Jika mak-mak ada perancangan nak ubahsuai dapur tu, bolehlah cedok idea dapur berkonsep American Classic milik wanita ini sebagai rujukan dan sumber inspirasi.Memang cantik, menawan dan praktikal ruang dapurnya. Menurut wanita ini rujukan majalah dekorasi kediaman dan hiasan dalaman dari dalam dan luar negara, sering menjadi inspirasinya dalam merencana ruang dapur. Namun, hasil perbincangan bersama pereka, rekaan dapur berkonsep American Classic menjadi impian pemilik pasangan Ahmad Rizal dan Norzaini Rose ini.
Pemilihan kemasan pintu kabinet memainkan peranan utama dalam menyerlahkan sesuatu konsep dan rekaan kabinet. Keteguhan kemasan kayu menyuntik nilai estetika, memberi elemen malar segar, semula jadi dan bergaya pada ruang dapur. Atas faktor-faktor ini pemilik setia dengan kemasan kayu berbanding kemasan moden seperti 3g, aluminium, melamine dan sebagainya.
“Saya sememangnya gemarkan kemasan kayu kerana ia kena dengan jiwa kami. Konsep ini tampak lebih ringkas berbanding gaya English Classic yang penuh dengan perincian dan detail. Manakala penggunaan solid wood pula menyerlahkan lagi keanggunan kabinet because its timeless beauty, grace and evergreen,”jelas wanita ini membuka bicara.
Merealisasikan kaunter pulau dan kaunter semenanjung pada kawasan yang sama memerlukan ruang yang luas, peletakan yang efisien dan tepat agar ruang dapur tidak kelihatan sempit. Pemilik mahukan kedua-dua kaunter ini untuk melakukan kerja di dapur ketika berkumpul bersama keluarga besar. Penambahan tempat duduk juga diperlukan bagi memenuhi keperluan ini.
Pereka merealisasikan impian pemilik menjadikan penyusunan kaunter ini diatur sempurna. Olahan ruang yang terhad dengan meletakkan penambahan bench pada kaunter pulau bukan sahaja sekadar menyediakan tempat duduk tambahan malahan pelengkap gaya di ruang dapur. Menariknya, pada bahagian bawah bench seats juga dilengkapi dengan ruang storan tambahan, ini secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak ruang penyimpanan.
“Saya memiliki adik-beradik yang ramai, oleh itu kami memerlukan ruang kerja di kaunter dan tempat duduk tambahan ketika kami berkumpul di dapur. Idea daripada Reno Concept agar mewujudkan bench, mampu menempatkan tempat duduk tambahan untuk dijadikan sitting area ketika berada di kaunter pulau ini. Bukan itu sahaja, bahagian bawah bench ini juga turut dilengkapi kabinet bagi menyimpan pelbagai barangan,”ujar Rose sambil tersenyum.
Perkara lain yang turut diberi perhatian di dapur ini ialah aspek ergonomik di dapur. Memandangkan pemilik bertubuh kecil molek, paras ketinggian ruang kaunter top pada kabinet dapur dibina sedikit rendah iaitu 3kaki 2 inci berbanding saiz standard bagi kaunter top. Ia dibuat khas bagi memberi lebih keselesaan pada pemilik ketika melakukan kerja-kerja di dapur.
Begitu juga dengan ketinggian kabinet yang tidak dibina secara berketinggian penuh atau full height cabinet. Ia bagi memudahkan carian dan capaian barang tanpa perlu memanjat tinggi. Penyusunan kabinet, peletakan perkakas dan barangan juga diatur sempurna bagi mendapatkan segi tiga kerja yang ergonomik dengan aliran kerja semulajadi dan mudah dicapai.
“Saya mementingkan ciri ergonomik di dapur. Seperti paras ketinggian kaunter top mengikut keselesaan saya ketika melakukan kerja di dapur. Begitu juga penekanan zon kerja segi tiga dapur atau Kitchen Work Triangle, pendekatan ini dapat membantu kita untuk membentuk dapur yang cekap dan mudah guna,”jelas Rose.
Selain itu, pemilihan aksesori dapur juga sentiasa dititikberatkan agar kerja dapur berjalan dengan mudah dan praktikal. Rekaan dapur yang efisien ini dilengkapi dengan sistem soft close pada kesemua laci, selain dish rack, bottle rack, cutlery tray ,pull out baskets, dan drawers bagi menambah lagi kesempurnaan pada binaan kabinet ini.
Menjengah ke dapur basah pemilik, rona lemon chiffon melatari kemasan utama pada kabinet dapur. Rona dan aura semula jadi kayu yang dijelmakan, secara tidak langsung membangkitkan rasa damai dan tenang yang menambah pesona ruang dapur. Memiliki saiz keluarga yang kecil, menjadikan pemilik lebih menekankan fungsi dan peranan sesuatu ruang yang digunakan. Meskipun ruang dapur basah ini hanya berkeluasan 50 kaki persegi, namun bagi pemilik ia praktikal untuk kegunaan harian, tanpa perlu ditambah keluasan ruang dapur.
“ Meskipun keluasan bagi dapur basah ini agak terhad, namun ia memadai untuk kegunaan harian bagi kami sekeluarga, apatah lagi kami memiliki saiz keluarga yang kecil. Namun begitu, jika ingin mengadakan kenduri mahupun saudara mara datang berkunjung dan memerlukan ruang memasak yang luas, kawasan Bbq pit di luar rumah boleh digunakan,” tambah Rizal.
Perkara yang turut mencuri tumpuan ialah kepelbagaian pemilihan jubin yang menawan di ruang dapur ini. Pemilik bijak mencari, memilih dan memadankan jubin-jubin yang bersesuaian dengan ruang yang ada. Ruangan backsplash dapur ini terdiri daripada kemasan glass mosaic bercorak pada dapur kering mahupun berwarna earth tone pada dapur basah berjaya menjadi titik fokal yang mampu menyerikan lagi ruang dapur. Paten Subway tiles rona putih dipasang pada sisi dinding, secara tidak langsung menyeimbangkan keluasan pada dapur basah.
Rekaan dapur yang hebat ini jelas menggambarkan cita rasa dan gaya hidup pemilik. Bait tutur kata pemilik yang juga bertugas sebagai seorang pegawai perubatan ini, cukup yakin dengan apa yang diinginkan. Baginya dapur seharusnya menjadi keutamaan di dalam rumah, mewujudkan ruang sosial keluarga dan yang paling penting ia harus lah praktikal untuk kegunaan seharian.
“Kitchen should be the centre of the house, a place for social interaction among family member and yet practical for being use everyday,” jelas Dr Rose mengakhiri perbualan.
PEMILIK: Ahmad Rizal & Dr Norzaini Rose
INFO DAPUR
PEREKA: Reno Concept
JENIS KEDIAMAN: Banglo
MATERIAL KABINET DAPUR BASAH: Solid Nyatoh
MATERIAL KABINET DAPUR KERING: Solid Nyatoh
MATERIAL KAUNTER TOP DAPUR BASAH: Concrete
MATERIAL KAUNTER TOP DAPUR KERING: Quartz Stone
JENIS LANTAI: Jubin & Laminate wood
KELUASAN DAPUR: 220 kaki persegi(Dapur Kering)
50 kaki persegi (Dapur Basah)
Foto:Mohd Azahari Salleh
Sumber: Dapur Impiana