Mana Satu Lebih Sukar ‘Didik Anak Lelaki Atau Perempuan’, Ini 4 Jawapannya

Share

Perempuan atau lelaki mempunyai sifat dan perwatakan yang berbeza. Itu memang pasti. Tetapi sebagai seorang bapa, antara anak lelaki dan anak perempuan, yang mana agak sukar untuk dibesarkan dan
dididik? Ini Jawapan 4 lelaki yang Mingguan Wanita hubungi.

 

Abdul Mutallib Samad

Bergantung Pada Persepsi Ibu Bapa

“Kesukaran mendidik anak lelaki atau perempuan bergantung kepada persepsi ibu bapa. Ada yang cenderung dan bersungguh-sungguh mendidik anak lelaki, maka terabailah anak perempuan, akhirnya
sukar untuk mendidik.

“Begitu juga sebaliknya. Setiap anak lelaki dan perempuan mempunyai naluri berbeza. Kegagalan ibu bapa memahami kehendak semula jadi anak lelaki atau perempuan akan menyukarkan proses didikan anak-anak Maka timbullah isu anak lelaki dengan dadahnya dan anak perempuan dengan jantannya,” Abdul Mutallib Samad

 

Syed Farieh Yahaya

 

Anak Lelaki Dan Perempuan Sama Sahaja

“Kalau hendak jawapan terus memang susahlah sebab anak perempuan ada manja lebih. Sebenarnya kalau dari kecil anak lelaki lebih sukar dididik kerana kalau kita tidak mendisiplinkan mereka, terlalu
banyak gejala terutama geng rempit, dadah, seks rambang menunggu mereka.

“Tetapi bila mereka sudah akhir remaja, perempuan pula jadi sukar untuk kita didik kerana mereka mula hendak berkenalan dengan lelaki, disko dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, lelaki atau perempuan sama sahaja. Tidak susah pun mendidik anak-anak. Kadang-kadang kesukaran untuk mendidik anak-anak adalah kerana ibu bapa yang bermasalah,” Syed Farieh Yahaya

 

Samuel Tan

Anak Lelaki Mudah Dipengaruhi Kawan-kawan

“Bagi saya anak lelaki. Banyak sebab saya kata begitu. Anak lelaki ini degil dan jarang mendengar teguran daripada ibu bapa. Mereka juga senang dipengaruhi oleh kawan-kawan, Selalu lebih suka mendapat teguran atau nasihat daripada kawan dahulu.

“Anak lelaki ini suka menolong kawan. Antara keluarga dan kawan, mereka pilih kawan di tempat pertama. Mereka juga mudah terpengaruh untuk merokok. Selain itu anak lelaki ini jarang membantu kerja rumah kalau tidak dipaksa. Mereka juga kurang kemas berbanding anak perempuan,” – Samuel Tan

 

Prof Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri,

 

Setiap Anak Punya Karakter Tersendiri

“Setiap anak adalah anugerah Tuhan yang seharusnya dijaga sesempurna mungkin oleh ibu dan bapanya dengan penuh tanggungjawab, tanpa mengira jantina. Setiap anak mempunyai karakter tersendiri dan harus ditangani dengan bijak.

“Anak lelaki mungkin lebih tangkas menggunakan kemahiran fizikal dan amat mudah diajak untuk bermain di luar rumah misalnya. Anak perempuan pula selalunya lebih tekun dan mudah memahami pengetahuan atau maklumat baharu.

“Sebagai ibu bapa, kita tak seharusnya mengongkong kecenderungan anak-anak. Sebaliknya menjadi penyokong dan pendorong kepada mereka untuk membina rasa kasih dan sayang yang berpanjangan sebagai sebuah unit keluarga.” Prof Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri,

Published by
Julie Roshana