Mak-Mak Boleh Jimatkan Lagi Belanja Dapur, Kalau Ikut 7 Tip Ini. No 5 Mesti Boleh Buat Punya

Share

Bila sebut sahaja mengenai perbelanjaan dapur, pasti ramai mak-mak yang mengeluh.Harga barang dapur sekarang tak macam dulu-dulu. Berapa jenis lauk dan barang je boleh dibeli dengan nilai Not RM100? Sebenarnya,mak-mak boleh jimatkan lagi belanja dapur, kalau ikut 7 Tip ini;

1.Senaraikan barang yang ingin dibeli
Mak-mak boleh jimatkan perbelanjaan dengan menyenaraikan barangan dapur yang ingin dibeli pada setiap bulan. Dengan cara ini boleh mengawal perbelanjaan dengan membeli barangan mengikut keperluan yang telah disenaraikan sahaja. Ia juga bagi mengelakkan dari membeli barangan yang tidak diperlukan yang boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.

2.Berbudi pada tanah
Rajin-rajinlah bercucuk tanam dengan menanam sayuran seperti cili, sawi, tomato, daun kari, daun kunyit dan bayam di rumah. Menariknya, kesemua tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Malah, mak-mak juga boleh menanamnya di dalam pasu. Mudah dan sungguh praktikal! Meskipun tanaman ini tampak remeh namun secara tidak langsung ia turut menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan dapur.

3.Catat jumlah perbelanjaan harian
Cara ni agak melecehkan kerana mak-mak perlu membuat catatan harian kepada setiap sen yang dikeluarkan. Tapi dengan cara ini sahaja akan dapat mengesan ke mana ‘hilangnya duit’ di samping dapat membandingkan jumlah perbelanjaan pada setiap bulan.  Cuba buat analisa mengenai perbelanjaan harian dengan membuat satu jadual mudah seperti duit keluar dan duit masuk. Pasti mak-mak akan dapat mengawal perbelanjaan dengan lebih berhemah.

4.Beli secara borong
Jika mak-mak sejenis rajin memasak di dapur, belilah sesuatu bahan yang selalu digunakan secara borong. Sebagai contoh belilah minyak masak dalam botol yang bersaiz besar, kerana ia lebih menjimatkan berbanding membelinya berulang kali dalam botol yang bersaiz kecil. Pembelian ini akan menjimatkan sebanyak 10 hingga 20 peratus pembelian tau. Di samping itu ia menjimatkan minyak kereta kerana tidak perlu berulang-alik ke kedai untuk membeli bahan tersebut sekiranya habis!

5.Kurangkan penggunaan elektrik
Apa kata sekali sekala anda masak nasi atau menjerang air menggunakan dapur gas saja. Tutuplah kipas dan bukalah tingkap dengan luas bagi pengudaraan semula jadi di dapur. Hadkan penggunaan elektrik terhadap perkara-perkara yang perlu dan penting sahaja. Secara tidak langsung, langkah ini dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di dapur.

6.Masak sendiri
Kekangan masa dan jadual tugasan yang sibuk menjadikan membeli makanan di kedai mahupun restoran menjadi suatu kebiasaan. Walau sesibuk mana pun, cubalah untuk luangkan lebih masa untuk memasak sendiri. Kini terdapat banyak menu-menu masakan mudah yang boleh dicuba. Anak-anak pastinya ingin merasa masakan air tangan ibunya sendiri, kerana ia bukan sahaja lazat, mengeratkan ikatan malah terjamin kebersihannya. Perbelanjaan dapur juga pasti dapat dijimatkan. Apa-apa pun ia bergantung pada perkiraan dan kebijaksanaan mak-mak juga.Jika merasakan membeli makanan lebih menjimatkan berbanding memasak, belilah.

7.Lebih kreatif dalam masakan
Bukan itu je, mak-mak juga perlu lebih kreatif dalam masakan dalam masa yang sama membantu mengelakkan pembaziran. Caranya mudah iaitu dengan mempraktikkan menyimpan lebihan lauk-lauk seperti ayam atau daging yang masih elok di dalam peti sejuk. Semua lebihan ini boleh dimasukkan ke dalam masakan lain seperti mee goreng atau bihun goreng sebagai bahan perencah. Nasi lebihan juga boleh dibuat nasi goreng sebagai sarapan pagi. Pasti menjimatkan berbanding dibuang begitu sahaja.

Published by
Suhaidah Abd Wahab