Mak ayah yang bersikap terlalu melindungi anak-anak (over protective) kadangkala boleh bawa kemudaratan yang tak disengajakan pada diri anak-anak tanpa disedari.

Mak ayah mana yang tak sayang anak kan? Sebaik saja lahir ke dunia, anak akan ditatang bagai minyak yang penuh. Kegusaran dan kebimbangan terhadap diri anak-anak juga tidak pernah surut.

Mak-Mak Sentiasa Dibayangi Risau Dan Takut

Ya, itu naluri semula jadi mak ayah, terutamanya mak kan? Sentiasa fikirkan soal anak. Kat tempat kerja fikir anak. Teringat bagaimana keadaan anak di rumah pengasuh, di nurseri atau di sekolah. Apakah mereka makan dengan kenyang? Apakah tak ada yang membuli? Macam-macam lagi persoalan.

Tak salah bahkan normal bila mak sentiasa risau akan keselamatan diri anak-anak. Sebab itu, ada yang tak izinkan anak-anak keluar bermain tanpa kehadiran mereka sedangkan anak dah berumur 12 tahun!

Pada usia itu, anak tentunya dah boleh jaga diri. Sebaliknya lebih rela anak terperuk di rumah melayan handphone daripada bermain basikal atau bermain bola sepak bersama rakan-rakan. Bukan jauh pun, masih di kawasan perumahan yang sama.

Jejas Keupayaan Bersosial

Tidakkah mak-mak sedar, bila ia berterusan, takut ia akan menjejaskan keupayaan bersosial anak-anak. Jangan salahkan anak kalau tak pandai bergaul dengan rakan sebaya. Sebabnya mereka sentiasa dikongkong. Bagi mak-mak yang ‘over protective’, dia lebih rela anak memerap di rumah asalkan ada di depan mata.

Tapi tidakkah terfikir, kalau asyik menghadap handphone juga banyak buruknya? Kalau bermain, boleh juga anak beriadah, minda pun aktif dan sihat.

Macam-Macam Fikir

Begitu juga, ada mak yang tak pernah suruh anak ke kedai membeli barang walau pun tak jauh dari tempat tinggal. Alasannya takut anak tak tahu jaga diri bila melintas jalan, takut anak tersilap beli barang, takut nanti anak ditipu dan sebagainya. Jika begitu, bayangkan nanti. Mungkin anak-anak tak tahu bagaimana nak membuat urusan jual beli.

IKLAN

Bahkan mungkin akan wujud sikap malu dan kurang keyakinan diri untuk berbual dengan orang lain. Dalam hal ini, kalau risdau, mak boleh pantau sambil mengajar anak. Mungkin pada permulaan, dengan menghantar anak ke kedai dan minta anak yang ambil dan bayar barang. Dengan itu anak akan mengalami proses permbelajaran.

Mak Tak Ada Kepercayaan Pada Anak

Bila kita berikan sedikit kebebasan pada anak, tak bermakna kita tak sayang anak. Sebaliknya kita nak dia dipupuk dengan sikap berdikari. Kalau semua perkara tak boleh buat, apa akan jadi pada anak tersebut?

Anak-anak akan makin membesar. Takkan selamanya kita akan melarang mereka melakukan sesuatu yang pada pandangan kita berisiko?  Kita kena letakkan kepercayaan pada diri anak-anak. Berbekalkan nasihat yang kita sentiasa tanamkan pada diri mereka, kita kena belajar untuk ‘melepaskan’ mereka sedikit demi sedikit. Dalam masa yang sama, kita tetap kenakan syarat dan pantau mereka.

Baca artikel menarik lain di sini:

Mak Ayah Kena Ajar Anak Masa Kecil, Bukan Biasakan. Takut Terbawa Hingga Dewasa

Mak Ayah Nak Kahwin Lagi, Anak Tak Patut Halang Tapi  TOLONG  Bincang

Ikuti Mingguan Wanita di instagram

Ajar Anak Kerja Rumah

Ada mak yang memang tak izinkan langsung anak masuk dapur termasuk anak perempuan remaja. Sepatutnya pada usia 9 tahun ke atas misalnya, mungkin mak dah boleh ajak anak ke dapur. Bantu mana yang mudah. Misalnya mulakan dengan cuci pinggan sendiri. Ya, ada mak risau takut nanti anak cedera kalau pinggan pecah. Jangan begitu, ajar dan pantau anak untuk buat. Lama kelamaan dia pasti akan buat dengan baik.

Bila rasa percaya makin tinggi dan anak minat memasak, mungkin boleh ajar anak untuk masak masakan mudah. Sudah pastilah dengan pantauan kita ye. Mungkin mengajar mereka membuat pankek atau yang mudah-mudah.

Bila anak rasa diri diberikan kepercayaan, yakin diri mereka juga akan meningkat dan pasti mereka akan melakukanya dengan sebaik mungkin. Apatah lagi jika ia sesuatu yang mereka minati.

Anak Semakin Membesar

Mak kena fikir, sampai bila nak bersikap ‘over protective’? Anak-anak makin makin membesar dan mereka perlu mengalami proses pembelajaran untuk tampil yakin, berani dan mampu berdikari.

Kalau ada rezeki, mungkin anak akan sambung belajar hingga ke university. Bayangkan kalau anak kurang yakin diri? Bolehkah mereka menyesuaikan diri dengan baik? Bagaimana nak hidup sehari-hari di kolej kalau baju pun tak gosok?

Bayangkan pula bila anak-anak dah kahwin. Kalau dari kecil tak diddik dengan ilmu rumah tangga yang sepatutnya, apa akan jadi? Bagaimana kalau anak perempuan kita kupas bawang pun tak pandai? Bayangkan pula kalau anak lelaki kita tahu buat kerja rumah, memudahkan hidupnya juga nanti.

Mak kena ingat, boleh bersikap melindungi anak, tapi biar berpada. Tengok pada usianya juga. Semakin dia membesar, sedikit demi sedikit longgarkan sedikit ‘tali pelindung’ tersebut ye.