Tengahari tadi Mingguan Wanita Talkshow telah bersiaran selama sejam dengan membincangkan isu yang agak panas iaitu Dadah Penghancur Rumah Tangga.
Dek kerana hari ini merupakan hari ke sembilan PKP, tetamu undangan dihubungi dari studio. Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang telah berkongsi pendapat mengenai isu ini. Menurutnya kadangkala pasangan yang berkahwin tidak tahu pasangan mereka adalah penagih.
“Isu dadah ini sangat besar kadang-kadang mereka yang ambil dadah bukan satu ketagihan. Tapi bila jadi ketagihan, itulah yang menjadi punca berlakunya keruntuhan rumahtangga. Kadang-kadang pasangan yang berkahwin tak tahu pasangan mereka adalah penagih. Ada yang tahu awal tapi dia terima dengan harapan pasangan mereka akan berubah,” ungkap Tuan Musa.
Isteri Berhak Mohon Cerai
Ditanya adakah isteri berhak memohon perceraian dek kerana masalah ini;
“Isteri berhak memohon perceraian iaitu secara fasakh atas alasan suami berperangai keji (ketagihan dadah).
“Bila isteri dah patah hati barulah akan failkan cerai ke mahkamah.
“Harapan yang diberikan terlalu besar. Kadang-kadang perceraian itu isteri tak nak dan mampu bertahan. Tapi bila isteri dah tak mampu barulah dia failkan cerai.
Ads
Tip buat isteri bagaimana jika isteri nak jaga aib suami dan nak cari penyelesaian?
“Dalam rumahtangga seorang isteri tak boleh bercakap sendiri dengan suami. Isteri kena cari orang ketiga yang suami hormat seperti mak ayah atau bapa saudara atau kaunselor atau jabatan agama untuk memberi nasihat kepada suaminya. Jika suami masih tak berubah telah diberi nasihat. Namun dalam tempoh setahun jika suami masih dalam keadaan yang sama, isteri boleh buat keputusan yang terbaik untuk dirinya,” akhiri Tuan Musa.
“Gadis Cantik Berjubah, Tudung Litup Lepas Kahwin Berubah Perangai” Dr Sallina Mansor
Menurut Pengarah PUSPEN Sg Besi, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dr Salinna Mansor pula kebanyakkan mereka yang terlibat dalam penagihan najis itu adalah lelaki.
Ads
“Saya pernah ada klien seorang gadis yang sangat cantik, berjubah dan bertudung labuh, rupa-rupanya bila berkahwin dia tak tahu suami penangih. Lepas bersalin dia berasa sakit dan suami bagi ubat yang mengandungi najis itu. Isteri tak tahu itu dadah dan lama kelamaan dia ketagih,” terang Dr Sallina Mansor.
Malah ada juga isteri yang ketagih bila terasa ingin mencuba dek kerana suami merupakan seorang penagih.
Menurut Dr Sallina lagi di AADK mereka menerima mereka yang mahu pulih secara sukarela.
“Kami memulihkan penagih. Setakat ini secara sukarela, kami terima orang yang nak pulih. Ada program keagaamaan, kaunseling, pembimbing rakan sebaya (PRS). Kami juga memegang konsep iaitu Komuniti Kita Tanggungjawab Kita,” luah Dr Sallina.
“Terlibat Sejak Usia 11 Tahun” Mak Wan
Ads
Salah seorang tetamu yang dihubungi merupakan seorang Sahabat AADK, Pembimbing Rakan Sebaya iaitu Wan Kamariah Daud (Mak Wan).
“Mak Wan terlibat dengan najis itu lebih kurang usia 11 tahun, faktornya disebabkan tekanan emosi. Sebab waktu tu Mak Wan duduk dengan keluarga angkat. Pergaulan sosial tak ada.
“Kemudian Mak Wan kahwin dengan suami yang juga seorang bekas penangih dan pengedar. Dan mula dari situ terlibat dalam najis tersebut. Rumahtangga, pada tahun 1991, suami Mak Wan dihukum gantung mandatori, lepas dia tak ada, Mak Wan terus terjerumus lagi dalam dadah.
Pulih Sepenuhnya
“Dengan AADK, Mak Wan banyak program yang dibuat sebab banyak kali keluar masuk. Ada program Halaqah berkonsepkan kegamaan dan kerohaniaan. Dan akhir sekali Mak Wan ikut program Terapi Kekeluargaan.
“Proses pemulihan yang paling sulit yang Mak Wan harungi apabila harus mengharungi gian. Sebab gian itu tidak pada tubuh badan saja. Gian ada dalam emosi kita, itu payah nak pulih. Bergantung pada pegawai AADK, bantu untuk kita selesaikan apa yang kita nak alami.
“Mak Wan ambil masa selama lapan tahun untuk pulih dan masa itulah bekerja sambil bantu rakan-rakan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya di bawah AADK,” ungkap Mak Wan yang berpesan agar jangan seesekali cuba walau apa jenis dadah pun. Najis ini bukanlah penyelesaikan kepada masalah yang anda hadapi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Ini Punca Suami Mudah Melafazkan ‘Cerai’
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Ini Kesannya..
1. Pada Anak-anak
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
2. Kewangan Pun Terganggu
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
Suami Isteri Fahamkan Ini
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
Dengar Apa Kata Mereka
Suami Jangan Jatuhkan Hukum Membuta Tuli
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
Remeh Pada Orang Luar Tapi Tak Untuk Suami Isteri
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
Jangan Pendam.. Bincanglah Suami Isteri
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
Jangan Ungkit, Nanti Konflik Pun Terhindar
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hubungan percintaan antara wanita bujang dengan suami orang. Tidak dapat dinafikan, ramai wanita bujang yang terjebak dalam cinta begini. Kalau sudah terjebak, memang susah hendak ‘berpatah balik.’
Alasan yang diberikan biasanya dikatakan jodoh dan rasa kasih dan sayang pada lelaki yang berstatus suami orang. Bercinta dengan suami orang melibatkan banyak perkara terutama soal hati dan juga perasaan.
Wanita Bujang Bila Terjebak Berkawan Dengan Suami Orang
Melalui satu hantaran dilaman Facaebook, Firdaus Shakirin melontarkan pandangannya tentang mengapa wanita bujang perlu mengelakkan diri daripada menjalinkan hubungan dengan suami orang.
“Berkawan” dengan suami orang: Kalau boleh elak tu, elaklah…
Bila dah tersuka, bila dah dilamun cinta, terus dikatakan jodoh…nak buat macam mana kan…ketentuan ALLAH SWT…tapi pokok pangkal asal hubungan tu adalah sebab tidak pandai jaga pergaulan dan tidak tahu batas bila bergaul…
Bukan tidak tahu dia itu suami orang, tapi melayan juga…dari sekadar “cuma kawan”, sehinggalah terbinanya “satu hubungan.”
Susah Nak ‘Patah Balik’
TIGA SEBAB KENAPA PERLU ELAK BERKAWAN DENGAN SUAMI ORANG:
1. Bukan semuanya mampu
Kita bukan hendak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, tidak mampu. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tidak membantu langsung bab kewangan. Dari A to Z dia sediakan, semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri.
Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri top up perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan, maka di mana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu? Kalau dia teruskan juga niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia tidak mampu.
2. Niat nak test market, main-main, tak serius
Bukan semua yang menyentuh hati anda itu, membuatkan anda jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan anda, ada yang saja-saja test market, sekadar suka-suka, main-main. Dia tidak mahu ke peringkat seterusnya sebab dia tiada keinginan pun untuk ke peringkat itu.
Hubungan itu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuang. Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius ke tidak, nak berkahwin ke tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya.
Lebih teruk lagi, dia dapat “habuan”, dia blah dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ini.
3. Jangan menambahkan bilangan ibu tunggal
Biasalah, adat mula-mula hendak menumpang kasih. Bila kasih sudah ditumpang, maka mula tamak dan mahu ianya jadi hak milik seorang.
Yang pertama sudah mula rasa kurang senang, yang pertama sudah mula rasa diabaikan, yang pertama tak boleh terima diduakan, maka yang pertama pun “lebih rela” untuk bergelar ibu tunggal.
Ada suami yang sebelum bercinta dengan orang lain, sebelum berkenalan dengan orang lain, dia baik-baik sahaja dengan isterinya. Apabila berjumpa orang baru, dia jadi haru biru. Kewajipan sudah ke laut, nafkah sudah mula tak tunai. Anak isteri tak dihiraukan lagi dek kerana keasyikan dilamun cinta baru.
Ditegur tak guna, dinasihat sia-sia. Maka putus asa dan redalah si isteri dalam mempertahankan rumah tangga asbab kemunculan orang ketiga. Si suami yang asalnya hendak membantu janda, telah menjandakan pula isteri sendiri.
Sebagai suami, jagalah pergaulan dan fahamilah batas-batas pergaulan. Kita keluar mencari nafkah untuk keluarga, bukan jodoh kedua. Tengok cermin, tengok atas bawah, sedarilah kemampuan kita dan ingatlah pengorbanan yang telah isteri kita lakukan.
Kepada ‘orang ketiga’ andai rosak sesebuah rumah tangga kerana perbuatan anda, maka bertanggungjawablah untuk menjawab soalan di akhirat sana. Allah Maha Adil dan Saksama.
Ini situasi yang pernah golongan mak-mak rasakan, tetiba jadi tak ada mood nak ‘bersama’ ketika hamil. Haaa.. sebenarnya bukan tidak kasihankan suami yang sering memberi reaksi mahu berasmara dengan isteri.
Tetapi ada isteri tidak berdaya bersama setelah pelbagai simptom kehamilan mematikan moodnya. Mahu atau tidak suami terpaksa menahan diri, melihat akan kesihatan ibu yang tidak mengizinkan dan demi anak tersayang yang di kandung.
Agaknya kenapa ibu jadi tidak ada perasaan terhadap seks dan adakah seks ketika mengandung itu membahayakan janin, ikuti kupasan oleh Dr. Patricia Lim Su Lyn ini…
Tetiba nafsu menurun
“Ibu usah menyalahkan diri mengapa dirinya tidak berminat melakukan seks. Sememangnya ketika mengandung nafsu akan menurun disebabkan perubahan hormon. Tambahan pula pada trimester pertama ibu mengandung mengalami alahan muntah-muntah, mual dan cepat penat.
Perubahan mood dan badan yang menyebabkan sakit dan berasa sensitif di bahagian payu dara dan tulang belakang boleh merendahkan nafsu ibu mengandung. Keadaan minda ibu mengandung yang sensitif atau negatif tentang perubahan badannya yang semakin sarat juga boleh menyebabkan nafsu menurun,” kata Dr. Patricia yang turut mengadakan ada ibu yang tidak terjejas untuk melakukan seks.
Bagi ibu yang merasa takut untuk melakukan seks bimbang akan memberi risiko kepada bayinya, ibu harus faham hubungan seks ketika ini membawa banyak kebaikan. Sama ada dari segi psikologi dan fizikal di samping mengeratkan hubungan suami isteri.
Ia boleh dilakukan jikalau ibu mengandung tidak mempunyai kandungan yang bermasalah seperti pendarahan (terutamanya pada waktu awal mengandung), pecah air ketuban, uri dalam kedudukan rendah (placenta preavia/low lying placenta) khususnya jikalau adanya pendarahan dan pangkal rahim yang lemah (cervical incompetence).
Jika semua itu tidak ada dan hanya kebimbangan ibu sahaja, cubalah beri peluang kepada suami untuk membelai anda. Mana tahu ia menghilangkan tekanan anda yang selama ini tidak tahu puncanya.
Kaitan ‘Bersama’ & Mudahkan Bersalin
“Ada penyelidik yang menyatakan seks ketika ibu sarat terutamanya ketika sudah menghampiri tarikh bersalin iaitu minggu 37 ke atas boleh memudahkan atau memulakan proses bersalin. Ini adalah kerana air mani suami mengandungi prostaglandin. Elemen yang penting untuk melembutkan pangkal rahim dan penyebab sakit kontraksi bermula.
Jadi, ibu mengandung disarankan supaya mengelak daripada membuat hubungan seks dalam trimester ketiga sebab khuatir bersalin awal dan bayi pramatang. Ibu harus bijak merancang dan tahu kondisi badannya untuk membuat hubungan seks,” kata Dr Patricia lagi.
Posisi Ketika Sarat
Sesetengah ibu yang sarat jadi tidak selesa ketika bersama, bagi membantu ibu beliau menyarankan beberapa posisi seks yang boleh dicuba. Antaranya…
1. Posisi di mana suami berada di atas, jika tidak selesa lagi cuba posisi lain.
2. Ibu di atas
3. Baring di tepi suami seperti sudu (spooning position)
4. Duduk di atas suami; posisi di mana ibu mengandung di atas dua belah tangan dan kaki ( all 4s position/doggy style).
5. Duduk di atas meja/kaunter
6. Posisi seks berdiri.
Posisi- posisi ini boleh memberi lebih kepuasan kepada ibu mengandung, tambahan pula selamat kerana bahagian abdomen ibu tidak dihimpit. Mengelak daripada beban badan suami ke atas perut ibu hamil.
Jarak penetrasi dapat dikawal oleh ibu mengandung kerana bahagian pangkal rahim ibu mengandung lebih sensitif pada waktu mengandung.
Ibu sahaja yang faham bahasa tubuh mereka boleh melakukan hubungan seks atau tidak. Jika ibu tidak berapa yakin dan bimbang memberi risiko kepada bayi, ibu harus pandai berkomunikasi dengan suami.
Nyatakan tentang nafsu terhadap seks anda menurun. Supaya suami faham bahawa penurunan nafsu ini bukan disebabkan oleh hal-hal lain, tetapi perubahan hormon dan badan yang dialami oleh ibu mengandung. Diharap suami anda memahami dan bersabar buat sementara waktu. Jika suami masih meminta, puaskan nafsunya dengan cara lain tanpa perlu bersetubuh.
Kadang-kala segolongan suami juga mengalami penurunan nafsu disebabkan oleh beban menjadi ayah yang bertanggungjawab, khuatir hubungan seks boleh menyakiti bayi dalam kandungan, atau bimbang tentang keadaan/kesihatan bayi dalam kandungan. Bersyukurlah anda jika ada suami sebegitu. Hargainya dirinya sepenuhnya bukan mudah untuk menahan nafsu. Buktinya ramai kaum suami curang ketika isteri sedang sarat mengandung.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Walaupun masih tidak diberikan rezeki anak” itulah antara luahan pelakon Siti Elizad ketika ditemubual di Forum Berbahagi Suami sempena drama Berbahagi Suami.Elizad juga memberitahu...