Makna Diri Yang Tepat Untuk Diterap Pada Anak-Anak

Makna akan terhasil apabila seseorang dapat mengetahui dengan jelas tertib kedudukan setiap sesuatu dalam sebuah sistem dengan mengetahui hubungan antara setiap sesuatu dalam sistem tersebut.

Kefahaman ini membawa kepada pengenalan wujudnya Allah dalam susunan kewujudan. Apabila dikaitkan dengan diri, makna boleh difahami sebagai; bagaimana seseorang itu memahami kedudukan dirinya dalam sistem kewujudan dengan memahami kaitan dirinya dengan perkara lain yang wujud dalam sistem tersebut.

Ketahui Makna Dirinya

Dengan kata lain, orang yang mengetahui makna dirinya dalam konteks yang sebenar akan sentiasa merasa akan kewujudan Allah dalam setiap gerak gerinya. Hal ini kerana, dia sedar bahawa hakikat letak duduknya dalam tertib kehidupan selaku hamba Allah yang sentiasa perlu menjunjung segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dan juga khalifah yang dilantik oleh Yang Maha Agung dengan segala tanggungjawab dan amanah kekhalifahan kepada makhluk-makhluk lain yang diwakilinya.

Bagaimanakah perkara ini dapat difahami? Bahkan bagaimana pula makna yang sebenar ini boleh dihayati? Jawapannya ialah dengan kembali semula merujuk dan menghayati setiap bait bicara kalamullah dalam Al-Quran dan segala sunah baginda Nabi s.a.w.

Baca artikel lain di sini:

Jika Agama Jadi PEGANGAN, Rumahtangga Bahagia SEBAB Suami LEBIH Berakal

Rumah Tangga Kita, Ikut Cara Kita! Asalkan Tak Salah Sisi Agama

Makna Diri Yang Tepat Untuk Diterap Pada Anak-Anak

Ads

Manusia Sebagai Khalifah

Hakikat kehidupan manusia ini dijadikan dengan penuh Latif (kelembutan) dan Rahman dan Rahim-Nya (kasih sayang-Nya). Allah SWT melantik kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi dengan segala panduan yang disiapkan tidak cukup hanya dengan Firman-Nya malah didatangkan manual hidup yang menjelaskan segala firman-Nya melalui Rasulullah s.a.w. Daripada dua sumber inilah, kita perlu menghayati dan memberikan makna yang tepat untuk diri kita sendiri bahkan anak-anak kita.

Hakikat kejadian manusia yang dijadikan Allah sebaik-baik kejadian ini diawali dengan perjanjian yang termeterai secara individu dalam Jemaah umat manusia. Setiap daripada kita melafazkan ikrar bahawa Allah adalah Tuhan yang kita sembah.

Makna Diri Selaku Hamba Allah

Penyaksian ini dilakukan serentak dalam Jemaah umat manusia dengan lafaz “kami” menunjukkan betapa kita komited untuk menjalankan perjanjian ini secara kolektif. Di sini makna diri individu selaku hamba Allah dan khalifatullah telah sama-sama kita ucapkan. Hari perjanjian awal atau asal ini adalah hakikat yang kita sama-sama nantikan kesinambungannya di hari mahsyar kelak di mana penyaksian kita tadi akan diaudit semula sejauhmana perlaksanaannya.

Namun, sewaktu di sana nanti, kita harus mendepaninya secara individu. Justeru, keadaan ini harus difahami dengan rahmat Allah yang sentiasa memberikan kita ruang dan peluang dalam kehidupan yang berjemaah ini untuk kita sama-sama mengukuhkan iman dan meletakkan batu asas yang kukuh untuk mengekang nafsu dan hasutan syaitan durjana.

Ads

Fahami Diri Dalam Konteks Makna Sebenarnya

Di sini wujudnya peranan selaku ketua keluarga, ibu, anak, pak cik, makcik, atuk, nenek, sahabat sehinggalah kepada pemimpin masyarakat. Apabila setiap individu dapat memahami dirinya dalam konteks makna yang sebenar dia akan sentiasa meletakkan dirinya sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharap kepada-Nya dan menjalankan tanggungjawab khalifah dalam platform-platform yang telah disediakan dengan sehabis baik kerana dia menyedari hakikat dirinya yang sedang menjalankan perjanjian dan akan diaudit semula apabila waktunya tiba kelak.

Jadi, semua individu akan berusaha memperbaiki diri dengan melakukan islah dan mengislahkan orang lain malah sentiasa menjalankan dakwah untuk sama-sama menuju kepada Allah SWT.

Dipasakkan Dalam Diri

Oleh yang demikian, makna diri yang benar ini harus dipasakkan dalam diri anak-anak kita. Mungkin sukar dari segi teoritikalnya namun dari segi komitmen pengamalan yang kita sendiri lakukan.

Pelaziman yang baik dalam konteks tarbiyah kepada anak-anak adalah cara yang terbaik terutama bagi anak-anak yang berumur 7 tahun ke bawah. Pelaziman ini harus dibantu dengan contoh yang banyak dalam persekitaran. Ibu ayah harus komited menunjukkan contoh di samping itu, suasana keluarga, persekitaran sekolah dan rakan-rakan yang berhampiran dengan anak-anak juga harus dipastikan.

Ads

Persekitaran ini harus kita berusaha untuk memilih beserta doa dan tawakal yang padu kepada Allah SWT. Kerangka faham diri Islam itu harus tergambar dalam mindanya agar dia membentuk pemikiran yang seiring dengan faham tersebut. Ini kerana, dengan kefahaman ini akan membentuk dan mempengaruhi jati diri, perwatakan dan tingkah laku anak. Allahuallam.

Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad (USIM)

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI