Mak mentua jadi ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga anak menantu memang wujud. Realitinya, memang ramai wanita yang ‘bermadu dengan mak mentuanya’ sendiri. Hubungan anak menantu jadi berantakan dek kerana sikap mak mentua yang sering meminta perhatian lebih daripada anak lelakinya.
Mak Mentua Jadi ‘Orang Ketiga’ Dalam Rumah Tangga
Rumah tangga anak menantu menjadi goyah. Mulalah masing-masing berasa bosan dengan kehidupan yang dilalui. Apakah tiada jalan penyelesaian selain bercerai? Mustahil! Janji Allah pasti, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.
Kena Mengalah?
Bukan mudah nak ubah sikap ibu tambah tatkala si ibu tidak lagi bersuami. Jika si ibu masih bersuami dalam erti kata masih ada ayah, si anak dan menantu boleh harapkan bantuan si ayah tegur sikap si ibu. Malangnya, ramai ibu yang masih bersuami tetapi si suami atau ayah tak berani bersuara atau enggan campur tangan dan paling tragis, bila si suami sama ada suami mangsa atau suami kepada si ibu atau bapa mertua mangsa dengan mudah melafazkan: “Tu kan Mak, ikut aje lah, nanti berdosa pula.”
Ya! Seorang anak wajib taat pada ibu kerana redha Allah kepada seorang anak bergantung kepada redha ibu kepada anaknya TETAPI kalau arahan atau larangan ibu menyalahi syariat termasuk meruntuhkan sebuah ikatan perkahwinan tanpa alasan yang munasabah, arahan itu tak perlu dipatuhi dan keengganan itu tidak menjadikan anda anak yang derhaka.
Apa Yang Suami Patut Buat
Ads
Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh pasangan yang berdepan masalah dengan ibu dan mertua sebegini ialah anda dan pasangan perlu faham peranan anda, peranan pasangan dan peranan ibu atau mentua anda juga. Seorang anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kepada isteri dan anak-anak berbanding seorang ibu tatkala si ibu bukanlah insan melarat.
Anak perempuan wajib taat pada suami berbanding ibu sendiri tatkala arahan suami tak bertentangan dengan syariat. Tapi, anda perlu lebih kenal sikap sebenar ibu sendiri, ibu mentua yang membuat kekecohan dalam rumah tangga anak dan menantunya adalah ibu mentua yang cemburu dengan kebahagiaan si anak dan menantu kerana dirinya tidak beruntung seperti mereka. Tak percaya? Memang ada ibu yang cemburu pada anak atau menantu sendiri. Dunia akhir zaman, macam-macam boleh terjadi.
Hubungan Anak Menantu Berantakan
Sabar itu memang nak kena lebih. Mana yang boleh diikut lenggoknya, ikutlah sedaya upaya. Mana yang tak boleh, berterus teranglah dengan penuh sopan, jangan sampai menganiayai hak pasanganpula. Kalau masih tak berkesan, boleh gunakan tindakan undang-undang.
Ibu mentua yang halang anak dan menantunya hidup bahagia dalam perkahwinan dikira sebagai orang ketiga yang mengganggu rumah tangga orang lain dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
Ads
Terdapat tiga peruntukan yang boleh digunakan, disesuaikan dengan kes yang dialami.
Tiga peruntukan tersebut dengan tiga jenayah berbeza:
*Pertama ialah kesalahan memujuk lari perempuan bersuami atau membawanya keluar meninggalkan kediaman yang ditentukan oleh suaminya.
*Kedua ialah kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dalam apa cara sekali pun.
Ads
*Ketiga ialah kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan. Bagi kesalahan-kesalahan ini, apabila disabitkan boleh didenda antara RM2000 dan tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan selama tempoh antara satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bukan suruh kenakan tindakan kepada mentua sendiri tapi memadai perkongsian ini untuk anda tahu.
Moga suami dapat berfikir dan bertindak dengan matang dan rumah tangga anda kembali bahagia.
“Ibu kuat demi nufail.” Tapi kini derita kakak bertambah, Jahidah semakin kurus. Cukup menyayat hati. Itulah perkataan sesuai menggambarkan keadaan terkini wanita koma dibelasah suami, Jahidah Nordin, 43, selepas dikeluarkan daripada wad hospital Jumaat lalu.
Perkongsian adiknya, Fauziah Nordin di akaun TikTok mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen apabila melihat keadaan Jahidah yang cukup berbeza dari sebelum ini.
Selepas kira-kira sebulan dimasukkan ke wad tanpa berjumpa ahli keluarga, keadaan Jahidah amat kurus serta luka ‘bedsore’ pada bahagian pinggulnya kian serius hingga menampakkan tulang punggung.
Menurut Fauziah Nordin, dia seperti tidak mengenali kakaknya itu pada awalnya kerana jauh berubah, malah terpaksa membaca nama pada katil ketika mahu membawa pulang wanita itu dari wad.
“Saya terkejut apabila melihat keadaan kakak yang sangat kurus. Kakinya dipenuhi kudis dan saya juga mendapati ‘bedsore’ yang sebelum ini sudah pulih kini sangat teruk.
“Selepas dibawa balik, saya mengelap badannya dan terpaksa menukar air beberapa kali berikutan dakinya yang tebal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Cerita Fauziah, beberapa hari selepas pulang ke rumah, air kencing Jahidah sangat sedikit dan selepas diberikan susu mengikut rutin, barulah air kencing kakaknya kembali kepada keadaan sebelum ini.
“Sebelum ini kakak juga pernah dimasukkan ke wad bersalin di hospital sama, namun keadaannya jauh beza daripada sekarang.
“Saya mempersoalkan tindakan dan cara penjagaan kakak, namun doktor memaklumkan kakitangan tidak cukup dan ramai pesakit. Kami pula tidak dibenarkan melawat kakak atas alasan Covid-19.
“Saya tidak sanggup untuk melihat keadaan kakak sebegini. Saya serik untuk menghantarnya ke hospital lagi, namun dalam masa sama bimbang sekiranya keadaan kakak tidak stabil,” katanya.
Dalam posting yang lain, Fauziah turut berkongsi dia perlu mengambil masa membersihkan kakaknya sebaik balik daripada hospital. Setelah bersih barulah Fauziah letakkan anak buahnya, Nufail di sisi kakaknya.
Detik-detik ini meruntun jiwa apabila kelihatan Nufail tenang berada di sisi ibunya. Perasaan rindu yang tak terluah antara kedua-duanya. Allahuakbar.
RM5000 Sebulan
Menurut Fauziah lagi, keluarganya kini menampung perbelanjaan kira-kira RM5,000 sebulan untuk tujuan rawatan Jahidah seperti susu, lampin pakai buang, tiub minuman, tiub urin, kos upah jururawat bebas bagi merawat bedsore dan kos upah pembantu ketika dia mempunyai urusan luar.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bantuan perubatan Jahidah boleh menyumbang melalui akaun bank CIMB 7617797037 (Fauziah Nordin).
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak makan lauk telur. Kadang-kadang mak ayah sangat berkira-kira bab makanan ni. Makan saja mana yang ada dan cukuplah dengan itu. Ini belum lagi kalau anak sekali sekala nak merasa makanan yang sedap-sedap.
Bagi mak ayah, rasa membazir saja bimbang beli mahal-mahal, makan tak habis pula. Lagipun katanya, anak makan lauk telur saja, itulah kegemarannya.
Jangan berkira dan kedekut dengan anak-anak ini. Nanti kita akan merasa duit selalu tak cukup. Tak salah pun nak bagi anak makan sedap-sedap. Setakat berapalah sangat untuk bagi anak makan, sedangkan duit dalam bank berkepok dan tak jejas pun.
Pandangan dan perkongsian dariapda Farizal Radzali ini tentang bab makanan yang selalu mak ayah ambil mudah dan berkira dengan anak-anak.
Anak Makan Lauk Telur, Duit Berkepok Simpan Dalam Bank
Bab makan, jangan berkira. Kalau nak kedekut bab lain tak kisah pun tapi jangan sesekali kedekut bab makan.
Ingat lagi masa kecil-kecil dulu, duduk di rumah setinggan, hidup susah. Tapi bila ada tetamu jauh datang rumah, mak akan suruh saya atau adik, perlahan-lahan pergi ke kedai Uncle Maniam kat belakang rumah. Mak suruh ambil biskut sikit, cakap kat kat uncle Maniam, nanti mak bayar kemudian. Uncle Maniam tu pun dah kenal sangat dengan kami.
“Ada orang datang rumah ye?” Sebab mak takkan nak ambil biskut mengejut macam tu. Mak mesti bayar baru ambil.
Tapi zaman tu, semua orang berbaik tak kira kaum. Uncle tu akan bagi, kadang-kadang dia kata tak payah bayar pun. Baik uncle tu.
Kalau kita selalu bancuh air tawar, bila ada tetamu datang, lebihkanlah gula. Jangan bagi air tawar pada tetamu. Letakkan air kosong sebekas supaya tetamu yang tak nak manis boleh tambah air kosong ikut selera dia.
Nak bersedekah pun, dulukan bab makan. Sedekahlah makanan kepada orang-orang yang memerlukan. Makanan menjadi darah daging. Moga ia menjadi jariah.
Kalau teringin nak makan sesuatu, usahakanlah.
Berilah Makan, Asalkan Kenyang
Kadang-kadang bila anak-anak minta makanan, kita akan berkira-kira takut duit tak cukup. Yang tak mampu, itu lain. Ini saya merujuk kepada yang mampu tapi rasa perkara itu tak penting. Kita rasa ada perkara lain yang lebih penting. Atau kita rasa makan je la apa yang ada asalkan kenyang.
Cubalah untuk tidak menjawab ‘nanti lain kali’ kat anak-anak hanya untuk mendiamkan mereka dari terus meminta. Sebab mereka akan menanti & terus menanti, hingga akhirnya mereka kecewa.
Jangan hampakan sesiapa bab makanan. JANGAN.
Jika tak mampu, jelaskan sebaiknya. Jangan bagi harapan.
Jika mampu, jangan kedekut. Tunaikanlah. Selagi kita kedekut bab makanan, selagi itulah kita akan rasa duit tak pernah cukup.
Ada seorang klien kami, dia kaya banyak duit tapi kedekut. Ada seorang isteri & seorang anak. Orang nampak dia kaya, tapi waktu rehat makan mee segera. Anaknya dalam seminggu tu mesti 2-3 kali akan makan nasi dengan telur je. Tapi duit kat bank, 5 angka. Kereta mewah, rumah bagai istana.
Tapi bab makan, kedekut. Sampaikan si anak menangis nak makan KFC pun tak dapat. Sebab padanya itu tak penting. Akhirnya dia mati kerana sakit jantung akibat kuat bekerja. Duit banyak tapi bab makanan dia kedekut. Sampai anak & isteri ‘makan hati’.
Bab lain boleh kedekut, tapi tidak bab makan. Selagi mampu.
Mingguan Wanita : Kalau anak nak makan, rasa ralat sangat kalu tak bagi. Tak pelah, rezeki bertambah bahagiakan anak-anak.
Nak rasa sampel biskut raya? Dapatkan KUPON BISKUT RAYA PERCUMA sekarang. Klik untuk kupon percuma: http://shorturl.at/hKOS2 atau imbas QR code pada poster.
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...