Apa yang lebih nikmat selain dapat bercuti di sebuah tempat yang dikelilingi pepohon menghijau, gunung ganang yang memukau pandangan. Masa itu anda tanyakan diri, ‘Stress? Apa itu stress?’ Sebab pemandangan cantik subhanallah ini melenyapkan semua beban tekanan dalam kepala.
Menarik sekali perkongsian momen perkhemahan, Miz Kecik Miz Kecik (MemUmie) ini. Tak perlu pun merantau jauh sampai ke New Zealand, cukup sekadar berkhemah di Polumpung Melangkap View Camp Site (PMVCS), Kota Belud Sabah. Tapak perkhemahan ini sudah menjanjikan satu pemandangan cantik yang berbekas di hati.
Kata Mem Umie, “Bagi mereka yang inginkan suasana tenang dan nyaman, boleh lah berkhemah di Polumpung Melangkap View Camp Site (PMVCS), Kota Belud, Sabah.
“Ia berlatar belakangkan Gubung Kinabalu. Menjanjikan pemandangan yang sangat cantik.” Serius memang cantik pun. Bila anda lihat gambar yang dikongsikan beliau anda pun teruja sama nak ke sama bawa satu famili.
Bayangkan seronoknya, sebab ia bersebelahan dengan air sungai yang mengalir begitu jernih dan sejuk airnya. Tambah wanita lasak kaki travel ini “Boleh saja mandi manda bersuka ria, asalkan kamu tahan sejuk
.” Tapi kalau dah cantik jernih macam gitu airnya takkan tak nak cuba bermandi manda.. ya tak?Aktiviti, Mem Umie diteruskan sampai ke malam hari. Waktu malam mak ayah boleh buat acara barbekue. “Sambil-sambil BBQ tu tengoklah bintang-bintang.”
Berkhemah dan nikmati rasa dekatnya dengan alam semula jadi. Bangun-bangun pagi, boleh nikmati secawan kopi panas dan bersarapan bersaktikan Gunung Kinabalu yang gagah terbentang di depan mata.
Malam harinya memang sejuk dingin. Bawalah baju panas tu lebih. Isk.. seronok pula.. Tiba-tiba rasa seakan mahu menikmati malam berunggun api ala rancangan koboi tu.
“Kalau kamu nak bawa anak isteri dan keluarga mahupun kawan-kawan, datanglah berkhemah di sini. Lagi ramai lagi syok dan meriah. Confirm kamu tak menyesal.” Haa.. menarikkan apa yang dikongsikan Mem Umie ini.
Lokasi menarik ini letaknya di Kampung Melangkap Baru. Kalau anda dari Semenanjung, kenalah naik flight. Hehe..
Nanti dari pekan Kota Belud, Sabah memandulah ke arah kampung yang dimaksudkan itu. Jaraknya kira-kira 20km atau 39 minit pemanduan.
Dekat sini nanti, anda bolehlah berkhemah dengan famili ke, kawan-kawan ke. Nak bawa khemah sendiri lagi bagus. Tapi kalau tak ada, boleh sewa dengan pusat pengurusan di sana. Bawalah juga kanopi atau tikar ke tikar getah, Ini agar lebih selesa.
Dah sampai tapak perkhemahan tu nanti, jangan risau nak parking kereta kat mana, Sebab ada kawasan parking yang luas. Walaupun nun jauh di tengah hutan, disiplin diri kena jaga ya. Jadi parkinglah elok-elok.
Jangan pula seronok sangat nak nikmati keindahan alam, sampai lupa cara parking berhemah yang tak halang kenderaan lain.
Yuran Kemasukan
* Dewasa (13 tahun ke atas) – RM2/seorang
* Kanak-Kanak (12 tahun – 7 tahun) – RM1/seorang
* Kanak-Kanak (6 tahun ke bawah) – Percuma
Yuran Menginap (Berkhemah)
* Dewasa (13 tahun ke atas) – RM4/seorang/malam
* Kanak-Kanak (12 tahun ke bawah) – RM2/seorang/malam
Kelengkapan khemah tidak disediakan. Ada beberapa buah khemah untuk disewa tapi dalam jumlah terhad.
Pelampung untuk disewa disediakan dalam jumlah terhad.
Harganya ok-ok kan? Cukup murah untuk anda menikmati pemandangan cantik bak lukisan alam yang real terbentang di depan mata.
Sumber/Foto : Miz Kecik Miz Kecik, Facebook Page Polumpung Melangkap View Camp Site, Kota Belud, Sabah