Kebanyakan sayuran yang dijual di pasar sedikit sebanyak mempunyai kesan semburan racun pesticide iaitu racun perosak yang digunakan pekebun untuk mengawal serangga perosak. Sebab itu, sebelum memasak mak-mak perlu hilangkan dahulu racun pesticide yang ada pada sayuran.
Racun pesticide yang digunakan para pekebun sayuran ini biasanya dalam jumlah yang terkawal dan tidak memberi kemudaratan kepada manusia. Bagaimana pun, jika pengguna sendiri tak ambil inisiatif membersihkan sayuran yang dibeli dan memakannya dalam jumlah yang banyak, ia tetap tidak bagus untuk tubuh badan kita.
Cara biasa yang mak-mak guna sebaik mahu memasak sayuran adalah dengan membasuhnya di bawah laluan air bersih. Bagaimanapun, Saintis Principal dari MARDI, Dr Suri Roowi menjelaskan ada 3 cara untuk menghilangkan racun pesticide dalam sayuran.
Yang mana, setiap cara ini ada keberkesanannya yang tersendiri. Mak-mak boleh pilih cara mana yang terbaik, cepat lagi menjimatkan.
Journal Of Food Science And Technology yang diterbitkan pada tahun 2014, ada membuat kajian tentang teknik pembasuhan sayur-sayuran yang bersesuaian.
Hasil kajian itu menunjukkan membasuh sayuran dengan menggunakan 0.1 peratus cuka akan mengurangkan racun pesticide pada sayuran.
Contohnya, dalam 1 liter air basuhan, mak-mak gunakan dalam 1 sudu cuka sahaja.
Hasil basuhan tadi menunjukkan kandungan pesticide menurun dalam sayuran yang dibasuh dengan cuka. Misalnya, terung, tomato, kobis bunga dan cili berbanding basuh menggunakan air sahaja.
Ada juga kajian lain yang mana ia menggunakan ozon untuk membersihkan sayuran. Mesin khas ini boleh menghasilkan gas ozon. Masukkan gas dalam larutan air dan rendam sayuran di dalamnya.
Hasil kajian mendapati bahawa sayuran yang dibasuh dengan air basuhan ozon selama 5 minit akan mengurangkan racun pesticide sebanyak 40 ke 75 peratus.
Ini adalah teknik terbaik untuk menurunkan kadar pesticide yang paling mudah dan murah. Caranya dengan menggunakan air garam. Ini juga yang dinyatakan dalam jurnal saintifik.
Sebagai contoh, mak-mak guna 20 gram garam rendam dalam 1 liter air. Rendam sayuran dalam larutan garam itu selama 5 minit. Kemudian, alirkan sayuran di bawah air bersih selama 5 minit.
Hasilnya, 95 peratus bahan pesticide dalam sayuran dapat dikurangkan.
Jumlah pengambilan berlebihan racun pesticide ini berbahaya dari segi kesihatan. Ia boleh mendorong terjadinya penyakit kanser, ADHD pada anak, gangguan sistem saraf, gangguan tiroid dan melemahkan sistem kekebalan tubuh
Justeru mak-mak silalah buat pilihan mahu pilih cara yang mana mahu membersihkan sayur-sayuran yang baru mak-mak beli di pasar mahupun pasaraya.
Bagaimana pun, jika mak-mak tanam sendiri sayuran di rumah dan tidak menggunakan semburan kimia untuk mengawal serangga cukup sekadar membersihkan di bawah laluan air sahaja.
Sumber/Foto : Dr Suri Roowi