Hujung minggu adalah waktu untuk ibu luangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama si kecil tersayang adalah waktu mandi. Sememangnya mandi adalah rutin wajib yang dilakukan oleh semua orang termasuk si kecil. Di sebalik fungsinya untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran, rutin mandi sebenarnya memainkan peranan penting terhadap perkembangan tumbesaran anak anda. Masa mandi bersama si kecil adalah waktu terbaik untuk meningkatkan ikatan antara anak dengan ibu bapa dan merangsang otak si kecil anda.
Menurut kajian yang dilakukan, otak kanak-kanak terbentuk sebanyak 85 peratus pada usia mereka tiga tahun. Dalam tempoh tersebut rangsangan sensorik memainkan peranan penting bagi perkembangan anak untuk sihat dan gembira. Pada peringkat ini daya penyerapan kognitif amat tinggi, sistem saraf dan neuron pula berkembang pesat. Oleh yang demikian, waktu mandi juga perlu menjadi salah satu masa penting untuk anda dan si manja.
Tip kat bawah ini boleh anda guna pakai untuk buat waktu mandi si kecil lebih menyeronokkan:
- Wangian untuk rangsang otak si kecil
Perkembangan kognitif anak juga dipengaruhi aroma. Aroma yang baik dipercayai dapat menstimulasikan bahagian otak sehingga menguatkan ingatan anak di kemudian hari. Pilihlah mandian yang wangi buat si kecil agar mereka juga gembira dan teruja setiap kali mandi. Selain itu, saat mandi jangan hanya digunakan sebagai waktu untuk membersihkan diri sahaja, berikan juga sentuhan lembut, ajak anak berbicara dan lakukan hubungan mata.
- Permainan berwarna-warni
Menggunakan perkakas mainan yang berwarna-warni serta itik comel sebagai teman si kecil mandi pasti lebih menggembirakan anak di dalam bilik air. Berikan tugas untuk menjaga peralatan dan itik mainan mereka ketika mandi adalah sesuatu yang baharu untuk anak lakukan. Kemahiran berfikir anak akan terangsang apabila menggunakan imaginasi.
- Asah kemahiran motor
Bagi membantu perkembangan fizikal anak anda ketika mandi, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan memberi si kecil objek yang selamat untuk diterokainya. Dengan cara tersebut, si kecil belajar cara untuk menggunakan jari dan tangannya bagi melakukan sesuatu seperti menggenggam dan memegang dengan kuat.
- Pupuk sikap positif anak
Perhatikan juga cara si kecil menggunakan anggota badannya untuk melakukan sesuatu seperti memecahkan buih mandian. Dengan cara tersebut si kecil tahu bahawa dia mempunyai badan yang sihat dan kuat untuk melakukan banyak perkara yang hebat. Secara tidak langsung hal tersebut dapat membina harga diri si kecil agar lebih positif.
Oleh itu jadikan waktu mandi anak sebagai satu detik istimewa bukan sahaja untuk meningkatkan ikatan antara anda dan si kecil malah untuk membantu anak merangsang perkembangannya dengan baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI