Bertuahnya menjadi ibu kepada Uwais Al Qarni.Nama anaknya ini disebut-sebut oleh nabi, lelaki berasal dari Yaman yang soleh, baik berbakti pada ibunya, mustajab doanya serta yang dicari-cari oleh para sahabat.
Uwais Al Qarni, satu nama yang cukup sinonim dengan sikapnya yang sangat mentaati ibunya.Dalam keadaan dirinya yang mempunyai penyakit sopak, hatinya sempurna memuliakan seorang ibu.Beliaulah hamba Allah yang dikatakan tidak dikenali di bumi akan tetapi cukup masyhur dalam kalangan penduduk langit.
Satu nama yang menggetarkan hati kerana membaca kisah betapa taatnya beliau kepada ibunya, yang ramai anak-anak kini tak mampu lakukan untuk berbakti sebegitu.
Kisahnya menjadi pengajaran buat kita agar sentiasa taat berbakti pada ibu dan berusaha menggembirakan hatinya walau sukar bagaimanapun keaadaannya.
Pikul Ibu Beratus Kilometer
Kisah pemuda soleh Uwais Al Qarni ini yang menjadi sebutan, apabila dia sanggup menggendong ibunya yang lumpuh beratus kilometer, demi menunaikan hasrat ibunya untuk mengerjakan haji di tanah suci.
Memandangkan dirinya miskin dan tidak berkemampuan untuk membeli unta sebagai pengangkutan ke tanah suci, Uwais telah membeli seekor anak lembu dan menggendongnya setiap hari turun naik bukit selama hampir 6 bulan.Sehingga beliau dianggap kurang waras atau gila oleh orang ramai ketika itu.
Sebenarnya Uwais melakukan sedemikian kerana cinta dan sayang pada ibunya yang terlalu mendalam. Ia sebagai persediaan membina kekuatan fizikal dirinya, berbekalkan tulang empat kerat untuk menggendong ibunya ke tanah suci kelak bila tiba musim haji.
Cinta Pada Ibu
Beliau juga sempat hidup pada zaman Baginda, namun beliau tidak tergolong dalam kalangan sahabat kerana tidak sempat bertemu dengan Rasulullah semasa hayatnya.
Juga kerana cintanya kepada ibunya, beliau sudahpun tiba di rumah Rasulullah untuk bertemu Baginda, namun kerana pada ketika itu Rasulullah tiada, beliau terpaksa pulang kerana memikirkan ibunya yang sedang sakit di kampung halaman.
Beliau merupakan insan yang tidak dikenali pada ketika itu, namun kerana dirinya yang sangat teguh berbakti kepada ibunya maka Allah telah mengangkat darjatnya sehingga menjadi sebutan penduduk langit.
Jadi buat mak-mak, berdoalah kita agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah memiliki akhlak yang terpuji dan mulia sebaik Uwais Al Qarni.Taat berbakti dan berusaha membahagiakan hati ibunya walau dalam keadaan yang sukar. Amin
Sumber: Ustaz Muhammad Fawwaz & i Luv Islam
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI