PETANG-PETANG kelibatnya pasti ada dihujung padang sekolah. Man ‘lima kupang’ (50 sen). Gelaran penduduk setempat merujuk kepada Man, lelaki dewasa yang berperwatakan seperti anak-anak. Ketika itu ‘lima kupang’ masih punya nilai. Tak banyak sikit, masih boleh beli jajan dengan wang sejumlah itu. Kedatangannya di sekolah kami, sudah tidak asing lagi. Selagi tidak mengganggu proses pembelajaran di kelas dan mengganggu murid-murid, lelaki ini bebas keluar masuk ke sekolah.

Sesekali kedengarannya menempik dalam bahasa yang sukar difahami. Apabila loceng berbunyi, dia pun sama sibuk…menjadi pengawal lalu lintas tak bertauliah. Apabila hari sukan, dia pun sama sibuk menjerit memberi sokongan. Katanya kelakuan Man hari ini, berpunca dari demam panas yang dialaminya ketika usianya setahun.

Akibatnya, Man tidak berfikiran normal seperti lelaki dewasa lain. Pertuturannya juga kurang jelas. Dalam diam, kewujudan Man ‘lima kupang’ di sekolah sudah menjadi sebahagian daripada keluarga besar sekolah kami.  

Apa khabar Man 

USAI melangkah ke alam sekolah menengah, ditambah pula sudah berpindah dari kawasan kejiranan lama. Memori sekolah rendah dan sosok Man lima kupang mula pudar dari ingatan. Sesekali ada juga terlintas ingin mengetahui perkembangan lelaki itu. Khabar teman sepersekolahan, Man masih lagi sihat. Faktor usia menjadikan dia tidak sekuat dahulu.

IKLAN

Kalau dahulu dia boleh berulang alik dari rumah ke sekolah kami beberapa kali dalam satu hari. Kali ini tidak lagi. Jarang-jarang nampak kelibat Man lima kupang. Lagipun, anak-anak yang bersekolah di sekolah lama kami, tak ramai yang mengenali siapa Man Lima Kupang.

Kematian yang dicemburui

IKLAN

 Sehinggalah hampir 25 tahun meninggalkan alam sekolah rendah,tiba-tiba memori mengenai sosok yang satu ini timbul dalam kotak fikiran. Di mana agaknya dia, dan apa perkembangan terkini lelaki itu.

Kebetulan reunion sekolah rendah yang diadakan di Kuala Lumpur berjaya mengumpulkan rakan-rakan akrab kami. Sebaik bertemu, soalan berkenaan kenakalan dan tingkah laku rakan-rakan ketika di sekolah rendah menjadi bahan bualan kami. Cerita cinta monyet ada yang berkekalan hingga ke alam rumah tangga juga mencuit hati kami.

IKLAN

Dalam pada kita sedang bergembira, kami dikejutkan khabar berkenaan sahabat seusia yang telah pergi dijemput Illahi ketika di alam sekolah menengah. Tiba-tiba kami terkenangkan Man Lima Kupang…apa khabarnya? Menurut Latif, yang kebetulan rumah keluarganya tak jauh dari kediaman Man,hampir 10 tahun Man sudah meninggal dunia.

Khabarnya Man meninggal akibat tergelincir di dalam bilik air. Kebetulan ketika kejadian, ramai adik-beradiknya ada di rumah. Jika dilihat dari luaran,Man tidaklah luka parah. Sebaliknya doktor memaklumkan, Man mengalami masalah jantung dan itulah punca kematiannya.

Ketika urusan menguruskan jenazah, semuanya serba mudah. Ramai penduduk setempat yang mengenalinya datang menguruskan jenazahnya. Sebaik van jenazah melewati kawasan tanah perkuburan, hujan gerimis membasahi bumi. Ketika proses memasukkan jenazah ke liang lahad, tubuh Man ringan persisnya seperti kapas. Man yang berkulit gelap kelihatan lebih cerah dari selalu dan segaris senyuman terukir dibibir jenazahnya. Man nampaknya tenang.

Walaupun tidak sempurna akal fikiran, dia tidak membebankan sesiapa sehingga ke hari akhir hayatnya. Menurut si penggali kubur lagi, entah apa agaknya amalan Man…hampir seminggu selepas menguruskan jenazah Man. Masih tercium lagi haruman di kuburan Man. Haruman yang sukar digambarkan manisnya. Al-fatihah buat Man Lima Kupang. Entah apa amalannya di dunia, sehingga dia dimuliakan pengakhirannya sebegitu.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI