Mak Mentua Pandang Rendah, Hanya Sebab Aku Suri Rumah

Share

Mak mentua sering kali dikatakan tidak mempunyai hubungan baik dengan menantu perempuan. Entah di mana silapnya. Ia sering kali terjadi sedangkan sepatutnya hubungan itu umpama emak dan anak kandung. Sebenarnya banyak faktor penyebabnya.

Kecil Hati Dengan Sikap Mak Mentua

Kali ini, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Sya saja, ingin berkongsi luahan rasa terhadap sikap mak mentua terhadapnya.

Kenali aku sebagai Sya, berusia 30-an. Aku merupakan seorang suri rumah tangga, ibu kepada empat orang cahaya mata yang kini berusia 17, 15, 14 dan 10 tahun. Suami bekerja di sebuah syarikat swasta, berpangkat pegawai. Syukur, hidup kami serba cukup walau pun hanya suami yang bekerja.

Aku bersyukur kerana memiliki suami yang penyayang. Dia melayanku dengan baik. Sering kali membantuku menguruskan hal rumah tangga. Cuma yang sering kali membuatkan diriku rasa sedih dan tertekan adalah sikap maknya iaitu mak mentuaku sendiri.

Baca artikel lain di sini:

Mak Mentua Kena HORMAT PILIHAN Anak, Terima Menantu Dengan Terbuka  

Menantu Hamil Mengidam, Baiknya Hati Mentua Tak Berkira Masak Lauk Keinginan

Mak Mentua Pilih Kasih

Aku menantu kedua dalam rumah tangga. Suami anak kedua. Yang sulung perempuan dan empat lagi adik iparku semua lelaki. Bermakna mak mentuaku ada lima orang menantu perempuan dan seorang menantu lelaki.

Sebenarnya sudah lama ku perhatikan sikap mak mentua terhadap diriku. Bila aku balik kampung, aku yang akan dikerah ke dapur, buat itu dan ini. Berbanding menantu-menantu lain. Bukan aku kisah sangat kerana aku memang suka masak. Tapi kadangkala kata-kata mak mentua buat aku kecil hati. “ Alah, biar je Sya masak. Dia bukan kerja.”

Nasib baik biras-birasku memahami. Turut membantu di dapur. Di saat itu juga biasa kami akan bertanya khabar sambil memasak.

Mak Mentua Masakkan Makanan Kesukaan Menantu Lain

Kalau balik rumah mentua, macam-macam aku bawa makanan yang ku masak balik. Aku seronok bila anak-anak saudara makan. Kebetulan kakak ipar sekeluarga tinggal di sebelah rumah mak mentua dan boleh dikatakan sepanjang masa berada di rumah nenek mereka.

Kakak dan abag ipar selalu puji aku pandai masak. Tapi mak mentua hanya mencebik saja. Katanya mestilah aku kena pandai masak. Dah tak kerja. Banyak masa di rumah. Buat apa kalau tak asah bakat memasak.

Mak mentua pun pandai masak tapi tak pernah nak masakan makanan kegemaranku. Tapi kalau menantu-menantu lain, siap masakkan bila balik.

Tiap kali ada kata-kata yang menguris hati, aku diam saja. Aku bernasib baik kerana suami sangat memahami. Dia sentiasa akan tenangkan aku. Mungkin kerana itu juga aku mampu bersabar dan bertahan.

Berhenti Atas Pilihan

Cuma aku pernah kenakan syarat pada suami, paling lama aku boleh bertahan tiga hari saja duduk di rumah mentua. Sebabnya sabarku makin nipis bila asyik diperli mak mentua. Seolah tak suka dengan aku yang tak bekerja.

Agaknya dia lupa, aku bukan tak berpelajaran. Aku lulusan universiti dan pernah bekerja, makan gaji. Tapi aku berhenti atas kemahuan sendiri kerana nak fokus pada anak-anak. Suami juga bersetuju.

Mak mentua pantang kalau tengok aku pakai baju baru atau suami belikan barang kemas baru. Pasti berdesing telingaku disindir. Katanya aku membazir dan tahu menghabiskan duit suami saja! Ya Tuhan, aku tak pernah minta suami belikan hadiah mahal. Cuma bila ada rezeki lebih, suami akan belikan.

Cuba Jimat Cermat

Aku cermat orangnya. Dan aku akan masak sendiri dan jarang makan di luar kecuali nak meraikan apa-apa hari istimewa. Aku tak nak membazir dan selagi boleh aku cuba berjimat. Tapi bila tahu kami makan di luar, mak mentua pasti marah-marah. Katanya membazir. Suruh je aku masak sebab aku kan tak kerja.

Aku tak faham kenapa mak mentuaku bersikap begitu. Dia sendiri pun suri rumah tangga dan arwah ayah mentua dulu pencen kerajaan. Jadi, dia tahu bagaimana hidup suri rumah tangga seharian. Apakah kerana aku tak mampu belikan dia hadiah seperti menantu lain? Entahlah.

Mak Mentua Marah Suami Bantu Kerja Rumah

Begitu juga kalau dia ke rumah kami, aku takkan benarkan suami membantuku buat kerja rumah. Sebabnya nanti dimarahi mak mentua. Katanya kenapa susahkan suami yang penat kerja. Akulah yang kena buat semua sebab aku tak kerja. Sekali lagi, aku hanya diam. Malas nak menjawab.

Cuma, aku tak tahu sampai bila aku boleh bersabar. Aku takut nanti bila kesabaranku hilang dan aku melenting, buruk jadinya. Sebab itu aku sentiasa berdoa pada Tuhan agar aku terus dikurniakan kesabaran.

Apa pun, dia tetap mak mentua yang perlu aku hormati dan sayangi. Namun terus terang, sikapnya itu tak membuatkan aku rasa sayang padanya. Yang ada cuma rasa hormat sebagai ibu kepada suamiku. Jahatkah aku?

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Published by
Team MW