Isi Kandungan
ToggleAyam, semestinya menjadi makanan kegemaran anak-anak. Tambah-tambah bila digoreng. Sukanya anak-anak memang tak boleh bawa bincang. Mak-mak pun senang saja, tak perlu ambil masa lama nak hidangkan untuk anak-anak.
Namun, dalam sedar tak sedar, mak-mak tak tahu tahap ayam yang sudah masak di dalamnya. Kita ingatkan luaran ayam yang digoreng itu sudah masak sepenuhnya. Sedangkan bila anak-anak di makan tanpa pemerhatian mak ayah, rupanya masih ada bahagian yang belum masak.
Mungkin kalau mak masak sendiri, boleh perlahankan api semasa menggoreng supaya ia masak sekaa di dalamnya. Tetapi, bila beli ayam yang siap masak di luar, kita tidak tahu tahap ayam itu masak. Mungkin juga penjual nak cepat, maka ia dimasak sepenuhnya.
Keadaan ini boleh memberi kesan pada anak-anak terutaman bila dimakan. Perkongsian daripada Redza Zainol ini memberi panduan untuk mak ayam supaya sentiasa peka dengan apa yang diambil oleh anak terutamanya ayam goreng.
Beli Makanan Di Luar
“Ada ke beli makanan dari luar?”
Berkali-kali saya tanya barulah ibu ni teringat.
“Ya lah, saya ada beli nasi ayam untuk anak-anak. Selalu saya masak sendiri tapi minggu ni sibuk betul.”
Sambil tu dia usap kepala anaknya yang tengah terbaring lemah. Jari tangan semuanya sejuk, mata pun cengkung.
Sayu hati ibu ni tengok anak kecilnya dah muntah dan cirit birit hampir 20 kali. Yang buat dia betul-betul risau bila anak dia sendiri merayu nak pergi ke hospital.
“Adik dah tak larat maa. Tolong ma.”
“Sebenarnya anak saya ada mengadu dalam daging ayam tu ada darah tapi bayi saya menangis nak susu, terus saya terlupa.
Bila saya datang balik, dah habis dia makan semuanya,” penuh dengan nada kesal.
Keracunan Makanan
Banyak sangat kes keracunan makanan oleh kanak-kanak disebabkan makanan yang tak dimasak dengan sempurna.
Salmonella dan Campylobacter antara bakteria yang akan hidup pada bahagian darah ayam yang tak dimasak sepenuhnya.
Jangkitan Salmonella dan Campylobacter jika lambat dirawat, ia boleh merebak ke seluruh badan melalui saluran darah anak. Bila jadi begini, anak akan demam tinggi, menggigil-gigil dan paling teruk hingga boleh menyebabkan kematian.
Perhatikan Tanda-tanda
Ibu dan ayah kena tolong periksa setiap makanan sebelum diberi pada anak. Jangan bagi kalau ada tanda-tanda ayam tak cukup masak seperti:
Warna : ayam berwarna kelabu dan pucat
Bau : hanyir atau bau seperti telur rosak
Tekstur : berlendir bila dipegang
Kulat : tanda kulat warna hijau atau hitam pada permukaan ayam
Darah : darah pada tulang atau sendi ayam
Rasa : masam atau lain dari rasa ayam
MW: Buat mak-mak, hati-hati yer bila bagi anak makan terutamanya ayam yang dibeli di luar. Kita tidak tahu, anak sakit sebab kita tersalah beli makanan tercemar. Menyesal kemudian sudah tak berguna.
Sumber: Redza Zainol
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Fahamkan Baik-baik 9 Nasihat Dr Maza, Kemudian Mak Ayah Tanya Diri Kenapa Nak Hantar Anak Ke Pusat Tahfiz
Isi Kandungan
ToggleSejuk hati mak ayah bila tengok anak-anak yang dihantar ke tahfiz itu, baiknya cara mereka layan mak ayah. Jauhnya beza dengan anak sendiri, bukan kata-kata ‘Ahh’ anak luahkan. Kadangkala kasar bahasanya. Demi nak bentuk anak jadi baik, mereka dihantar ke pusat tahfiz. Tanpa mak ayah fahami, apakah kualiti pusat tahfiz yang sepatutnya dipilih untuk anak, bagaimanakah cara pembentukan akhlak anak itu kelak apabila sampai di tangan ustaz.
Dengar nasihat daripada Mufti Perlis, Dr MAZA atau nama sebenarnya Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ini. Selepas anda fahami poin-poin ini dengan jelas, tanyakanlah pada diri kenapa mahu hantar anak ke pusat tahfiz yang anda pilih itu. Bukan sekadar ikut-ikutan…
Buat sekian kalinya kita mendengar tragedi pusat tahfiz. Sekali lagi saya bangkit apa yang pernah saya catat beberapa bulan lepas:
SEKOLAH TAHFIZ DAN AGAMA: ANTARA KEMURNIAN NIAT DAN PENGURUSAN YANG LEMAH
Kebelakangan ini timbul beberapa isu tentang sekolah agama dan tahfiz persendirian yang tumbuh serata tempat. Pelbagai isu berbangkit, termasuk kebakaran, kes penyiksaan, kematian pelajar dan pelbagai isu keselamatan yang lain. Di sini saya ingin sebut beberapa nota ringkas untuk perhatian ibubapa yang mulia hasrat mereka dan pihak berwajib. Antaranya;
Ibu Bapa Pun Perlu Ada Ilmu Untuk Menilai Masa Depan Yang Diinginkan Untuk Anaknya
Ramai, bahkan mungkin keseluruhan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama dan tahfiz dengan hasrat dan niat yang baik. Namun ramai dalam kalangan mereka mungkin tidak begitu memahami ataupun memikirkan secara seimbang apakah yang mereka mahu bagi masa depan anak-anak tersebut. Kalangan mereka, disebabkan tidak begitu memahami agama menganggap hanya dengan belajar di sekolah agama maka itu sudah memadai.
Tidaklah mereka faham apa yang dimaksudkan dengan ‘tafaquh’ atau mendalami agama dalam ertikata yang sebenar. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menilai walaupun secara umum kedudukan ataupun kualiti sekolah agama yang mereka hantar anak-anak mereka belajar.
Ibu Bapa Perlu Sedar Mempelajari Agama Itu Bukan Sekadar Menghafal
Ibubapa hendaklah sedar, bahawa anak-anak kita membesar dan akan hidup di era ini. Era yang penuh dengan cabaran terhadap agama dan menuntut kemampuan memahami teks dalam konteks yang betul. Justeru itu, pendidikan agama yang baik hendaklah diseimbangkan dengan keperluan cabaran masa kini.
Demikian, amat penting untuk difahami bahawa menjadi ilmuwan agama bukan sekadar menghafal nas dan bernasyid semata, tetapi hendaklah mampu memahami apa yang dihafal dan dapat menghuraikan makna Islam selaras dengan tuntutan semasa.
Adakah Sekadar Memberi Pengetahuan Asas Agama Semata-mata
Jika hasrat ibubapa itu sekadar memberikan pengetahuan asas agama kepada anak-anak mereka, hendaklah mereka sedar bahawa anak-anak mereka selain dari bersolat dan berzikir, juga perlu hidup seperti manusia lain.
Maka ilmu yang membolehkan mereka mencari rezeki yang halal amatlah diperlukan. Ini sama ada mata pelajaran akademik lain selain mata pelajaran agama, ataupun ilmu kemahiran hidup yang membolehkan penerusan hidup mereka di masa hadapan.
Gelaran Ustaz Bukan Jaminan Maksum
Ibubapa hendaklah tahu bahawa bukan semua yang dipanggil ustaz itu baik kualiti bahasa Arab dan bagus pengetahuan agamanya. Lebih daripada itu, gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh mempercayai segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan.
Maka, langkah berwaspada untuk masa depan anak-anak kita adalah sesuatu yang dituntut.
Perlu Tahu Adanya Sekolah Agama Atau Tahfiz Di Bawah Kementerian Pendidikan Yang Diurus Dengan Baik
Terdapat sekolah tahfiz dan agama swasta yang baik , mengikut peraturan dan berkualiti. Ini dapat diukur dengan banyak ciri, antaranya kualiti kelulusan guru-guru yang mengajar, sukatan pelajaran dan persekitaran pembelajaran.
Secara umumnya, sekolah-sekolah agama ataupun tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan diurus tadbir dengan baik di sudut kualiti pelajaran.
Kualiti Ustaz Yang Bukan Dibentuk Semangatnya Di Atas Pelbagai Tujuan Peribadi
Namun tidak boleh dinafikan di sana terdapat sekolah agama dan tahfiz diwujudkan tanpa melengkapi keperluan yang sepatutnya. Sebahagiannya hanya kerana semangat ‘ustaz-ustaz’ tertentu yang ingin menubuhkan sekolah sendiri di atas pelbagai tujuan peribadi lalu diwujudkan sekolah mereka sendiri sekalipun tidak memenuhi keperluan pendidikan yang sepatutnya.
Ada ustaz dia sendiri gagal dahulunya gagal dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan. Apakah lagi untuk memiliki diploma atau sijil perguruan. Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan dan kaedah ataupun pedagogi pengajaran.
Bukan Tenaga Pengajar ‘Bidan Terjun’ Atau ‘Tangkap Muat’
Sekolah-sekolah yang tidak berkualiti itu, bagi menjimatkan kos gaji guru, mereka mengambil sesiapa sahaja yang bersedia mengajar sekalipun bukan bidang berkaitan. Maka tenaga pengajar yang tidak cekap, tidak berpengalaman dan ‘bidan terjun’ ataupun ‘tangkap muat’ mengajar di sekolah-sekolah tersebut.
Individu yang tidak begitu tahu bahasa Inggeris mengajar Bahasa Inggeris, yang tidak mahir matematik mengajar matematik, sains, sejarah dan seterusnya. Sebahagian mereka bekerja ini hanya sementara menunggu peluang pekerjaan lain, maka tahap tanggungjawab juga rendah.
Badan Pentadbiran Sekolah Tahfiz Yang Berstruktur
Terdapat pemilik-pemilik sekolah tahfiz dan agama yang menubuhkan sekolah mereka untuk kepentingan diri mereka. Mereka guna nama tahfiz dan agama untuk mengutip derma dan sumbangan. Wang yang disumbangkan itu, tidak mempunyai jawatankuasa ataupun badan audit ataupun amanah yang mengawal. Akhirnya jika tidak amanat, pemilik tahfiz ini mewah dengan sumbangan orang ramai, sementara sekolah mereka dalam keadaan daif.
Lebih dukacita lagi, ada yang menggunakan pelajar untuk mengutip derma sehingga kita lihat, anak-anak tahfiz di lebuh raya, kedai makan, pasaraya dan seumpamanya untuk mengutip wang daripada orang ramai.
Dukacita, akhirnya yang menjadi mangsa ialah ibu bapa dan anak-anak muslim yang ingin mencari ilmu agama tetapi tersalah tempat kerana ‘sangkaan’ baik kepada pusat-pusat tahfiz ataupun sekolah agama yang sedang tumbuh bagaikan cendawan ini.
Justeru, bagi menyelamatkan masa depan anak-anak umat Islam, perkara ini hendaklah diteliti dan dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab.
Sumber/Foto: DrMAZA.com – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebelum Masuk Teman Isteri Sakit Bersalin, Hafal Dulu 10 Tip Dari Doktor Ini
Isi Kandungan
ToggleSebelum berdepan dengan sakit bersalin, kebanyakan isteri awal-awal buat permintaan mahu suami teman semasa proses kelahiran anak. Mengharapkan suami bagi kata-kata semangat dan sehabis boleh nak suami ada di sisi.
Tetapi kalau betul nak teman isteri, golongan suami kena hafal dulu beberapa tip persediaan sebelum masuk bilik bersalin. Nah, ini pesanan ‘manis’ daripada Pegawai Perubatan Kesihatan wanita & Kehamilan, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak.
10 tips untuk suami – sebagai peneman isteri di kala sakit bersalin
Walaupun amat sukar bagi seorang suami melihat isterinya dalam kesakitan, namun kebanyakan mereka merasakan bahawa kelahiran bayi mereka yang tunggu-tunggu adalah saat yang paling indah dalam hidup mereka, nak-nak lagi baby pertama kan?
Jadi, apakah cara yang terbaik untuk suami memberi sokongan kepada isteri dalam mengharungi detik yang mungkin yang paling mencabar dalam hidupnya?
Berikut adalah 10 tips yang saya kongsikan kepada suami – yang saya dapat dari bapa yang sudah melalui pengalaman ini.
Dipendekkan cerita, pengalaman dari bapa ke bapa yang lain:
1. Pastikan anda tahu apa yang isteri mahukan
Berbincang dengan isteri anda terlebih dahulu mengenai apa yang dia mahu atau tidak mahu semasa dalam proses kelahiran. Anda adalah orang yang bertanggung jawab memaklumkan perkara ini kepada doktor atau bidan terlatih.
Sebelum sakit bersalin tu datang, biasanya isteri masih lagi dapat berfikir dengan baiknya, jangan ditanya isteri masa dia tengah sakit – silap hari bulan boleh kena penumbuk!
2. Bawa barang keperluan anda sendiri
Semua akan menumpukan perhatian kepada isteri anda, tetapi anda juga jangan abaikan kebajikan anda sendiri. Jika mahu bermalam di hospital, atau menemani isteri dalam kamar bersalin, bawa segala keperluan anda bersama. Contohnya, bawa la baju sehelai dua, selipar jepun dan keperluan-keperluan lain.
Jangan lupa bawa sedikit snek dan minuman kerana anda mungkin terpaksa berada agak lama di hospital, ini yang paling penting!
3. Tahu apa yang harus dijangkakan
Bila sakit bersalin dah bermula, tak sempat dah nak google atau membaca buku panduan berkenan kelahiran.
Lebih adfhal jika anda dapat meluangkan masa menghadiri kelas-kelas antenatal bersama isteri anda dengan fikiran yang terbuka. Dengan cara ini, anda akan memperolehi maklumat mengenai proses kelahiran dan bersalin, serta dapat membuat sedikit-sebanyak perancangan bagaimana hendak menghadapi hari tersebut.
Tak ada lah terpinga-pinga melopong bila doktor dok beriya-iya menerangkan keadaan isteri dalam dewan bersalin.
4. Fleksibel
Proses kelahiran ini bukan berlaku dalam masa yang singkat, ianya mengambil masa yang cukup lama. Anda kena bersabar dan fleksible untuk menempuh apa yang berlaku.
Bukannya menggesa doktor untuk mempercepatkan proses kelahiran sebab tak sanggup menunggu, katanya penat nak tunggu.
Buat pembacaan sedikit mengenai proses bersalin sebelum marah staf dewan bersalin tak tentu pasal.
Staf dewan bersalin juga manusia seperti anda, punya hati dan perasaan. Perlu masa untuk makan, ke tandas dan sebagainya.
Kami tak ada kuasa sakti boleh mengeluarkan bayi segera, dan tahu bila bayi akan dilahirkan. Wallahualam.
5. Cari sesuatu untuk mengalihkan perhatian
Melahirkan anak biasanya adalah satu tugas yang sukar dan prosesnya panjang. Pada satu ketika semasa kelahiran yang panjang, anda dan isteri akan mengenalpasti sesuatu yang dia boleh fokuskan perhatiannya semasa datangnya kontraksi.
Tugas anda ialah untuk membantu isteri anda mengalihkan perhatian isteri untuk berperang dengan kesakitan ini atau dia sudah mula nak surrender.
Contohnya – urut tapak kaki isteri, urut belakang isteri. Kaedah-kaedah lain yang anda mungkin pelajari di kelas-kelas antenatal memfokus kepada mengajar bakal-bakal ibu bagaimana menghadapi sakit bersalin menggunakan teknik-teknik bertenang dan teknik pernafasan.
6. Lakukan segala-galanya sendiri
Walaupun ramai orang yang lebih berpengalaman di sekeliling anda yang boleh membantu, anda adalah tonggak utama yang paling penting bagi isteri anda. Buat apa sahaja dan dapatkan apa yang diperlukannya.
Tidak kiralah jika anda terpaksa berlari ke kafetaria untuk membeli gula-gula ataupun mengambilkannya segelas air, ataupun berbincang dengan doktor bagi pihaknya.
Biasanya isteri nak dekat-dekat bersalin ni manjanya terlebih. Layankan aje!
7. Tahu batas-batas anda
Bilik bersalin adalah tempat yang sangat sibuk dan banyak pesakit-pesakit lain sedang bertarung nyawa untuk bersalin. Pastikan anda tahu apa yang anda boleh lakukan dan apa yang perlu diserahkan kepada mereka yang lebih tahu dan bertauliah.
Jangan pula terkejut kalau orang sebelah-sebelah terpekik terlolong menahan kesakitan. Itu perkara biasa dalam dewan bersalin.
Pastikan anda jenis yang tidak mabuk darah – ada kes suami yang pengsan dalam dewan bersalin sebab lihat darah yang banyak. Satu hal lagi, nak rawat isteri, kena rawat suami sekali!
8. Bersedia untuk membuat keputusan pada saat-saat genting
Hanya anda dan isteri yang tahu apa yang anda berdua mahukan, tetapi isteri anda mungkin tidak dapat membuat keputusan yang penting pada ketika itu. Bersedialah untuk melangkah ke hadapan dan membuat keputusan apabila situasi memerlukan anda berbuat demikian.
Lazimnya doktor akan menerangkan keadaan – dan pilihan rawatan yang ada dalam kecemasan.
Sila bekerjasama dgn doktor, berbincang dengan isteri dan berikan keputusan mengikut nasihat doktor
Bukannya, telefon kaum kerabat di rumah, untuk meminta nasihat pada saat-saat genting. Keluarga di rumah tidak tahu menahu mengenai apa yang sedang berlaku, maka tidak perlu hiraukan mereka. Doktor hanya berbincang dengan anda dan isteri sahaja.
9. Bersedia untuk menunggu
Tidak seperti yang anda lihat dalam filem ataupun televisyen, kebanyakan wanita terpaksa menempuh sakit bersalin selama berjam-jam sebelum mereka pergi ke hospital.
Banyak pasangan yang merasakan lebih selesa berada di rumah sahaja pada peringkat awal kelahiran. Tambahan pula, banyak pusat-pusat bersalin yang lebih suka jika anda menunggu sehingga kontraksi anda lebih kerap dan jarak di antaranya lebih dekat sebelum anda mendaftar masuk.
10. Berada di sisinya
Rakan kelahiran merupakan perkara yang penting bagi seorang wanita yang dalam proses bersalin. Walaupun pada hari ini si bapa biasanya akan hadir, banyak hospital yang menerima sesiapa sahaja yang dipilih oleh si ibu sebagai rakan kelahiran. Ramai wanita yang meminta ibu mereka untuk membantu, jika suaminya tidak dapat menemani ketika hendak bersalin.
Bagi setiap rakan kelahiran, ini merupakan salah satu peristiwa di mana kehadiran anda adalah amat bermakna untuk wanita ini. Jangan lepas tangan nak serahkan kepada pihak hospital mentah-mentah.
Ingat, wanita yang sedang sakit bersalin, perlukan peneman di sisi. Jangan abaikan mereka. Kongsi saat indah ini bersama, supaya anda lebih menghargai isteri anda.
Kepada wanita nak bersalin tu, jangan ‘berperang’ sendirian, jom bawa sekali suami teman anda.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Konon Nak Bagi Semangat Pada Si Janda, Tup tup Suami Pula Yang ‘Lemah Semangat’!
Isi Kandungan
ToggleSudah banyak kali terbaca kes suami curang sebab jumpa bekas kekasih, kali ini terkena pada kawan sendiri. Tak sangka sungguh sebab kalau tengok sebelum ini kehidupannya cukup bahagia, malah Allah siap hadiahkan seorang anak buat pengikat kasih sayang.
Namun semuanya berubah sekelip mata selepas suaminya mula jatuh hati pada bekas kekasih zaman sekolah. Yang pelik, bekas kekasihnya itu janda anak dua. Ditakdirkan jadi janda pun sebab suaminya ada perempuan lain. Tergamak pula dia lukakan hati perempuan lain walau rumah tangganya pun roboh sebab orang ketiga!
Bermula Dari Dengar Luahan
Lagi menyakitkan, suaminya mula menjalinkan hubungan dengan perempuan itu selepas tahu dia jadi janda anak dua. Kononnya nak cuba bantu bagi semangat, tup tup diri sendiri ‘lemah semangat’. Lebur sampai akhirnya dia pula rasa nak tolong dengan bagi peluang itu menumpang kasih.
Hmmm… Kasihan. Si isteri langsung tak tahu, sampai lah kantoi sebab ternampak ucapan hari lahir dan luahan hati perempuan itu dalam phone. Gitulah, sembunyi macam mana pun akhirnya isteri tahu juga. Sebab Allah dah bagi satu kelebihan isteri ini ada naluri keenam. Jangan berani-berani nak sembunyi.
Cuba nak selamatkan rumah tangga, yang isteri gigih tanya suami cerita sebenar. Sampai mengaku dibuatnya! Dan bila tanya perempuan tu pula, tak mengaku. Tapi bila hantar balik screenshot ucapan hari lahir yang dia pernah bagi, terus ‘diblock’. Ewaahh… tanpa ucapan maaf, senang saja dia habiskan cerita. Yang si isteri ni susah hati dan TAWAR HATI sebab rasa cintanya dikhianati. Ni nak salahkan siapa?
Salah suami bagi peluang atau salah si perempuan yang bagi ruang?
Rasa Sakit Hati Dan Geram
Ikutkan hati memang geram dengan perangai perempuan yang suka merosakkan rumah tangga orang macam ini, dia tak sedar ke tindakannya salah?
Kita ni, kalau betul nak bahagia… Janganlah sampai curi kebahagiaan orang lain. Ya, betul cinta itu buta. Tetapi cuba berfikir dulu guna otak dan letak diri sendiri dalam kasut orang tu. Seronok ke cipta bahagia sendiri atas kesedihan orang lain?
Haaa… Itu nasihat dan tanya, nak suruh sedar tindakan kita itu salah dan masih boleh dibaiki.
Si Suami Tak Tahu Buat Pilihan
Biasalah, bila cinta menguasai dalam diri, si lelaki yang berstatus ayah dan suami orang langsung tak rasa bersalah. Yang dia nampak, kasihan bekas kekasihnya sudah tiada suami. Habis, sanggup pula nak biarkan isteri sendiri tak ada suami? Kalau niat nak berpoligami sekali pun, mahu ke isteri tu? Cuba fikir dulu sebelum buat keputusan. Tapi sepatutnya, berfikir sebelum dengar luahan perempuan lain. Bila dah dengar masalah perempuan lain, itu yang jadi pintu hati diketuk rasa nak buka pintu bagi orang ketiga masuk!
Berubahlah Sebelum Terlambat
Ingat balik dan sedar diri. Golongan isteri ni walau kerjanya hebat daripada si suami, pendidikannya lagi tinggi berbanding suami, berpangkat tinggi daripada suami, tinggi lagi gaji dari suami, tapi sebab sayang, dia rendahkan semuanya dan nampak setaraf dengan suaminya. Langsung tak kisah bantu kewangan ekonomi rumah tangga, sebabnya sayang!
Itu pun masih ada hati nak cari yang baru?
Ya, sebenarnya tak salah kalau nak berpoligami tapi biarlah kena caranya. Perempuan, kalau nak suami orang tolonglah jujur. Dan lelaki kalau ada hati nak kahwin dua, terus terang dengan isteri. Bawa berbincang. Jangan sampai isteri rasa tertipu yang akhirnya rasa tak sanggup nak teruskan hubungan sebagai suami isteri. Itu lagi bahaya, sebab kesannya si anak lah!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI