Makan Nasi Berlaukkan Garam, Wanita Ini Bangkit Demi Masa Depan Anak-anak

Share

Tiga tahun wanita ini digantung tidak bertali, akur dengan ketentuan Ilahi untuknya ketika itu bersama seorang cahaya mata dan anak kedua yang sedang dikandung, Siti Norhaliza Misran mengambil keputusan untuk memohon fasakh dari suaminya ketika itu.

“Saya dan bekas suami berkenalan melalui seorang kenalan rapat. Dia adik kenalan saya itu. Kami kenal tak lama dan selepas itu mengambil keputusan untuk berkahwin. Setelah mendapat seorang anak, suami mula tunjuk belang. Tiga tahun saya digantung tidak bertali. Akhirnya saya nekad untuk tuntut fasakh walaupun ketika itu saya sedang hamil anak kedua.

“Dalam masa tiga tahun ketika digantung tidak bertali kehidupan saya memang agak teruk. Mungkin kerana saya masih punya ikatan dengan bekas suami jadi saya tiada restunya. Dahulu memang saya bekerja jadi ada sumber pendapatan sendiri. Tapi dalam masa tiga tahun itu saya terpaksa berhenti kerja kerana masalah yang dihadapi, Saya didera emosi dan fizikal. Akhirnya saya nekad dan tuntut fasakh.

Anak-anak pembakar semangat untuk teruskan kehidupan

“Saya keluar dari rumah dan tinggal di Women’s Aid Organisation (WAO) atau Pertubuhan Pertolongan Wanita. Lebih menyedihkan lagi saya tengah mengandungkan anak kedua saya pada ketika itu. Saya bawa sekali anak pertama yang baru berusia 3 tahun. Sebelum saya bersalin abang kandung bawa saya tinggal bersamanya sehinggalah habis tempoh berpantang,”ujarnya mengimbas kembali detik-detik duka suatu masa dahulu.

Terus diduga

Selepas kelahiran anak keduanya, Siti Norhaliza mendapat pekerjaan disalah sebuah syarikat yang terletak di Petaling Jaya. Kehidupannya ketika itu bertambah baik. Lebih menggembirakan hati wanita ini apabila majikan tempatnya bekerja juga memberi layanan yang baik untuknya di sana.

“Lahir sahaja anak kedua, saya rasakan rezeki semakin bertambah. Ketika itu saya diterima bekerja disalah sebuah syarikat yang terletak di Petaling Jaya. Alhamdullilah saya bertemu dengan orang baik-baik. Majikan tempat saya bekerja belikan saya motorsikal untuk saya berulang alik ke tempat kerja. Maklumlah dahulu saya keluar rumah sehelai sepinggang, tak ada apa-apa. Ketika bekerja saya menyimpan dan akhirnya dapat membeli kereta dan juga sebuah rumah untuk kami berteduh tiga beranak.

“Tapi sekali lagi saya diduga. Masalah dengan pengasuh anak yang rupanya mempunyai penyakit mental membuatkan saya nekad untuk berhenti kerja dan menjaga kedua anak saya sendiri. Walaupun berat keputusan itu untuk saya ambil, tapi demi anak-anak saya kuatkan juga. Dua tahun saya menjaga anak di rumah berbekalkan duit simpanan yang ada. Lama-kelamaan duit yang saya simpan semakin susut. Ada satu ketika saya dan anak-anak hanya makan nasi berkuahkan garam. Ada juga masanya kami hanya makan kuih dari pagi hingga ke malam.

“Siapa yang tak sedih mengenangkan nasib anak-anak saya sebegitu, tapi saya syukur kerana dipermudahkan segala urusan oleh Allah dan dikurniakan anak-anak yang baik. Anak-anak tak pernah mengeluh dengan makanan yang kami ada. Kerana keadaan itulah saya nekad untuk keluar dan bekerja bersungguh-sungguh demi masa depan dan kesenangan anak-anak.”

Mula Belajar kemahiran

Mendapat saranan daripada keluarga dan rakan-rakan untuk mendaftarkan diri ke Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Siti Norhaliza mencuba nasib dan dari situlah dia mula belajar kemahiran tentang kecantikan dan juga beberapa kemahiran lain untuk bekalan buat dirinya yang kini bergelar ibu tunggal.

“Ada yang menyarankan saya untuk daftarkan di Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Di Tahun 2007 setelah selesai temuduga, saya diberi kursus yang berkaitan dengan kemahiran yang saya minat iaitu kecantikan. Selepas itu saya ikuti pula kursus di Pusat Giat Mara untuk kursus yang sama. Kat sana saya belajar buat sauna, skrub badan, mandi bunga, mandi susu dan banyak lagi diajar di sana. Di sana juga saya di ajar dengan pelbagai kaedah urutan. Ketika belajar mengurut lah guru saya beritahu saya punya kemahiran untuk mengurut tradisional.

“Setelah banyak mengikuti kursus-kursus kemahiran yang disediakan, saya mula terfikir untuk membuat spa di rumah. Saya khaskan satu satu bilik di rumah dan buat  dekorasi cantik-cantik untuk saya jadikan spa sendiri. Saya mula sikit-sikit sehinggalah saya dipertemukan dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Bila di sana bakat saya diasah dan saya diajar teknik urutan yang betul. Dari situ saya belajar cara nak urut orang bersalin dan lain-lain urutan. Saya juga turut diajar bagaimana untuk menjana pendapatan menerusi urutan.”

Kemahiran urutan yang ada diguna pakai oleh Siti Norhaliza untuk memahirkan diri sehingga dia berjaya membuka spa miliknya sendiri.

“Dengan LPPKN mereka banyak buka booth yang mana saya dan rakan-rakan yang mendaftar akan terlibat sama untuk field work. Kat situ kami dapat praktis dan dari situ juga saya dapat pelanggan-pelangga baru. Alhamdullilah rezeki semakin hari semakin baik. Sejak itu saya mula ramai pelanggan dan kini saya sudah mempunyai 

spa sendiri yang saya namakan Siti Norhaliza Magic Spa.

Dari spa sendiri, Siti Norhaliza juga turut terlibat dengan Program MamaCare, iaitu  satu Perkhidmatan Penjagaan Holistik Ibu Selepas Bersalin yang bertujuan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan reproduktif wanita dan keluarga di bawah LPPKN.

Bersama dengan rakan-rakan MamaCare

“Saya turut terlibat dengan program MamaCare. Ia memang banyak membantu dari segi kursus yang disediakan selain dapat menambah pendapatan untuk saya dan anak-anak. Alhamdullilah kehidupan saya dengan anak-anak semakin baik. Saya bersyukur mempunyai keluarga yang banyak membantu terutamanya kakak saya dan juga beberapa kawan baik yang sentiasa ada ketika susah dan senang. Memang banyak dugaan dan ujian untuk kami yang bergelar ibu tunggal, tapi satu sahaja nasihat saya untuk wanita yang senasib dengan saya, jangan mudah mengalah dan belajarlah kemahiran agar dapat kita jadikan bekalan untuk menyara kehidupan sendiri dan anak-anak,”akhirinya.

Published by
Shahrina Azlin