya banyak berjalan. Sejak remaja saya jarang ke mana-mana. Bila berkahwin, suamilah yang bawa saya ke sana, sini biar pun hanya bermotosikal.
“Kami pernah ke Genting Highlands menaiki motosikal. Paling gila dia bawa saya ke Kuantan menaiki motosikal. Kenangan-kenangan tersebut tidak dapat saya lupakan.
Sampai satu saat, ketika dia sakit walaupun matanya kabur Hafiz gagahkan diri untuk bawa motosikal dan benarkan Sahida jadi pembonceng yang tunjukkan arah. “Kadang-kadang kelakar macam orang buta tunggang motosikal. Tetapi saya sentiasa sedia untuk jadi ‘mata’ dia sampai bila-bila.”
Bantu Keluarga Kecil Ini
Sumbangan ke akaun di bawah untuk membantu Sahida dan suaminya yang lumpuh, buta dan alami buah pinggang bocor:
Maybank 114487050267 atas nama Mohamad Hafiz bin Abdul Hamid.
Kredit foto : Tuan Azman Tuan Muda
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hidayah Ingat Pesan Arwah Abam “Allah Sentiasa Ada, Kesedihan Tak Perlu Ditunjuk-Tunjuk”

Isteri kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali atau disapa Hidayah menerusi entri di Instagram semalam meluahkan perasaannya apabila ada pihak yang menuduh dia tidak bersedih dengan pemergiaan arwah suaminya Abam pada 10 Februari lalu.
Menurut ibu tunggal ini dia reda dengan tuduhan sedemikian. Namun Hidayah sentiasa beringat akan pesan arwah Abam, di mana kesedihan tidak perlu ditunjuk-tunjuk;
“Ada orang berkata aku tak sedih dengan kematian suami tak apalah cakaplah apa pun Allah yang Maha Mengetahui segalanya, ingat lagi pesan arwah suami.
Mereka Bukan Bagi Kita Makan
“Sayang biarlah apa pun orang nak kata kita, mereka bukan bagi kita makan. Janji kita dengan cara kita jangan berhenti berdoa. Allah sentiasa ada bersama kita.
“Kesedihan tak perlu ditunjuk-tunjuk, bersedih (selain takut kerana Allah) tidak diajarkan dalam agama.
“Bahkan kita banyak menemui ayat mahupun hadis yang melarang kita untuk bersedih.
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” QS. At-Taubah: 40
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” QS.Ali ‘Imran:139

Al-Fatihah Suamiku Syed Umar Mokhtar
Antara komen nasihat dari pengikut Instagram Hidayah Abam
Sumber/Foto: Instagram Hidayah Abam
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Usia 7 Tahun Jadi Mangsa Buli Di Sekolah, Pendekatan Bijak Ibu Ini Lakukan Wajar Dicontohi

Isi Kandungan
ToggleMemang sedih dan rasa terkilan bagi seorang ibu apabila anak nak dihantar ke sekolah menjadi salah seorang mangsa buli oleh rakan sebaya semuda usia 7 tahun! Antaranya anak dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan sebagainya. Pelbagai perkara terlintas di fikiran, bagaimana kanak-kanak berumur 7 tahun sudah berani melakukan perkara sebegini.
Pendekatan bijak yang di lakukan oleh ibu muda beranak empat, Puan Norasikin Hussein ini terhadap pembuli anaknya, wajar dijadikan iktibar buat mak ayah yang lain jika berhadapan kes yang sama sebegini. Paling penting ia dilakukan secara berhemah, tidak emosi dan mendekati pembuli anaknya dengan rasional untuk mencari punca sebenar.
Berikut antara perkongsian kisah beliau;
Buli.
Saya beranikan diri berkongsi kisah anak sendiri dibuli secara fizikal. Semoga ada iktibar.
Bismillah.
“Minggu lepas saya jumpa pembuli anak di kantin sekolah walaupun cikgu dah ambil tindakan dengan mengasingkan mereka didalam kelas. Saya ambil keputusan begini sebab masih berlarutan dia membuli anak saya. Sepanjang 2 minggu akhir bulan lepas anak saya saban hari telah dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan beberapa lagi saya taknak senaraikan. Cukuplah ini sahaja. Melibatkan budak yang sama.”
Saya sedih.
Bagaimana 2 minggu anak saya lalui semua ni. Sepatutnya dia bergembira bukan menanggung sedih seorang diri.
Saya tanya dia. “Kenapa kamu tak beritahu ibu semua ni?”
Bila dia jawab dia cuba nak selesaikan dulu sendiri masalah ni. Gugur air mata saya.
Saya sedih.
Mengapa anak berusia tujuh tahun yang lahirnya fitrah. Suci tanpa setitik dosa boleh melakukan semua ni pada rakannya. Apa sebenarnya dia sedang lalui. Saya ambil keputusan berjumpa anak ni ketika waktu rehat tanpa melibatkan pihak lain dahulu iaitu ibu bapa dia dan guru. Saya ingin kenal dia terdahulu.
Saya beri salam.
“Assalamualaikum. Boleh acik dok sebelah.”
“Waalaikumussalam acik!”
Dia menjawab salam saya. Bagus! Dia juga beri ruang untuk saya duduk.
Saya lihat baju dan tudung dipakai budak ni. Hmm.. bersih dan kemas.
Pandai dia melipat tudung dua lapis tu. Anak tudung juga terletak elok. Raut wajah nampak tak seperti rakan sebaya yang lain. Nampak matang sebelum usia.
Saya mulakan perbualan dengan bertanya nama. Benarkah nama sekian sekian. Dia angguk. “Ya betul acik”
Saya belanja 2 biji donut coklat yang saya beli dikantin tu juga. Dia ucap terima kasih. Bagus. Ada adab.
Tak Nak Kawan
Tanpa lengah saya terus buka soalan.
“Acik nak tanya betul ke kamu ada cekik anak acik setiap kali sekolah?”
Dia berhenti menguyah. Mata terhenti melihat keropok leko bersalut sos.
Saya ulang sekali lagi soalan tadi.
Tiada respon.
“….jujur dengan acik. Acik tak marah. Beritahu saja, benar ke kamu buat begitu?”
“Ya. Saya buat”..
Berani budak ni.
“Kenapa kamu cekik anak acik?”
“Saya nak dia kawan saya. Saya cekik sebab dia tak nak kawan dengan saya..”
laju je keluar dari mulut dia..Oh. Dia fikir dengan cekik dia boleh dapat kawan ke?
Saya cuba betulkan. Mesti.
“Salah tu… Kalau nak berkawan dengan baik-baik dengan orang. Kena senyum, kena tegur orang. Hai..boleh saya kita kawan ? Kalau awak cekik orang..siapa pun tak nak kawan dengan kamu. Bukan anak acik saja taknak kawan dengan kamu, nanti semua tak nak kawan dengan kamu…”
Diam.
Saya sambung.
“Kamu cekik anak acik tu kamu belajar dari mana? Mana tengok semua tu…nanti boleh mati tau kalau cekik-cekik orang ni. Nak polis tangkap ke?”
Dia menggeleng- geleng kepala.
“Tak…taknak..taknak acik…”
Hah. Tau takut!
Saya ulang tanya dari mana dia belajar cekik orang ni.
Dia hanya menggeleng.
Saya serang lagi dengan soalan.
“Acik dapat tahu dari anak acik duit dia yang dalam beg dan jam kamu ambil. Ada si xxx sebelah kamu ada nampak kamu buka beg anak acik tempohari..?”
“Tak acik. Saya tak ambil”
Beria dia menafikan bab ni.
Baik. Saya malas nak panjang cerita bab duit ni..
Saya sambung siasatan.
“Hari-hari anak acik kata kamu suka campak buku-buku anak acik dalam kelas. Benar kamu buat macam tu?”
Dia mengaku lagi.. “Ya acik. Saya buat macam tu”
“Kenapa buat macam tu. Tak kesian ke pada anak acik. Menangis bila cerita apa yang kamu buat. Jenuh dia nak mengutip buku, pensil semua tu..”
Saya tengok muka polos dia. Kenapalah harus begini. Bagaimana kamu dibesarkan wahai anak.
Tiba-tiba dia menjawab..“Sebab dia taknak ajar saya belajar.”
“Betul dia taknak ajar kamu belajar? kejap acik panggil dia. Saya bangun dan acah-acah ke tempat anak saya yang sedang makan dengan 2 rakan tadi.
Lekas pula dia jawab.”dia ajar. Saya tak faham.”
Saya kembali duduk.
“Kalau tak faham cakap dengan anak acik untuk ajar lagi..atau tanya cikgu terus. Bukan buat macam tu. Itu tak betul.”
Aku tarik nafas.
“Apa benar kamu tendang anak acik kat tangga. Lepas tu kamu lari..?”
“Ya acik. Saya buat. Saya tendang sebab dia taknak kawan saya.”
“Kamu tak puas hati dengan anak acik atau ada apa lagi yang anak acik ada buat apa-apa kat kamu sampai kamu buat macam tu?”
“Dia jauh dengan saya. Saya tak suka. Saya nak kawan dengan dia”
Allah.

“Budak ni nak menakluk. Apa yang dia saksikan hari-hari agaknya..”getus hati saya.
“Kamu tahu..kalau kamu tendang kena bucu tangga. Kena apa-apa yang bahaya. Anak acik jatuh dan berdarah boleh cedera dan boleh mati tau buat macam tu. Tahu tak boleh jadi macam tu?”
Dia tak berani menatap mata saya. Saya ulang tanya “tahu tak boleh mati? bahaya kamu buat begitu”
“Tak tahu acik”
“Lain kali boleh tak janji dengan acik jangan buat lagi semua yang kamu buat pada anak acik. Kalau buat lagi acik telefon polis. Nanti polis tangkap kamu, ibu kamu atau ayah kamu. Nak tak?”
Dia terkedu. Sangaja saya buat begitu. Saya juga takut kejadian berulang kembali nanti.
“Janji. Saya tak buat lagi cik..”
Saya buka hp dan scroll mencari sesuatu dalam whatsapp group kelas. Saya tunjuk pada dia profile pic seseorang. Saya agak saja berdasarkan perbualan dalam tu.
“Kenal siapa ni?”
Bulat mata dia. “Mama”
“Acik jangan beritau mama. Janji cik. Nanti saya kena pukul”
“Mama kamu tau tak kamu buat macam ni..?”
“Tak tau acik. Jangan beritau. Nanti saya kena tali pinggang. Rotan. Mama pukul teruk”
Dia merayu.
Sayu pula hati saya.
“Okey..kalau macam tu kamu pun kena janji dengan acik jangan buli anak acik dan orang lain juga. Kalau buat lagi acik report polis juga”
“Janji. Saya tak buat lagi. Jangan beritau mama saya cik”
“Ye. Janji jadi budak baik lepas ni. Cuba ya. Nanti semua sayang kamu.”
“Ye cik…”
Kemudian..
“ayah selalu cekik mama bila gaduh.”
Saya pula yang terkejut.
“Ayah cekik mama? Kamu selalu tengok ke?”
Tenang dia jawab. “Aah. Bukan selalu juga. Tapi bila gaduh ayah suka cekik mama sampai mama nangis cakap sakit”
Sekarang saya dah tahu mana dia belajar semua tu..
Loceng bunyi.
Tanda tamat sesi rehat. Saya panggil anak sendiri dan bersalaman dengan anak ini. Entahlah..
Saya peluk dia. Saya masih terfikir hingga sekarang betulkah tindakan saya. Saya masih menanti dan risau moga-moga selepas ni tak jadi lagi. Moga-moga acik dan kamu tak teruskan perjumpaan dibilik kaunseling selepas ini. Acik cuba percaya kamu. Moga baik-baik saja untuk kamu wahai anak..
– Norasikin Hussein | Selasa | 6.2.18
Semoga bermanfaat kongsikan juga buat mak ayah yang lain. Sungguh, anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Anak-anak mudah belajar daripada apa yang dilihat sekeliling, lebih-lebih apa yang mak ayah lakukan, anak mudah mencontohinya. Mohon mak ayah lebih menjaga perilaku dan menunjukkan tauladan yang baik dihadapan anak-anak.
Sumber: Norasikin Hussein
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI