Mak-mak Bekerja Pun Mampu Buat Anak Gembira, Yang Penting Jangan Skip 5 Perkara Wajib Ini!

Share

Setiap kali pulang dari pejabat, mak-mak bekerja bukan boleh terus berehat. Paling tidak ibu letak beg, gantung apron di badan dan bersiap-siap sediakan juadah makan malam untuk anak-anak dan suami. Ya, inilah rutin tetap ibu berkerjaya. Kalau ‘order’ menu kedai pun sesekali hanya sebab memang tak larat atau dah sakit demam.

Tiada rungutan daripada ibu kerana dalam hatinya mahu menjadi ibu terbaik untuk anak-anak. Penat usah cerita. Demi keluarga ibu boleh saja. Untuk lebih tersusun, ibu boleh rujuk info ini…

1. Curi masa untuk diri sendiri

Penting mencari satu masa untuk diri sendiri. Bayangkan selama ini anda sibuk menguruskan keperluan anak-anak. Sudah tiba masanya ibu perlu cari minat ataupun hobi yang boleh dilakukan setiap hari. Kalau hobi membuat roti, mulakan membuat roti yang benar-benar anda suka. Perkara utama adalah lakukan sesuatu yang anda suka. Menjaga kesihatan fizikal dan mental begitu penting agar anda boleh memastikan anak-anak bergembira setiap hari.

2. Cuba untuk ketawa

Belajarlah untuk ketawa. Tekanan itu adat dan tekanan itulah menjadikan diri ibu lebih kuat. Jadi, usahalah untuk belajar bergembira dan ketawa dengan anak-anak. Lakukan aktiviti bersama mereka sebelum tidur ataupun di hujung minggu.

3. Disiplin kerja itu penting

Aturan kerja penuh disiplin adalah asas kejayaan seorang ibu. Bangun seawal pagi dan lakukan setiap pekerjaan itu dengan pantas dan tangkas. Buat senarai kerja dan letakkan di tempat yang boleh dilihat dengan mudah. Misalnya di peti sejuk. Jadual biarlah praktikal untuk ibu lakukan jangan meletakkan sesuatu di luar jangkaan.

4. Keluarga tetap nombor satu

Walaupun wanita bekerja, anda tetap wajib letak keluarga fokus utama. Setiap kali balik ke rumah, perkara pertama dakaplah anak-anak. Luahkan kerinduan seharian yang ditinggalkan kemudian, baru lakukan perkara seterusnya. Sebelum tidur, peluk mereka dan ciumlah anak-anak dengan penuh mesra. Ini cara membina sikap positif dalam diri anak-anak tanpa anda sedari.

5. Cipta rumah ‘syurga’

Binalah sebuah rumah ibarat syurga. Tuang sehabis bboleh kasih ke dalam diri pasangan dan anak-anak. Pastikan rumah sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur. Ajar anak-anak mengemas barangan mereka. Ini akan membantu meringankan tugasan anda kelak.

Moga mak-mak mampu jadi ibu yang hebat di mata anak-anak dan masih ada masa untuk cipta cinta pada suami tersayang setiap hari!

Published by
Nadia