Makan Waktu Berbuka, Jangan Sampai Terleka, Melambatkan Solat Maghrib
Kredit foto : sinarharian.com.my

Walau duduk rumah dan tak perlu berpanas-panas, letih berpuasa itu tetap terasa. Bila tiba waktu berbuka, itulah masa yang ditunggu-tunggu. Bila PKP ini, hidangan dari air tangan isteri buat satu keluarga seronok nak makan.

Biar pun isteri masak sedap sungguh, dan mata pun teruja sama tengok lauk pauk berbuka.. tetap bila tiba waktu berbuka puasa ada adab yang perlu dipatuhi. Barulah ibadah berpuasa itu lengkap dan menepati apa yang agama ajari.

Ikut pesanan Ustaz Khairul Anuar Basri ini tentang perkara yang mak ayah wajib tahu mengenai berbuka puasa. Ada 10 perkara penting wajib hadam

10 PERKARA YANG ANDA WAJIB TAHU APABILA TIBA WAKTU BERBUKA PUASA

1. Antara 3 golongan yang tidak akan ditolak doanya ialah orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka.

2. Waktu berbuka puasa ialah waktu kemuncak untuk berdoa. Justeru banyakkan berdoa ketika itu. Jangan sesekali leka dengan permainan duniawi sehingga kita mensia-siakan peluang yang terhidang itu.

3. Persiapkan juadah berbuka puasa sekadarnya. Jangan sampai berlebih-lebihan sehingga berlalu pembaziran.

IKLAN

4. Sebelum masuknya waktu solat Maghrib, berdoalah beramai-ramai bersama ahli keluarga dengan doa yang baik. Boleh berdoa apa sahaja yang kita hajatkan sama ada kebaikan di dunia atau pun di akhirat.

5. Apabila masuk waktu azan Maghrib, berbukalah puasa dengan makanan yang ringan dan sedikit sahaja. Ini kerana, ada solat Maghrib yang sedang menunggu untuk ditunaikan secepat mungkin selepas berbuka.

6. Selesai berbuka, bacalah doa yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu :
اللَّهُمَّ لَك صُمْت وَعَلَى رِزْقِك أَفْطَرْت
‘Allāhumma laka sumtu wa ‘alā rizqika afthortu’.
“Ya Allah, untukMu aku berpuasa, dan dengan rezeki dariMu aku berbuka”. [Sunan Abi Dawud (2358)].
Atau pun doa ini :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
‘Allāhumma innī as aluka birahmatikallatī wasi’at kulla syai in an taghfiralī’.
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmatMu yang meliputi segala perkara, agar Engkau mengampuniku”. [Sunan Ibn Majah (1753)]

7. Selesaikan solat Maghrib secepat mungkin setelah selesai berbuka puasa. Jangan sampai kita leka dengan makanan sehingga kita terlewat menunaikan solat Maghrib. Perlu diingat, waktu antara Maghrib ke Isyak sangatlah pendek.

8. Setelah selesai solat Maghrib, bolehlah menyambung makan dengan kadar yang sepatutnya. Jangan pula berlebih-lebihan sehingga mengganggu tumpuan untuk solat Isyak dan Terawih.

9. Jika mampu, belanjalah orang lain berbuka puasa kerana ganjaraannya sangat besar di sisi Allah SWT.

10. Rasulullah SAW menyebut dalam hadithnya bahawa orang yang berpuasa itu akan mendapat 2 kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan apabila bertemu dengan Allah SWT.

Dapat ilmu tentang buka puasa?

Kalau dapat, apa kata kita sebarkan kepada orang lain. Harapnya buka puasa kita bukan sekadar adat tetapi boleh juga menjadi ibadat dengan ilmi dan kesedaran yang betul.

Selamat berbuka puasa!

Baca sini :

Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri