Mak mentua suka audit menantu, rumah tangga jadi kacau bilau. Bertengkar disebabkan cemburu dengan pasangan tidak sebisa bertengkar kerana campur tangan keluarga mentua.
Hari ini semakin ramai pasangan muda yang duduk bersama mentua. Mungkin untuk tempoh awal perkahwinan tidak menjadi masalah. Elok juga mentua memberi petua bagaimana nak menjaga anaknya. Tapi apabila sudah terlalu lama, maka akan berisiko untuk timbul hal-hal lain.
Ada mentua yang seperti juruaudit yang selalu membuat pemeriksaan mengejut cara menantu menguruskan anak dan cucunya. Memang niatnya tulus suci mahukan yang terbaik. Tetapi terus-terang cakap, siapa yang suka setiap hari diaudit?
Lebih mencabar apabila suami pula terpaksa menyebelahi ibunya. Oleh itu, elok jika disebut begini. Cukuplah sekadar enam bulan dan selepas itu berdirilah di atas kaki sendiri. Betul, banyak faktor penjimatan tetapi jangan lupa cabarannya juga besar.
Sebab Lain Timbulnya Konflik:
Cemburu
Tanpa mengikut urutan keutamaan, saya melihat faktor cemburu kepada rakan pasangan, sering menjadi isu perbalahan antara suami dan isteri. Suami cemburu kepada rakan isteri dan isteri pula sakit mata dengan rakan suami.
Mengikut satu kajian, konflik yang berpunca daripada rakan pasangan merangkumi 7% pada pihak suami dan 8% pada pihak isteri.
Suka atau tidak suka, media sosial memang menyumbang kepada perkara ini. Bekas kekasih lama bertemu semula. Mungkin tidak secara berdepan dan sekadar dalam laman sosial tetapi sudah cukup menggetarkan hati pasangan.
Walaupun masing-masing menyedari status yang sudah berubah tetapi itu memang kerap menjadi penguji tegar kepada keyakinan pasangan sendiri. Oleh itu, pilihan keutamaan ada di tangan anda.
Hubungan Intim
Bertengkar tentang hal dalam bilik tidur juga kerap menjadi isu. Ada isu pasal terlebih dan ada juga isu terkurang. Isu begini jarang berlaku pada pasangan muda tetapi lebih kerap berlaku pada pasangan yang boleh dianggap sudah berpengalaman lima hingga 10 tahun perkahwinan.
Perubahan hormon, kekuatan fizikal dan ayunan emosi yang berbeza menjadikan aktiviti di bilik tidur tidak seringkas seperti waktu berbulan madu dahulu. Waktu itu pantang tersentuh terus ‘menjadi’, tetapi sekarang tidak lagi begitu. Lelaki perlukan layanan fizikal tetapi isteri mahukan lebih perhatian emosi. Memang berlaga!
Isteri Lebih Berduit
Masa bercinta semua nampak cantik dan elok. Setelah habis tempoh bulan madu barulah dunia sebenar rumah tangga bermula.
Cinta memang indah tetapi komitmen dalam rumah tangga itu perlu dibuktikan.
Hari ini ramai pasangan yang isterinya mempunyai pendapatan jauh lebih tinggi daripada suami. Ini adalah asid pekat yang pasti menguji kesabaran dan keikhlasan anda.
Tidak salah anda ikhlas membayar lebih kos pengurusan rumah tangga tetapi anda perlu lebih kebijaksanaan untuk berbincang tentang hal tanggungjawab suami. Suka atau tidak realiti ramai pasangan muda hari ini bercerai kerana faktor komitmen kewangan ini.
Cara Didik Anak Berbeza
Jangan lupa yang terakhir ialah faktor cara mendidik anak-anak terutama apabila kedua-dua suami isteri berpendidikan tinggi. Ada pertengkaran disebabkan kelakuan anak-anak yang dianggap berpunca daripada sikap atau cara didikan sama ada si suami atau isteri di rumah. Suami salahkan isteri dan isteri menunding jari kepada suami kerana tidak peduli pasal anak-anak.
Keadaan menjadi lebih runcing apabila pasangan itu dikurniakan anak istimewa. Percayalah, hanya pasangan yang ada anak istimewa sahaja yang tahu betapa hebat cabarannya. Berat mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Masalah besar timbul apabila hanya ada satu bahu sahaja yang memikul dan yang satu lagi berlepas tangan. Oleh itu bersedialah!
Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Baca artikel lain juga: Mak Mentua Jangan Pandang Rendah Pada Menantu Tak Kaya, Selalunya Merekalah Yang Boleh Diharap
Mak Mentua Jangan Sibuk Cari Salah Menantu, Perbetulkan Anak Lelaki Sendiri Dulu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE