Tahu tak waktu tidur anak yang paling bagus? Ok, biasanya anak-anak anda tidur jam berapa? Jangan kata anda dah biasa bagi anak tidur lewat sampai awal pagi, itu tak bagus untuk perkembangan anak-anak.
Seperti yang anda tahu, bayi yang baru lahir hingga kanak-kanak memiliki waktu tidur lebih panjang dibanding orang dewasa. Namun berapakah waktu tidur yang tepat?
Tidur Ikut Umur
American Academy of Sleep Medicine (AASM) menyatakan waktu tidur anak menjadi dua kelompok, iaitu anak-anak (bayi hingga usia 12 tahun) dan remaja (usia 13-18 tahun).
Berdasarkan penelitian menerusi artikel ilmiah tentang tidur, anak-anak yang tidur dalam waktu yang disarankan memiliki perilaku yang lebih baik, dan tidak banyak masalah belajar. Bukan hanya itu, cukup tidur boleh mengurangkan risiko usaha menyakiti diri sendiri seperti bunuh diri dan mengalami penyakit mental lain.
Penelitian terbaru yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Sleep Medicine mengungkapkan bahawa waktu optimal yang disarankan bagi anak-anak untuk tidur adalah seperti berikut:
Ini Waktu Tidurkan Anak Ikut Umur
1. Bayi berusia 4-12 bulan: 12-16 jam per 24 jam (termasuk tidur siang)
2. Kanak-kanak berusia 1-2 tahun: 11-14 jam per 24 jam (termasuk tidur siang)
3. Anak-anak berusia 3-5 tahun: 10-13 jam per 24 jam (termasuk tidur siang)
4. Anak-anak berusia 6-12 tahun: 9-12 jam per 24 jam
5. Remaja berusia 13-18 tahun: 8-10 jam per 24 jam
Jadi, ini adalah satu ilmu untuk mak-mak praktikkan kepada anak-anak dari peringkat awal untuk mendapat waktu tidur yang cukup dan ideal bagi anak-anak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah Benar! Ustazah Tangani Kes Isteri Didera Mental Fizikal 30 Tahun Oleh Suami, Dipijak Hingga Keguguran 3 Kali
Pengakuan kisah rumah tangga isteri awal 50-an di hadapan Ustazah Asma Harun yang ketika itu bertugas sebagai Perundingcara Rumahtangga memberi kejutan yang besar. Dia mahu memohon cerai fasakh dalam usia emas itu kerana tak tahan lagi hadapi penderaan mental dan fizikal yang dilakukan oleh suaminya.
Pernah kisah kekejaman suami tersebar selepas dia membuat laporan polis. Malu dan ugutan suami yang ketika itu berpangkat tinggi, buatkan dia menarik balik laporan yang dibuat. Pertemuan ustazah dengan wanita ini berlaku sekitar tahun 2011. Namun, ianya kekal segar diingatan Ustazah Asma. Sebagai pendakwah bebas beliau kongsikan kisah ini, kerana di hujung ujian rumahtangga wanita ini ada pengajaran yang Allah tunjukkan.
RUMAHKU NERAKA KU, BAHAGIA DI HUJUNG DERITA.
“Ustazah, saya datang untuk membuat permohonan CERAI FASAKH, saya tak boleh lagi teruskan hidup dengan suami, saya nak cari ketenangan di hujung-hujung usia begini.”
Dari awal klien ini masuk wajahnya dilihat tenang tapi sarat dengan beban yang berat. Sambil meneliti fail, umur awal 50an, seorang guru, ada ijazah, usia perkahwinan cecah 30 tahun, anak 8 Orang.
“Adakah puan dah timbang dengan teliti kesan penceraian di usia begini, bagaimana penerimaan anak-anak, dan apakah alasan kuat puan, bukan mudah permohonan fasakh nak lulus kecuali ada alasan yang kukuh.” Pada perkiraan saya ketika itu, mungkin isu orang ke 3 baru muncul atau sekadar masalah komunikasi.
“Ustazah, sepanjang perkahwinan hidup saya sangat menderita, saya hadapi penderaan fizikal, mental, seksual dan emosi.” Nada sebak dan terketar-ketar seperti melepaskan tempikan suara hati yang sangat lama dipendam.
“Ustazah, 3 kali kandungan saya gugur kerana disepak terajang dan perut dipijak. Ustazah pernah baca kisah yang heboh satu malaysia, kes seorang isteri didera dan dipijak perut sehingga gugur kandungan?” saya hanya mengangguk.
“Itu adalah cerita saya, kali pertama saya buat report dan entah bagaimana cerita itu tersebar, saya malu pada jiran, rakan sekerja, keluarga, semua tahu cerita saya. Kes itu tutup kerana saya diugut dengan suami. Suami pegawai pangkat tinggi, dia seorang yang dikenali. Selepas itu 2 kali lagi kandungan gugur kerana didera dipijak perut ketika usia kandungan dah cecah 3-4 bulan, tapi sebab saya trauma, tidak ada aduan kepada mana-mana pihak.”
“Sepanjang perkahwinan, sepak terajang, maki hamun sumpah seranah, rambut ditarik diheret kepala ke bawah menuruni tangga, tidur di luar rumah tanpa tudung dari malam sampai pagi, pernah dijirus dengan minyak lalu diugut dengan api untuk dibakar, dan sering dipaksa dalam hubungan seksual.”
Ini Bukan Manusia..
Kali ini saya pula yang terketar-ketar untuk bertanya. Darah menyirap dan badan rasa berhaba. Ini bukan manusia.
“Kenapa puan bertahan begitu lama dalam perkahwinan yang sangat dahsyat seperti ini?”
“Saya bertahan kerana ANAK-ANAK dan kerana satu HARAPAN satu hari suami akan BERUBAH.”
“Puan, maaf saya tanya, adakah berbaloi puan bertahan demi anak-anak?”
“Tidak ustazah, sebahagian anak saya mengalami tekanan jiwa sehingga perlukan rawatan psikiatri. Sebahagian lagi mengikut perangai ayahnya, turut maki hamun saya. Saya rasa berdosa pada anak, saya tak pernah salahkan anak, mereka membesar dengan melihat ibunya didera hampir setiap hari, mereka membesar dengan ketakutan.” Air mata diseka tanpa henti. Sayu sekali bila disebut tentang anak.
“Puan, 30 tahun bukan tempoh yang sekejap, bagaimana puan laluinya?”
“Ustazah, orang terdekat juga tidak tahu, jiwa saya merana namun sedaya upaya senyum, sakit lebam pada badan disembunyikan. Dua perkara yang saya pegang teguh bila jatuh terduduk, saya sembamkan wajah ke bumi, SOLAT dan ALQURAN adalah teman rapat saya, hanya itu sumber tenang, bahagia dan kekuatan saya…”
Benarlah, manusia akan benar-benar merasakan Allah itu ada, ketika tiada manusia di sisinya. Tapi iya sangat sakit namun sangat manis, iaitu saat jatuh cinta padaNya, saat Allah benar-benar cukup baginya.
Ustazah.. Kenapa Allah Tak Makbulkan Doa Permintaan Saya?
Dua tangannya dikepal diletakkan dimulut, mata berkaca lidahnya terketar, saya tahu dia ingin menyatakan sesuatu yang bermain dalam fikirannya, namun dia sendiri takut untuk meluahkan.
“Ustazah, kenapa Allah tak makbulkan doa permintaan saya, bukankah doa orang yang dizalimi maqbul?, adakah anak-anak saya jadi begitu salah saya?, saya hanya minta dengan Allah supaya suami berubah, dia sayang saya sedikit pun jadi, akan hilanglah segalanya derita saya. Sia-sia saya menunggu dengan harapan satu hari suami akan berubah, SIA-SIA… akhirnya saya di sini untuk tuntut CERAI.. memang SIA-SIA!”
Allah… inilah soalan yang akan menyimpulkan pertemuan ini, inilah saatnya setiap kali klien bertanya soalan begini, saya akan berbisik dalam hati memohon pertolongan Allah, mengharapkan Ilham daripadaNya, agar lidah saya boleh menuturkan sesuatu yang jernih dan sejuk. Ibarat air dingin dikala kehausan dibawah terik matahari. Ini persoalan berkaitan AQIDAH. Isu keyakinan dan sangkaan kita pada ALLAH.
“Puan.. 30 tahun puan menanti dengan sabar, akhirnya suami tetap tidak berubah, apakah sebenarnya puan dapat?” dia diam.
“30 tahun bukan SIA-SIA, ALLAH tak pernah silap, dan ALLAH maha melihat, mendengar dan memakbulkan. Sebenarnya, dalam tempoh ini puan telah menghimpun PAHALA SABAR selama 30 tahun!, dan jika balasanNya SYURGA ALLAH, apakah puan rasa?”
Dengan terketar-ketar dia bertanya, “SYURGA ALLAH?, Betulkah ustazah?” Sambil tangannya genggam kuat tangan saya.
“Puan, ini bukan janji atau kata-kata saya, tapi janji Allah. Allah berfirman:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” (Az-Zumar 39 : 10)
سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم ۚ فَنِعمَ عُقبَى الدّارِ
“..sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahtera ke atas kamu, disebabkan KESABARAN kamu (di dunia dahulu). Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu”. (Ar-Ra’d : 24)
Ini Janji Allah Untuk Mereka Yang Diuji
“Puan, ini janji Allah kepada mereka yang diuji, lalu sabar dan redha dan tetap teguh bersangka baik dengan Allah, akan menerima Salam yang istimewa daripada Allah dan para Malaikatnya, bukan dsini, tapi di SYURGA ALLAH.”
Dia meleraikan tangannya, lalu tanganya disatukan sambil wajah tunduk ke bawah “ya Allah, aku redha ya ALLAH.. jika benar SyurgaMu, Aku redha.. aku maafkan suami dan anak-anakku keranaMu ya ALLAH, terimalah pahala SABAR ku ini, aku ingin SYURGA MU….”
Allahu Allah.. Kami sama-sama menangis dan aminkan doa. Di hadapan saya seorang wanita yang bukan diuji 30 hari atau 30 bulan, tapi 30 tahun. Allah hanya ingin mendengar perkataan REDHA daripada hambaNya, lalu Dia akan memberikan keredhaanNya. SyurgaNya.
Bila SYURGA ALLAH dilihat dengan mata hati. Segala berat perit derita boleh ringan ibarat debu. Sapu dan biar berlalu. Memang bukan mudah, tapi boleh.
Bercerai Demi Jadi Ibu Yang Tenang Buat Anak-anak
Kemudian, saya membantunya untuk meneruskan permohonan Cerai Fasakh, daripada report polis dan report Dr. yang dia simpan, saya yakin permohonan fasakh ini akan berjalan lancar. Beliau menyatakan, penceraian ini adalah untuk dia mendapat KETENANGAN, “Saya ingin beribadat dengan tenang dan menjadi Ibu yang tenang buat anak-anak, moga belum terlambat.”
Tiada istilah terlambat untuk kebaikan selagi belum tiba kematian.
SABAR itu bukan menyerah diri. Tapi SABAR itu adalah bertindak mengikut SYARIAT.
SABAR itu bukan setakat diam, menahan lalu menangis sampai rasa ok. SABAR itu adalah keberanian membuat KEPUTUSAN dengan petunjuk ILMU.”
Moga ramai yang boleh dibantu. Pada satu keadaan, PENCERAIAN adalah jalan keluar terbaik. Islam tidak benarkan kita membiarkan diri binasa.
Sumber/Foto : Ustazah Asma’ binti Harun, Ex Perundingcara Rumahtangga.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Rezeki Deras Dan Lancar, Amalkan Ini
Pengertian rezeki itu luas, tidak terhad kepada wang ringgit semata. Apakah amalan yang boleh kita amalkan agar rezeki deras?
Dikongsikan artikel daripada Dr. Azhar Haji Sarip, Konsultan Emosi Dan Spiritual, yang juga merupakan penulis ruangan Munajat di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Cerita tentang amalan-amalan kerezekian, saya punya pandangan tersendiri. Saya lebih senang untuk bercerita tentang amalan untuk menderaskan rezeki daripada cerita amalan untuk murahkan rezeki atau melancarkan rezeki.
Murah rezeki penting. Lancarkan rezeki juga penting. Tetapi pada saya lebih penting supaya rezeki untuk kita sentiasa deras dan lancar.
Mungkin ia datang tidak seperti yang kita jangkakan tetapi ia sebenarnya cukup untuk kita pada waktu itu. Itu pada saya lebih baik dari rezeki yang tersangkut-sangkut.
Taubat Itu Ilmu Penderas Rezeki
Salah satu ilmu penderas rezeki adalah taubat. Saya mengatakan taubat adalah satu bentuk ilmu kerana ia tidaklah seringan yang kita sangka. Orang yang benar-benar bertaubat akan merasai satu rasa kelegaan dan lapang dada.
Taubat itu sudah cukup dengan melazimkan ucapan “Astaghfirullahaladzim” sedangkan dia sendiri tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan ucapan tersebut. Apabila kita mengatakan sesuatu yang tidak kita fahami maka ia sangat sukar untuk menyentuh hati jauh sekali mengusap hati agar menjadi lembut.
Justeru, itu taubat perlukan ilmu. Apabila kita menguasai ilmu taubat itu maka insya-Allah kita juga secara tidak langsung menguasai ilmu penderas rezeki.
Taubat bukanlah satu cabang yang sering diperkatakan apabila ia berkait dengan rezeki. Apabila berkait dengan kerezekian, rata-rata dari kita mahukan amalan-amalan khusus yang dapat mempercepatkan atau menderaskan kedatangan rezeki. Taubat sebenarnya adalah satu daripada ‘tool’ yang cukup efektif sebagai penderas rezeki.
Taubat juga merupakan satu cabang ilmu kerana kita tidak boleh hanya tahu berkata sudah bertaubat tanpa melalui perjalanan taubat itu sendiri.
Ilmu taubat perlu kita pelajari agar kita dapat menghayati apa yang dikatakan taubat. Taubat pada saya sangat penting kerana ia bukan sahaja cara membersihkan diri atas dosa yang kita lakukan tetapi ia juga adalah satu energi yang cukup kuat untuk kita terus berada pada haluan yang betul di dunia ini dalam menuju ke akhirat.
Lebih dari itu ia juga adalah satu ledakan momentum rezeki bagi mereka yang benar-benar melaksanakannya.
Mohon Pada Allah
Kita semua tahu dan kita semua yakin bahawa hanya Allah SWT yang Maha Memberi Rezeki. Justeru itu, jika kita mahukan rezeki sama ada biar banyak mahupun biar sedikit maka hanya kepada Allah SWT kita perlu meminta.
Kepada Allah SWT jualah tempat kita bergantung segala harap termasuklah untuk menderaskan rezeki. Tetapi perlu kita ingat yang kita sebagai manusia yang bukan maksum.
Kita adalah golongan pendosa yang sering mencipta halangan kedekatan diri kita dengan Allah SWT. Halangan yang kita cipta itu sebenarnya adalah tabir doa yang menghalang kelancaran doa mustajab.
Sebagai pendosa, kita perlu sentiasa bertaubat agar tabir ini semakin hari semakin nipis. Biarpun tabir itu tidak bakal hilang sepenuhnya kerana kita adalah manusia biasa yang setiap hari bergelumang dengan dosa, kita tetap perlu menjaga agar ia tidak tumbuh menebal.
Apabila kita sentiasa melaksanakan taubat dan bukan hanya mengatakan yang kita sudah bertaubat, energi kita akan semakin murni.
Penarik Rezeki Yang Cukup Kuat
Energi yang murni ini adalah penarik rezeki yang cukup kuat. Jauh lebih kuat daripada amalan-amalan yang panjang dan melelahkan.
Ini jelas dinyatakan dalam surah Nuh ayat 10 hingga 12; “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”
Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis yang terang-terang menunjukkan yang taubat adalah cara yang ampuh untuk menderaskan rezeki. Hanya kita malas untuk bertaubat kerana merasakan ianya adalah perkara yang boleh ditangguhkan. Kita bertangguh sibuk menyelesaikan banyak hal dunia.
Namun kita lupa untuk menyelesaikan urusan dosa kita dengan Allah SWT hingga menjejaskan urusan rezeki.
Kita tidak boleh bertangguh lagi. Kita boleh bertangguh untuk mencari ilmu kerezekian yang lain tetapi jangan pernah bertangguh untuk menguasai ilmu taubat kerana di situ ada energi yang cukup kuat untuk dunia dan akhirat.
Marilah kita segera bertaubat kerana taubat adalah perkara yang apabila ditangguhkan akan menyebabkan kerugian hal dunia dan kerugian hal akhirat. Taubat juga adalah ilmu penderas rezeki yang sering dipandang sepi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Tak Sempat Capai Stethoscope Anak Dah Teriak, Bila Rawatan Gigi Ni Nak Mula..
Ini dilema mak ayah bila bawa anak ke klinik gigi untuk rawatan gigi anak-anak. Mana-mana mak ayah pun akan hadapi hal yang sama bila sebut rawatan gigi anaknya ‘Atasi ketakutan anak untuk rawatan gigi’.
Inilah yang dikongsikan oleh Dr. Ahmad Firdaus Mohd Haris, bapa yang juga seorang Medical Office di Hospital Ipoh ketika membawa anaknya yang bernama Daniel untuk rawatan gigi di klinik pergigian.
Bagi mengatasi kebimbangan mak ayah dengan rawatan gigi anak. Beliau berkongsi 5 tip yang boleh buat anak ‘behave’ dari mula masuk klinik sampailah selesai rawatan atas ‘kerusi’ yang anak kecil takutkan itu.
Mak Ayah Kata-kata Ini Jangan Sebut
“Nanti misi/doktor/dressar cucuk adik dekat klinik!”
“Kalau nakal, doktor tu cucuk adik!”
Kanak-kanak sering dimomok dengan ugutan begini. Kalau satu hari tak dengar momokan begini di klinik, memang tak sah.
Rasanya jika anak – anak dimomok begini, mahu ke dia duduk diam apabila dalam bilik rawatan? Doktor tak sempat buka mulut pun tak teriak. Baru nak capai stethoscope, dah melompat. Ada yang sampai meludah – ludah.
Mari saya bagi tips bagaimana nak KAWAL ANAK KETIKA DI KLINIK.
5 Tip Kawal Anak Duduk Diam Dalam Klinik Gigi
1. Kata – kata Semangat Inilah Yang Kadang Mak Ayah Lupa Sebut
Terangkan elok-elok kepada anak sebab apa ke klinik. Berikan kata-kata bunga sikit.
“Doktor nak tolong adik sihat.”
“Kalau adik behave, nanti Papa kasi present.”
Jangan anggap pemikiran anak-anak ini tidak cukup matang untuk fahami apa yang kita sampaikan. You will be surprised.
2. Bawa Alat Mainan Bukan Gajet
Alat mainan tau. Kalau boleh, elakkan sebarang gadget (tablet, telefon pintar dsb.). Yang terbaik adalah buku aktiviti seperti mewarna dan melukis. Berikan anak sesuatu aktiviti yang boleh menghilangkan rasa takut.
3. Masa Menunggu Buat Ini
Sambil duduk menunggu giliran, tunjukkan anak – anak poster poster yang berada di bilik menunggu. Kan biasanya akan ada gambar anatomi badan di klinik.
Tunjuk sikit sikit tentang badan kita. Tak tau sepenuhnya pun tak mengapa. Basic basic je. Cakap lah dengan anak-anak.
“Gigi Daniel bentuk macam ni.”
“Haaa…ni jantung dekat sini. Cuba Daniel tengok.”
4. Penting Kena Tahu Masuk Ke Bilik Rawatan
Dahulukan anak ketika masuk ke bilik rawatan. Biar dia di hadapan. Jika nampak anak mula gementar, bertentang mata dengannya (eye level) dan terangkan lagi apa yang akan berlaku.
Duduk berhampiran anak, tetapi biarkan dia ‘take the lead’. Galakkan anak menjawab segala soalan doktor dengan sendiri.
5. Bab Ganjaran (Reward) Jangan Sesekali Tipu Anak
Kalau dah janji nak berikan hadiah atau belanja ais krim setelah mereka ‘behave’ di klinik, jangan lupa untuk tunaikan.
Tunjukkan kepada anak, setiap kelakuan yang baik akan ada ganjarannya. Masa ni, boleh masukkan sekali konsep pahala dan dosa untuk pemahaman anak-anak.
Macam mana? Boleh buat?
Mulakan sikit – sikit.
Ingat, jangan momokkan anak – anak dengan mitos ‘doktor jahat’. Sama juga dengan polis dan askar. Jangan takutkan mereka kepada Abang Polis. Cakap elok – elok, Abang Polis ni baik sebab membantu menjamin keselamatan masyarakat.
Sumber/Foto : Ahmad Firdaus
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI