Mak Pening Anak Asyik Dengan Gajet, Ini Caranya Nak Galakkan Mereka Buat Aktiviti Luar

Share

Kanak-kanak yang sedang membesar lazimnya memang aktif. Berlari, berpusing, melompat, memanjat dan keinginan mereka untuk terus bergerak dan bergerak adalah baik untuk menggalakkan tabiat kecergasan yang kekal lama.

Seperti juga orang dewasa, kanak-kanak perlu cergas untuk meningkatkan kesihatan dan memastikan bahawa badan mereka boleh melakukan apa yang mereka perlu lakukan. Senaman yang kerap membantu kanak-kanak membesar, membina otot dan tulang yang kuat, membangunkan kemahiran motor penting, dan meningkatkan keyakinan diri.

Memang tak dinafikan kakak-kanak pada usia 5 dan 6 tahun telah sedia aktif, namun dengan teknologi dan gajet yang ada pada hari ini, mereka mungkin tidak seaktif yang kita sangka. Jadi apa yang perlu ibu bapa lakukan untuk memberi motivasi kepada anak-anak anda? Untuk memastikan masa aktif si kecil anda menyeronokkan, kenal pasti apa aktiviti yang terbaik untuk kumpulan umur anak anda dan beri keutamaan untuk sesuatu yang menggembirakan mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak prasekolah mungkin mengeluh jika anda mengheret mereka berjalan kaki sekitar trek senaman. Tetapi jika anda berjalan melalui hutan, berhenti untuk menerokai alam semula jadi dan membaling batu ke dalam sungai atau berjalan kaki melalui denai yang ringkas pasti lebih menarik.

Fahami kemahiran mana yang ada pada anak anda juga boleh menjadi kunci untuk mengekalkan keseronokkan sesuatu aktiviti. Membaling bola bersama atau bermain sepak bola mungkin menjadi kemahiran yang terpendam dalam diri si kecil. Biarkan dia mengasah bakatnya itu dengan bermain bersama-sama. Bukan mereka sahaja yang mengeluarkan peluh, malah anda juga boleh kekal sihat dengan aktiviti sebegini.

Aktiviti luar

Jangan biarkan anak anda terperap di rumah dengan gajet di tangan atau menonton televisyen seharian di rumah sahaja. Permainan dan peralatan tidak perlu mewah. Kanak-kanak menikmati permainan yang mudah, seperti menangkap dan membaling, bermain dengan raket plastik dan bola, menari atau jatuh serta bangun sendiri.

Kanak-kanak prasekolah melatih kemahiran seperti melompat, mengimbangi pada satu kaki, membaling dan menangkap bola, mengayuh basikal roda tiga, dan bermain tali skipping yang mana kebaikan itu akan dimanfaatkan untuk kegunaan pada masa kini dan juga masa hadapan.  Apabila kanak-kanak belajar kemahiran asas tersebut, ia membina keyakinan dan besar kemungkinan mereka akan terus aktif secara fizikal sehingga mereka dewasa. Sebuah organisasi sukan dan pendidikan fizikal menyarankan kanak-kanak prasekolah membuat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berstruktur (dibimbing oleh orang dewasa) sehari.

Masa lapang

Berikan sedikit kebebasan untuk anak anda juga boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak prasekolah menjadi aktif. Walaupun beberapa aktiviti fizikal mereka hendaklah distrukturkan dan diketuai oleh ibu bapa atau penjaga, mereka juga perlu mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal bebas setiap hari.

Menggalakkan bermain aktif yang bebas, bermaksud membiarkan anak-anak memilih aktiviti dan membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan , sudah tentu semuanya dalam persekitaran yang selamat dan diselia. Ini termasuk meneroka laman belakang rumah, berkebun, berjalan di sekitar taman permainan, atau bermain dengan anak patung mereka di dalam rumah.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik. Kanak-kanak sentiasa memerhatikan gerak geri anda, maka jadilah contoh yang baik dengan bersenam secara teratur. Anak akan jadikan anda sebagai panduan mereka dan akan mengikut apa yang anda buat secara semulajadi.

Cara lain galakkan aktiviti fizikal:

Hadkan masa menonton televisyen dan bermain dengan gajet. Dengan cara ini, anak-anak akan mencari satu aktiviti lain yang lebih bermanfaat. Tak salah untuk dedahkan kepada mereka dengan teknologi masa kini, namun anda perlu pastikan aplikasi dan permainan atau tontonan mereka sesuai dengan usia.

Pastikan ia menyeronokkan. Membantu mencari aktiviti anak anda suka dan kemudian menawarkan banyak peluang untuk dinikmati oleh mereka tentu mengujakan. Bermain sorok-sorok atau mengejar mereka di sekitar rumah pastinya buat mereka teruja. Atau anda juga boleh menunggang basikal bersama di taman pasti eratkan lagi hubungan dengan anak-anak.

Perhatikan kebolehan fizikal anak-anak seperti memanjat ke puncak gelongsor di taman permainan atau bergayut di palang yang ada mungkin melebihi keupayaan mereka untuk menilai apa yang selamat dan apa yang berbahaya. Begitu juga, mereka tidak tahu bila masanya untuk berehat pada hari yang panas. Cara ini sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak berseronok di luar sambil memastikan mereka dalam keadaan selamat. Tapi jangan lupa botol air, kudapan sihat, dan pelindung matahari juga ya!

 

Published by
Shahrina Azlin