Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kaum isteri sibuk layan anak-anak sampai suami rasa tersisih dan tak ada masa untuknya. Padahal semua itu langsung tak dirancang, bukan buat-buat sibuk tetapi tak cukup kaki tangan nak semua kerja dalam satu masa.
Ini antara alasan yang akhirnya menjejaskan hubungan suami isteri.
Ya, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu.
Namun kita perlu bijak untuk mengehadkan waktu-waktu tertentu melayan suami. Bagi anda yang masih keliru dengan masalah ini, boleh rujuk tip ini…
Bermainlah dengan anak bersama-sama suami agar masa tersebut dapat dirasai oleh kedua-dua anak dan suami.
Kadang-kadang kita rasakan tidak adil jika suami marah kita bercakap tentang anak-anak, sedangkan anak adalah milik bersama yang perlu diberi perhatian. Namun sebenarnya kena rancang supaya ada waktu kita bercakap tentang anak, ada waktu bercakap tentang hubungan kita dengan suami juga, ada waktu untuk membelai anak-anak dan ada waktu untuk bermanja dengan suami. Layanlah juga suami bercakap tentang hobinya, malah berilah sokongan tentang kerjayanya.
Menjadi ibu yang selekeh dengan baju lusuh mungkin tidak salah, malah memudahkan kita menyusukan anak-anak tetapi suami kita adalah lelaki yang fitrahnya suka pada wanita cantik, bergaya pakaian dan menarik.
Elakkan daripada ketiadaan masa untuk bersama suami, apatah lagi suami telah pun begitu lama bersabar sepanjang waktu pantang kita. Memang diyakini suami akan memahami dan boleh bertoleransi, tetapi jangan sampai dia terasa kehilangan langsung.
Ada benarnya juga sesetengah suami mengadu, seolah-olah kehidupan isteri seharian hanya untuk anak semata-mata. Bagi adil, bahagikan masa kita bersama anak, wujudkan juga masa suami bersama anak dan masa kita bersama suami. Jangan sesekali kita gunakan alasan anak untuk tidak bersama suami.
Jangan biarkan sesuatu permintaan suami diulang lebih dua kali. Ini kerana permintaan yang diulang bermaksud serius dan penting untuk diberi perhatian, sekiranya diulang lebih tiga kali atau suami mulai berdiam selepas mengulang beberapa kali, mungkin bermakna dia berjauh hati atau terasa tidak diendahkan.
Sayangilah anak, tetapi hormatilah suami. Uruskan anak, tetapi jangan lupa jaga penampilan cantik untuk suami. Elakkan tidur bersama anak, kerana suami juga memerlukan kita sebagai temannya. Hormati fitrah suami, mudah-mudahan suami juga mudah bertoleransi untuk kebahagiaan kita.
Kadang-kadang ada mak-mak bukan tak nak buat tetapi sebab tak sempat akibatnya terlepas pandang. Namun sibuk macam mana pun, eloklah mak-mak curi masa keluar bersama dan buat aktiviti yang suami rasa anda masih melayan dirinya dengan cukup bagus…
1. Mak-mak bekerja atau tidak, boleh bangun awal dan subuh berjemaah dan mengaji bersama dengan anak-anak.
2. Terus fikir menu nak masak apa dan keluar bersama-sama cari lauk basah.
3. Lepas itu mak-mak boleh ajak suami tolong di dapur, dan nak mudah lagi pasang tv untuk anak-anak atau biarkan anak bermain di dapur bersama. Dia nak tuang mainan di situ pun, usah dilarang. Selamat pun selamat.
4. Jika ada duit lebih, mak-mak boleh ajak keluar kejap dan mungkin boleh curi-curi belikan sesuatu untuk suami. Lagi elok sesuatu yang suami suka. Eh, kalau dia suka makan kek, sepotong kek pun dah cukup! Itu contoh…
5. Kena curi masa kemas rumah rumah hujung minggu, ini elok ajak buat bersama-sama. Nak ubah perabot atau cat dinding pun silakan. Janji suami isteri sama-sama sibuk dan penat. Hah, tak adalah kes membebel penat buat kerja sorang-sorang.
Nampak tak? Senang ke payah nak buat suami itu rasa sibuk dan dekat di hati. Ini hasilnya penat tetapi bahagia. Confirm!