
Isi Kandungan
ToggleBawang merah dan bawang putih biasanya menjadi satu kemestian dalam apa juga masakan. Namun jika selalu bawang-bawang ini ditumis dan dimasukkan dalam masakan, apa kata ia dimakan mentah begitu sahaja.
Ini kerana sekumpulan saintis mendakwa amalan memakan bawang merah dan bawang putih mentah setiap hari mampu mengurangkan risiko kanser payudara wanita sehingga 67 peratus, lapor akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Penyelidik mengkaji tabiat pemakanan lebih 600 wanita di Puerto Rico di mana kadar kes kanser tersebut meningkat dengan mendadak sejak beberapa puluh tahun lalu.
Risiko Kanser Lebih Rendah
Mereka mendapati wanita yang memakan lebih satu hidangan sos sofrito, iaitu sos berasaskan bawang merah dan bawang putih mentah setiap hari mempunyai kebarangkalian dua pertiga lebih rendah membentuk kanser payudara.
“Bagaimanapun, memakan kedua-dua jenis bawang itu dalam pelbagai bentuk lain tidak memberi manfaat serupa seperti memakannya secara mentah,” lapor kumpulan penyelidik tersebut.
Resipi sofrito berbeza-beza mengikut kawasan tetapi kebiasaannya mengandungi bawang merah dan bawang putih mentah di samping tomato, lada dan daun ketumbar.

Memakan kedua-dua jenis bawang itu secara mentah dianggap satu ciri penting dengan beberapa kajian terdahulu menggambarkan kandungan antioksidan yang melawan kanser dalam sayuran berkenaan akan musnah jika dimasak.

Imej menunjukkan sel barah payudara yang dirakam dan diperbesarkan menggunakan mikroskop.
Kajian Universiti
Kajian itu dijalankan secara bersama penyelidik dari Universiti Buffalo di New York dan Universiti Puerto Rico.
“Walaupun keputusan kajian kecil itu sangat menarik, lebih banyak kajian diperlukan sebelum kita boleh membuat rumusan tentang kesan memakan bawang merah dan bawang putih mentah terhadap risiko kanser payudara,” tegas Pengarah Penyelidikan badan amal Breast Cancer Care and Breast Cancer Now, Dr. Simon Vincent.

MW: Meskipun masih diperingkat kajian, tidak dinafikan memang ada makanan tertentu yang mempunyai antioksidan tinggi dan mampu merendahkan risiko kanser. Sebaiknya amalkan gaya hidup sihat dan kurangkan makanan berproses yang boleh menjadi punca kanser.
Baca Disini: Ketuk Dulu Bawang Putih, Biar 10 Minit Sebelum Guna, Mujarab Cegah Kanser
Sumber:Kosmo, Daily Mail
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Datin Lynda Rafikah Bangga Dibesarkan Ibu Tunggal, Kuat Semangat & ‘Struggle’ Bekerja Kunci Kejayaan

Isi Kandungan
ToggleDatin Lynda Rafikah bangga dibesarkan ibu tunggal, kuat semangat & ‘struggle’ bekerja kunci kejayaan. Seorang wanita yang bergelar ibu, adalah satu anugerah mulia dari Allah.
Datin Marlinda Rafikah Mohamad Rozi atau lebih mesra dengan panggilan Datin Lynda Rafikah yang juga pengasas THE GIRLS REPUBLIQUE (TGR) mengimbas kehidupan yang dibesarkan atas kecekalan ibu yang merupakan seorang ibu tunggal anak lima. Kecekalan ibu juga menjadikan dirinya tabah dalam menghadapi pelbagai cabaran dan kuatkan semangat untuk berjaya.
Komen Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Datin Lynda Rafikah Bangga Dibesarkan Ibu Tunggal
Sewaktu ditemui ketika majlis pelancaran produk baru-baru ini, Lynda akui dirinya sudah mula berjinak-jinak dalam perniagaan seawal usia remaja 14 tahun. Semangat yang ada pada diri ibu tercinta yang kuat bekerja menjadi inspirasi dirinya untuk berjaya. Apatah lagi keluarganya sendiri tidak asing dalam berbisnes.
“Keluarga juga terlibat dalam bisnes. Jadi sewaktu remaja saya bekerja dengan famili. Memang minat berniaga ni dari muda lagi,” ungkap Lynda yang juga muncul dengan produk kosmetik terbaru menerusi jenama Glassskin by Lyndarafikah.
Suami Tulang Belakang
Wanita cantik berusia 34 tahun ini juga menyatakan dirinya sudah terbabit dalam dunia perniagaan secara serius sejak berusia 19 tahun, malah suami tersayang Dato Abd Rahman Soltan juga merupakan tulang belakang dan pendorong menceburkan diri dalam perniagaan kecantikan.
“Saya berkahwin awal, usia 17 tahun. Suami jadi tulang belakang dari awal. Latar belakang saya dan suami suka berniaga. Usia 19 tahun saya sudah terlibat dalam perniagaan berkaitan kecantikan dengan membuka spa. Sehingga sekarang spa milik saya Emerald Touch masih beroperasi,” kongsi Lynda.
Berkongsi suka duka dalam berbisnes sejak 15 tahun dahulu, situasi paling sukar dilalui ketika Pendamik Covid-19.
“Walaupun sudah lebih sedekad dalam bidang perniagaan paling sukar adalah sewaktu Pendamik Covid-19. Ketika itu perniagaan saya juga terjejas. Jika sebelum ini spa yang saya kendalikan ada team yang ramai hampir 18 staf,namun dek kerana pendamik saya terpaksa kurangkan staf.
“Tapi alhamdulillah sehingga kini spa masih beroperasi dan segala kesukaran yang saya alami menjadi asam garam dalam perniagaan,” ujar Lynda.
Baca Disini : Rahsia Cantik Datin Elvina, Amalkan Bangun Awal Pagi & Pastikan Hidup Sentiasa Ceria
Nak Jadi Wanita Cantik & Lebih Sihat, Pastikan Kena Tidur Sebelum Jam 11 Malam!
Galas Tugas Sebagai Ibu & Isteri Dengan Baik
Ibu kepada empat cahaya mata ini juga beruntung kerana suami tersayang sentiasa disisi. Malah dirinya juga bekerja bersama suami. Wanita ini juga meletakkan prinsip dia akan pulang ke rumah sebelum suami. Tugas sebagai ibu dan isteri juga digalas dengan baik.
Beruntungnya Lynda kerana suami berpengalaman luas dalam penghasilan produk kecantikan.
“Suami saya merupakan seorang jurutera kimia dan mempunyai kilang membuat produk milik keluarga yang sudah beroperasi lebih 40 tahun. Kilang tersebut sudah menghasilkan banyak produk tempatan dan ada di anataranya di eksport ke luar negara.
“Berbekalkan pengalaman selama 40 tahun dan ditambah pula dengan bahan berkualiti tinggi yang digunakan dalam produk ini, saya yakin ramai yang akan berpuas hati kerana produk kami kerana ia setara dengan produk antarabangsa yang ada di pasaran sekarang,” katanya.
Baru Lepas Pantang Bersalin
Kelihatan langsing dan wajah berseri-seri sebenarnya Lynda baru saja 7 minggu bersalin anak keempat. Berkongsi penjagaan diri sewaktu berpantang, Lynda menyatakan dia mengamalkan pantang secara tradisional.
“Sejak bersalin yang pertama hingga anak keempat saya amalkan berpantang secara tradisional. Saya memang akan fokus menjaga badan, jaga makan, makan jamu, bersauna dan berurut. Malahs aya juga mengikut saranan doktor di mana enam minggu pertama selepas bersalin merupakan tempoh terbaik untuk turunkan berat badan,” ungkap Lynda.
Sepanjang mengandung, dirinya juga mengalami alahan dan masalah kulit seperti wanita hamil lain.
“Empat kali mengandung memang saya punya masalah, dimana muka dan leher menjadi gelap dan naik jerawat, membuatkan saya tidak senang duduk dengan penampilan ketika hamil, dalam pada itu untuk mencari produk yang sesuai dengan keadaan tersbeut memang payah.

“Salah satu faktor saya mengeluarkan produk kecantikan ini kerana penjagaan kulit sangat penting untuk setiap individu. Saya juga nak didik masyarakat supaya berhenti menggunakan produk yang mengandungi bahan-bahan terlarang seperti hydroquinone dan merkuri.
“Glassskin by Lyndarafikah telah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga tahun dan diuji sendiri oleh saya selama tujuh bulan.
“Saya juga percaya produk kecantikan sentiasa ada ‘demand’ tersendiri. Satu kepuasan apabila pengguna menggunakan produk kita.
“Saya juga mendapat maklum balas yang positif daripada kakitangan yang telah mencuba produk ini. Rata-rata mengatakan produk ini membantu masalah jerawat yang mereka hadapi, selain muka yang kusam menjadi putih, bersih dan sihat,” akhirinya yang turut menyatakan Glassskin mengandungi lima produk hebat iaitu pelembap muka, pencuci muka, serum, toner dan krim pelindung matahari atau sunscreen.
Mingguan Wanita : Seronok bila dengar ramai wanita berjaya dan membantu wanita lain menjana pendapatan.
Sumber Foto : Glassskin by Lyndarafikah
Fazura Pesan Wahai Wanita Sayangi & Hargailah Diri Anda!
Tip Cantik Isteri, Ibu & Selebriti Datin Elvina
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bentan Igauan Ngeri Mak-Mak Selepas Bersalin, Baca Perkongsian Ilmu Bidan Berpengalaman Ini

Isi Kandungan
ToggleTerkena bentan bagaikan satu igauan ngeri bagi mak-mak yang baru lepas bersalin. Penjagaan diri sewaktu dalam rawatan tempoh berpantang haruslah dititik beratkan dan diambil perhatian untuk mengelakkan diri daripada terkena bentan ini.
Perkongsian ilmu mengenai bentan ini dijelaskan oleh bidan berpengalaman, Kak Engku Bidan Bersalin sebagai rujukan.
Berikut antara perkongsian tersebut.
Bentan? Apa yang dikatakan bentan? Bagaimana hendak kenal pasti dan apa yang perlu dilakukan jika berdepan dengan masalah ini?
Bentan bermaksud sakit semula setelah hampir sembuh semasa dalam proses rawatan selepas bersalin. Ini bermakna, walaupun Mama hampir kembali sihat namun jika Mama culas penjagaan diri dalam tempoh itu, Mama akan mengalami sakit semula.
Oleh sebab itu, ada segelintir ibu mengalaminya pada penghujung atau selepas proses rawatan selepas bersalin. Apa yang pasti, dalam tempoh ini, ibu perlu melakukan penjagaan diri dengan teliti supaya tidak timbul sebarang masalah.
Punca Dan Isyarat Bentan
Mengambil makanan sejuk atau terlanggar benda keras. Kebanyakkannya disusuli badan berasa sejuk dan seakan hendak pitam. Situasi ini terjadi kerana dalaman badan yang masih lemah.
Apabila mengalami masalah ini agak sukar untuk kembali sihat dengan segera. Ada yang mengalaminya berminggu-minggu malah ada yang berbulan-bulan sebelum kembali sembuh.
Terdapat 3 Jenis Bentan
1. Bentan Urat
2. Bentan Urat Peranakan / Urat rahim
3. Bentan Urat Besar (Pinggang)
Untuk memastikan tidak mengalami masalah bentan, penjagaan diri adalah satu kemestian antaranya ialah:
1. Banyakkan Rehat
2. Elakkan Jangkitan Kuman
3. Jaga Pemakanan
Petua Tradisional Elak Bentan
Menyapu minyak panas di seluruh badan. Pakai baju panas, berstoking dan berselimut. Minum air kopi panas untuk panaskan badan dari dalam. Bertungku juga elok jika Mama boleh bangun atau ada seseorang yang boleh membantu ketika itu.
Mesti Tahu!
1. Jaga kebersihan anggota badan
2. Kerap menukar tuala wanita untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman.

3. Melakukan rawatan segera pada jahitan yang terbuka pada tempat peranakan untuk mengelak jangkitan kuman.
4. Tidak mengamalkan diet pemakanan yang betul dan kurang minum air menyebabkan Mama berisiko dijangkiti kuman.
5. Elakkan memakan makanan sejuk misalnya nasi yang sudah sejuk. Sebaliknya makan nasi panas.
6. Badan sentiasa dalam keadaan panas dengan memakai stoking.
Semoga bermanfaat dan kongsikan juga buat mak-mak yang sedang berpantang mahupun bakal-bakal ibu yang akan melalui proses rawatan selepas bersalin ini.
Sumber: Kak Engku Bidan Bersalin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dilema… Maduku Bakal Jadi Besanku!

Isi Kandungan
ToggleDia pasrah dan reda ditakdirkan berkongsi kasih dengan wanita lain. Malah, sebagai isteri muda, dia ‘sedar diri’ dan menjaga hubungan dengan madu, demi menjaga keharmonian rumah tangga.
Namun kini, timbul dilema baru apabila anak kandungnya menjalinkan hubungan cinta dengan anak angkat madunya. Patutkah dia merestui atau melarang saja?
Luahan hati ini wanita ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan memiliki tiga orang cahaya mata. Masing-masing berusia 25, 23,19 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya merupakan isteri kedua.
Perkahwinan saya dan suami atas kebenaran isteri pertama suami. Saya sedar bukan mudah untuk seorang wanita berkongsi kasih dan sebab itu juga saya sentiasa mengingatkan diri agar menjaga kelakuan supaya tidak timbul pertelingkahan bersama isteri pertama.
Tanpa Zuriat
Suami mengahwini saya setelah perkahwinannya bersama isteri pertama tidak dikurniakan cahaya mata setelah lima tahun berkahwin. Kata suami, isteri pertama menghadapi sedikit masalah dan tak mampu mengandung. Saya pula tak pernah bertanya lebih lanjut demi menghormati perasaan suami.
Mungkin sebab itu juga madu dengan rela mengizinkan suami berkahwin lagi demi untuk mendapatkan zuriat. Selain itu mereka turut memelihara sepasang anak angkat, yang merupakan anak saudara madu saya sendiri.
Walau pun hubungan kami tidak rapat dan sangat jarang berjumpa, tapi menghormati ‘privacy’ masing-masing sejak awal perkahwinan dulu lagi. Saya sedaya upaya tidak akan mengganggu suami ketika berada di rumah isteri pertama dan begitu juga dirinya. Ini penting untuk menjaga keharmonian rumah tangga kami.
Rapat
Walau pun saya dan madu sangat jarang berjumpa namun anak-anak saya rapat dengannya. Sejak kecil suami sering kali membawa anak-anak ke rumah madu terutama ketika cuti sekolah atau ketika saya perlu out station.
Walau pun ada pembantu rumah, tapi suami lebih suka bawa anak-anak ke rumah isteri pertama dan saya pula tak kisah bila melihatkan anak-anak gembira di sana. Kata mereka, ibu (madu saya) melayan mereka dengan baik. Itu membuatkan saya percaya madu saya itu ikhlas melayan anak-anak.
Sehingga sekarang, kadang kala anak-anak ‘hilang’ dari rumah, dan bila ditanya, rupanya ke rumah ibu mereka dan saya okay saja. Anak-anak juga rapat dengan anak angkat suami yang sering kali juga bertandang ke rumah saya.
Bahkan anak sulung saya, Irman, satu universiti dengan anak angkat suami yang sulung, Aira. Mereka sebaya. Jadi, sering kali juga Irman ambil dan balik bersama Aira.
Mengejutkan
Ramadan ke-17 lalu, saya dikejutkan dengan satu pengakuan daripada Irman. Katanya dia nak bawa teman wanitanya ke rumah untuk berbuka bersama. Sudah pasti saya tak melarang kerana dia sudah dewasa untuk bercinta.
Hari itu, saya memasak hidangan istimewa untuk menyambut kedatangan tetamu yang dinanti-nantikan. Tiba-tiba muncul Aira dan adiknya bersama Irman. Tapi saya taklah terkejut kerana Ramadan ini mereka belum datang berbuka di rumah. Saban tahun mereka pasti datang. Cuma agak hairan kenapa datang ketika ayah mereka di rumah ibu Aira? Terasa tak sedap hati pula…
Ternyata naluri saya tepat bila merasakan ada yang tak kena. Rupa-rupanya teman wanita yang Irman maksudkan adalah Aira! Saya terkedu waktu itu dan tak tahu nak cakap apa. Macam-macam saya fikir. Ternyata hubungan rapat di antara mereka telah membibitkan rasa cinta. Lebih terkejut kerana adik-adik mereka semua tahu dan tolong rahsiakan daripada saya, suami dan madu selama ini. Irman meminta saya untuk berterus terang dengan ayahnya dan ibu Aira. Dia benar-benar jujur sukakan Aira. Hati saya berbelah bagi.
Memang mereka boleh berkahwin kerana tak ada sebarang pertalian darah. Tapi saya risau kalau ibu Aira tak dapat terima anak tirinya sebagai menantu. Saya juga tak dapat bayangkan madu saya bakal menjadi besan saya. Tentu janggal sedangkan selama ini kami sangat jarang bertemu muka demi menjaga hati masing-masing.
Lebih penting lagi, apakah suami juga merestui? Puan, tak tidur malam saya dibuatnya. Tiap kali pandang wajah suami, mulut saya terkunci untuk meluahkan. Tapi saya juga kasihan pada Irman dan Aira yang ikhlas saling menyayangi. Sehingga kini mereka berdua mengharapkan saya untuk berterus terang dengan suami. Puan, saya buntu dibuatnya.
Mama Kay, Setiawangsa.
Saranan Kaunselor
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Puan Yang dirahmati Allah. Pertama sekali tahniah diucapkan kepada puan kerana memberi satu contoh yang terbaik kepada pasangan yang berpoligami tentang cara layanan dan memahami peranan dan perasaan madu dan suami.

Tidak ramai orang yang mampu melakukan seperti yang puan lakukan. Kredit kepada puan dan ini patut dicontohi oleh ramai wanita yang bergelar isteri, khusus kepada yang berpoligami. Sesungguhnya kehidupan ini boleh diurus dengan baik jika masing-masing hormat menghormati antara satu sama lain, berbaik sangka dan mengamalkan akhlak terpuji. Inilah yang dituntut dalam agama kita.
Ujian Hidup
Namun, apabila dinamakan kehidupan, pastinya ada ujian yang mendatang. Ujian itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Malah menyebabkan kita menghadapi masalah dan amat sukar untuk dirungkaikan. Teramat jarang kita mendengar bakal besan kita adalah madu kita sendiri.
Sememangnya pernikahan dibolehkan kerana ia bukan anak kandung suami. Dan apabila dikatakan percintaan pula antara lelaki dan wanita, teramatlah sukar untuk mereka melupakan antara satu sama lain jika ibu bapa meminta mereka memutuskannya. Pasti ada halangan besar untuk membatalkan hasrat mereka.
Nasihat
Puan yang dirahmati Allah. Pertama sekali cuba di peringkat puan dengan menasihati kedua-dua mereka. Sama ada secara berseorangan atau bersekali. Terangkan bahawa adalah sukar di kalangan masyarakat kita untuk menerima hakikat perkahwinan anak sendiri dengan anak angkat walaupun ianya dibenarkan dalam Islam.
Terangkan juga ini tidak akan menyenangkan hati ibu dan ayah, termasuk puan sendiri. Beri masa pada diri masing-masing untuk fokus kepada kerjaya terlebih dahulu, dan mengenali orang lain dalam kehidupan. Beritahu mereka juga bahawa dalam hidup ini apa yang kita suka sangat tidak semestinya baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya.
Belajar terima ujian dalam hidup iaitu untuk melupakan perasaan cinta terhadap seseorang, kerana hidup ini bukan cinta semata-mata. Ada perkara yang lebih utama. Puan hanya boleh menasihati dan mencuba…minta mereka juga mencuba. Minta mereka lakukan solat istikharah untuk mereka membuat pilihan yang terbaik untuk mereka, dan juga untuk keluarga dan agama.
Terus Terang Pada Suami Dan Madu
Jika untuk tempoh yang ditetapkan tiada perubahan, dan mereka juga tidak mampu melupakan pasangan, maka puanlah yang perlu menyatakan ini kepada suami dan suami yang akan memberitahu madu puan. Biar suami yang buat keputusan, puan hanya mengikut. Mungkin puan boleh menjangka apa yang akan berlaku, mungkin buruk, mungkin juga dalam kawalan. Namun yang paling ditakuti adalah jika mereka bertindak di luar jangkaan yang mengundang murka Allah…nauzubillah.
Hidup ini memang ada dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada kita. Dalam kejayaan kita mendidik anak pun masih ada ujian yang kita tidak mahu ianya berlaku. Namun takdir Allah tu adalah untuk menjadikan kita lebih beriman.
Pohonlah petunjuk daripada-Nya agar dilindungi daripada apa yang tidak diingini. Cuba sebaik mungkin untuk memahamkan mereka memberi peluang kepada hati untuk mengenali orang lain dalam kehidupan mereka. Namun jika ditakdirkan mereka bersama walau apa cara sekali pun dilakukan untuk memisahkan mereka, maka berlapang dada, terima dengan rela hati atas ketentuan-Nya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI