Pengalaman ini dikongsikan oleh seorang wanita yang cuba berdakwah pada wanita cantik yang tidak mengenakan hijab. Padanya biarlah kita tidak nampak alim, namun kita tidak pernah lupa menyebarkan kebaikan.
Sejak awal, dia, Musalmah (bukan nama sebenar) sedar bukan mudah untuk menyampaikan kebaikan, tetapi dia cuba mendidik jiwanya dengan cuba mendidik orang sekeliling untuk berubah kebaikan.
Mengajak berbuat jahat adalah lebih mudah daripada mengajak orang berbuat kebaikan, percayalah. Namun hatinya utuh memegang kata Almarhum bapanya agar tidak henti sebarkan aura positif kepada orang lain biar pun kita tidak sebaik atau sealim mana.
Kadang-kadang selain mendidik orang, jiwa kita juga secara tidak langsung mendapat isyarat agar tidak melakukan perbuatan mungkar dan tidak menepati syariat Allah.
Pernah sekali, Musalmah mengajak rakannya bersolat ketika berada di universiti setelah hampir satu semester mereka berkongsi bilik di universiti. Tidak lama kemudian, rakan biliknya menukar bilik atas alasan Musalmah sibuk menjaga soal tepi kainnya.
Kadang kala Musalmah mencuba menyusun ayat agar tidak menyinggung hati mereka yang ditegur, tetapi masih juga mereka beraksi negatif apabila disapa gadis ini.
Kejadian tiga tahun membuatkan hati Musalmah benar-benar luluh.
Kala itu, dia baru sahaja mendapat tawaran kerja. Salah satu persiapan yang dilakukan adalah melakukan pemeriksaan kesihatan. Bagi menjimatkan wang, dia melakukan pemeriksaan tersebut di hospital kerajaan.
Mendapat satu-satu perkhidmatan di hospital kerajaan sememangnya makan masa agak lama, maklumlah caj yang dikenakan rendah dan ada sesetengahnya pula percuma.
Musalmah sedari awal cuba memperuntukkan waktunya dengan membaca ayat suci Al-Quran secara perlahan. Bimbang mengganggu orang di sekelilingnya.
Ramai yang memandang tingkah laku Musalmah, malah tidak kurang juga yang kurang senang dengan tindakannya. Lebih pedih ada yang berbisik seolah-olah Musalmah cuba berlagak alim.
Lalu Musalmah menyimpan semula Al-Quran dalam beg tangannya dan seterusnya menunggu gilirannya tiba.
Seorang demi seorang berganti pesakit duduk di sebelahnya. Kelibat gadis cantik berskirt pendek benar-benar menjentik perasaan Musalmah.
Hati gadis ini meronta-ronta ingin menegur keterlanjuran gadis yang tidak segan-silu membuka auratnya, tambahan lagi hospital merupakan tempat awam dan terdapat ramai orang.
Pada awalnya, ada bisikan halus menghalang Musalmah untuk terus menegur. Tetapi akhirnya terluah juga teguran tulus dari Musalmah.
Sebaik mungkin gadis ini menyusun ayat, tetapi wanita cantik tadi terus menyinga dan cuba menarik tudung Musalmah.
Katanya sebaiknya Musalmah diamkan diri dari menegurnya. Sekali lagi Musalmah cuba menegur gadis tersebut, bayangkan jika malaikat maut datang menjemput anda sekarang, apakah tindakan anda?
Gadis tersebut dengan angkuh menjawab, “Kalau malaikat maut datang sekali pun, aku akan menghalaunya”.
Musalmah yang terkejut terus menuju ke bilik rawatan apabila nombornya dipanggil. Usai membuat beberapa pemeriksaan, Musalmah keluar untuk pulang ke rumah.
Kala itu, dia ternampak wanita tadi dikerumuni doktor dan jururawat. Dia telah tidak sedarkan diri secara tiba-tiba lalu menghembuskan nafas terakhir.