Mak-mak Panik Bila Anak Sudah Darjah Satu Tetapi Masih Tidak Boleh Membaca

Share

Bukan setakat panik, rasa tak cukup nafas pun ada bila anak yang kini darjah satu masih tidak boleh membaca dengan lancar. Paling teruk, kadang-kadang masih keliru dengan beberapa huruf yang seakan-akan seperti b atau d, m atau n. Hari ini pabila mak-mak luangkan masa ajar anak-anak membaca, ingatlah dia. Tetapi jangan terkejut esok dia mula lupa kembali.

Saya sendiri lalui benda yang sama, anak saya dihantar ke tadika setelah usianya mencecah lima tahun. Pernah juga disarankan teman-teman agar hantar anak-anak lebih awal agar dia terdedah dengan suasana pembelajaran dan bergaul dengan kawan-kawan. Tetapi kami laki, bini sepakat hantar sehaja bila dia sudah besar sikit. Empat tahun terasa begitu kecil anak kami.

Di tahun pertama, anak saya Syaqif masih gagal mengenal huruf dengan baik. Perkara ini langsung tidak memberi kesan kepada kami kerana kami rasakan dia masih kecil, tidak perlulah berlawan siapa pandai membaca dan sudah berapa buku dia habis baca.

Ketika di usia enam tahun iaitu tahun kedua di tadika yang sama, perkembangan Syaqif tetap sama. Dia agak ketinggalan kerana masih tidak boleh membaca dengan lancar. Ketika penilaian pertengahan tahun, kami dipanggil oleh pihak tadika, guru di sana sarankan kami lakukan lebih homework di rumah dalam membantu Syaqif cepat belajar membaca.

Katanya Syaqif agak “lambat” berbanding budak-budak lain. Biar pun agak sinis dan terkesan di hati saya, saya turutkan sahaja kata-kata cikgu. Setiap hari sebelum tidur, saya paksa dia mengenal huruf atau membaca. Ya, ketika kami membaca dia akan ingatlah. Kemudian setelah seminggu kemudian, dia jadi keliru.

Di sekolah bukan sekali, tetapi gurunya mengajar Syaqif membacanya secara personal agar dia dapat faham apa yang gurunya sampaikan. Usaha-usaha ini bukan berjalan sehari, dua, tetapi sepanjang tahun tetapi perkembangan Syaqif tetap sama.

Sebagai ibu sudah tentu saya rasakan saya seorang yang gagal kerana tidak mampu mengajar dirinya membaca dengan baik. Sedangkan ibu saya biar pun hanya lulusan SPM, mampu mengajar saya membaca dengan baik ketika masih kecil. Kadang-kadang terlintas di fikiran saya, mungkin aku perlu berhenti kerja dan beri fokus sepenuhnya pada dia. Angan-angan jelah.

Laporan sebuah akhbar baru-baru ini tentang peningkatan pelajar darjah satu tidak boleh membaca meningkat juga menambah panik di hati saya. Sudahlah Syaqif dah darjah satu. Hinggalah saya terjumpa sebuah artikel yang setiap ibu, bapa perlu positif dalam menerima kelemahan dan kelebihan anak-anak.

Dari situ, saya cuba muhasabah diri, sebaiknya saya perlu risau jika anak saya tidak mampu bergaul dengan rakan-rakannya di sekolah. Saya juga perlu risau jika tidak mampu uruskan diri apabila berada seorang diri. Saya juga perlu risau jika dia tidak boleh memberi respon pada saya setiap kali namanya dipanggil. Anak saya mampu buktikan dirinya boleh berdikari setakat ini.

Dia juga sangat teruja apabila hari sukan menjelma, nampak tak permainan dia yang tak sukakan waktu pembelajaran. Jadi setiap saat saya doakan dirinya agar diberikan kefahaman yang setiap perkara yang gurunya sampaikan. Semoga anak umi cemerlang di akhirat terutamanya dan juga dunia. Sayang anak-anak umi.

 

 

Published by
Syazwani Mehat