Mak Mentua Boleh Caring Tentang Anak Lelakinya, TAPI Jangan Ambil Tanggungjawab Isteri!

Share

Mak mentua dan menantu perempuan sering kali dilanda pelbagai konflik. Kadangkala ia berpunca daripada hal yang kecil saja. Namun ia boleh jadi besar bila masing-masing saling memendam. Lebih teruk bila masing-masing tak nak mengalah dan berlapang dada.

Selami Dua Kes Ini!

Kes 1:

“Dia komen saya tak masak, saya bangun tidur lambat.”
“Pukul berapa awak bangun?”
“Saya bangun biasa dalam 6.30 pagi kadang-kadang 6.50, pernah la awal sesekali pukul 6 pagi. Mak dia yang memang suri rumah memang biasa dah bangun lebih awal siapkan semuanya. Dia marah sebab saya tak tolong. Dah kami duduk sekali dengan Mak. Mak dia pulak memang dah sediakan semuanya. Takkan saya nak masuk campur lagi…”

Kes 2:
“Saya nak masak untuk suami. Saya tak kata saya ni pandai masak tapi nak la jugak suami rasa air tangan saya tapi mak mentua larang, tak bagi saya masak. Dia kata dia tau selera anak dia. Dia yang besarkan anak dia. Saya nak sediakan air untuk suami pun dia larang. Saya pernah suarakan kat suami tapi suami suruh sabar, biar ja mak nak buat.”

Mak Mentua Dan Isteri Beza Peranan

Dua kes berbeza dengan fakta sama – memasak untuk suami. Dalam kes pertama, si suami berhasrat untuk berkahwin lagi kerana merasakan diri tidak dilayan oleh si isteri. Dalam kes kedua pula, si isteri resah bila merasakan diri tidak berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab yang perlu buat si suami kerana dilarang oleh ibu mertua sendiri.

Realitinya, perkahwinan bukan saja menukar status seseorang dari bujang kepada beristeri atau bersuami sebaliknya juga menukar dan mengubah harapan dan juga kehendak.

Baca juga artikel ini:

Mak Mentua Dan Menantu Tak Perlu Berebut Kasih, Ada Hak Masing-Masing

Follow kami di: https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Sepatut Isteri Yang Urus

Dalam kebanyakan kes, setelah seorang lelaki berkahwin, segala perkara berkaitan dirinya seperti penyediaan makan minum, penjagaan tika sakit, penyediaan pakaian malah apa saja kehendak dan kemahuannya sememangnya mahukan agar dilaksanakan oleh isterinya sendiri.

Malah memang itu juga fitrahnya hubungan antara suami dan isteri yang diamalkan sejak dulu malah dicadangkan oleh syariat. Ulama menjelaskan, jika seorang isteri menyediakan air untuk si suami dengan erti kata memberi khidmat buat si suami dengan melayan suami dengan baik, maka si isteri akan diberikan pahala.

Tika ini, ibu tidak lagi memegang peranan untuk menyediakan segala keperluan tersebut. Isteri yang dipertanggungjawab oleh syariat untuk menjaga kebajikan si suami merangkumi segala perkara yang telah saya sebutkan tadi.

Suami Kena Faham Perasaan Isteri

Dalam kebanyakan kes juga, isteri selalunya faham dan bersedia untuk memberikan yang terbaik buat suami. Ibu juga, tidak dinafikan sememangnya selalu berusaha untuk berikan yang terbaik buat si anak, biarpun anaknya telah dewasa dan berkahwin. Namun, perlu fahami peranan anda yang tersendiri.

Isteri; punyai peranan tersendiri – menjaga kebajikan suami termasuk menyediakan makan minum suami jika suami telah menyediakan asas kepada penyediaan makan minum tersebut. Isteri juga bertanggungjawab menjaga suami ketika suami sakit, sepertimana Rahmah, isteri Nabi Ayub menjaga baginda tika sakit tenat. Ibu; juga punya peranan yang tersendiri – menjaga kebaikan anak bermula si anak lahir kemudian dewasa dan ter’pause’ sebentar selepas si anak berkahwin.

Jangan Ambil Tanggungjawab Menantu

Boleh nak mengambil berat mengenai kebajikan si anak tetapi jangan sampai mengganggu atau mengambil alih peranan dan tugas serta tanggungjawab seorang ibu.

Tapi ibu sayangkan anak! Jangan lupa, isteri pun sayangkan suaminya! Lantas andai sama-sama sayang, jangan jadikan orang yang anda sayang berada dalam keadaan tertekan dan serba salah. Perlu difahami! Keutamaan ketaatan anak lelaki tidak pernah berubah; kekal kepada ibunya. Biarpun begitu, anak lelaki yang berkahwin mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri juga kepada isteri dan anak-anaknya.

Mak Mentua Jangan Salah Guna Kuasa

Jika benar sayangkan anak lelaki anda; bantu anak lelaki anda untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya. Jangan salah guna kuasa anda sebagai ibu hingga jadikan anak lelaki anda seorang suami yang gagal melaksanakan peranannya dan menerima azab atas kegagalan tersebut di akhirat nanti.

Menantu anda juga mempunyai hak ke atas anak anda! Jangan rampas hak tersebut! Belajarlah berlapang dada menerima ketentuan-Nya, anak anda telah beristeri dan anda perlu melepaskannya ke tangan isterinya pula!

Mak Kena Doakan Rumah Tangga Anak Bahagia

Berdoa agar perkahwinan anak anda kekal bahagia hingga ke akhirat dan anak anda kekal menjadi anak anda yang soleh! InsyaAllah! Anda akan menerima seorang lagi anak solehah!!

Khusus buat isteri yang liat nak ke dapur, nak sediakan makan minum untuk suami – dengan syarat si suami laksanakan tanggungjawab sediakan keperluan yang sewajarnya, berwaspadalah! Jangan sampai menyesal belakang hari. Kata orang tua kita, air tangan itu mampu menjalin kasih. Gunakan lah anugerah percuma dari Yang Esa untuk lebih menambat cinta suami kepada anda ya…

Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.

Published by
Nurul Azwa