MAK, Figura Wanita Hebat Yang Ada Di Rumah Sendiri, Jadi IDOLA Anak-Anak!

Share

Hari Wanita Antarabangsa diraikan pada setiap 8 Mac. Melihat pencapaian hebat wira-wira negara mahupun ikon wanita-wanita berjaya dalam bidang masing-masing dengan mengharumkan nama negara, membuatkan kita tersenyum bangga dan secara tak langsung menjadikan mereka sumber inspirasi.

Namun sebenarnya figura wanita yang hebat ini juga ada di rumah kita sendiri. Menjadi idola bagi setiap anak-anak. Susuk tubuh seorang wanita bergelar isteri dan mak yang cekal berkorban menguruskan anak-anak dan keluarga setiap hari. Tanpa kenal erti penat lelah dan mengeluh. Dialah yang bangun seawal pagi dan tidur yang paling lewat sekali. Tak putus-putus berdoa untuk kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya.

Setiap bait kata-kata dan pesanan mak kepada anak-anaknya pula menjadi azimat dan pedoman.

Jadi Wanita Berilmu

MAK walaupun belajarnya tak tinggi mana, namun pesan mak pada anak-anak perempuannya, jadilah wanita yang berilmu. Lengkapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu. Ilmu rumahtangga, ilmu agama, ilmu mendidik anak-anak dan sebagainya.Belajarlah setinggi yang mampu, kejar impian dan cita-cita yang mahu. Manfaatkan ilmu yang bukan hanya boleh dapat di universiti, namun pelbagai ilmu yang boleh digunakan dalam kehidupan supaya tak mudah diperlekehkan dan tahu hak yang perlu dipertahankan apabila ditindas.

Rajin Belajar Memasak

MAK walaupun masakannya ringkas sahaja, namun sedapnya kalah chef terkemuka. Pesan mak, lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang ada. Tak pandai masak tak apa. Yang penting rajin dan mahu belajar memasak. Sedap, tak sedap belakang kira. Sebab kata mak, air tangan ibu pengikat kasih sayang anak-anak dan suami. Walau di mana mereka berada, masakan ibu lah yang paling diingati.

Usaha Jaga Rumahtangga, Suami

Pesan mak lagi, selagi bergelar isteri berusaha jaga suami dan rumahtangga sebaiknya. Hormat suami, utamakan suami, jaga makan minum dan keperluan suami supaya rumahtangga kekal bahagia. Namun andai jodoh dah tiada sekalipun, kita tak ralat dan dah buat sebaiknya sebagai isteri.

Kata-Kata Ibu Doa Keramat

Pesan mak lagi, kata-kata ibu merupakan doa keramat untuk anak-anak. Apabila bergelar ibu, jangan sesekali bandingkan anak-anak. Terima baik buruk mereka seadaanya. Jaga tutur kata yang paling utama. Terguris hati sekalipun, tetaplah maafkan anak-anak kerana syurga dan keberkatan hidup mereka, pada mulut seorang mak yang mendoakan mereka.

Belajar Berdikari

Pesan mak lagi, wanita juga kena belajar hidup berdikari. Ambil tahu, belajar dan mampu uruskan pelbagai perkara seorang diri. Boleh memandu ke sana sini tanpa perlu menunggu suami, menghantar dan mengambil nanti. Namun perlu tahu masa dan batas untuk berdikari.Bukan kata tak perlukan suami, sekurang-kurangnya bila ditakdir suami tiada lagi, kita tak ‘patah kaki’ uruskan kehidupan dan anak-anak seorang diri.

‘Pegang’ Duit Sendiri

Pesan mak lagi wanita kena ada pendapatan, simpanan dan ‘pegang’ duit sendiri. Tak kiralah bekerja tetap atau sekadar sambilan berniaga kecil-kecilan di rumah. Tak banyak mana pun tak apa. Kepuasan dapat dirasai dan rasa ‘bebas’ bila mana kita dapat membeli apa sahaja yang kita sukai, memiliki simpanan mahupun beri duit pada mak ayah dengan duit sendiri, tanpa perlu hanya bergantung harap dan meminta-minta pada duit suami.

Akhir sekali pesan mak, benar wanita yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia. Namun apabila mendongak di langit tetaplah melihat rumput di bumi. Kekalkan santun dan budi bahasa walau siapa pun kita.

Selamat Hari Wanita! Terima kasih mak.

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab