Sungguh tak tergambar dek akal fikiran, bilamana seorang mak yang lumrah sifatnya sepatutnya menyayangi dan melindungi anak sendiri sanggup melakukan perbuatan durjana ini. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Auckland ini, seorang ibu dipenjara enam tahun 11 bulan kerana menjual anak perempuannya sebagai hamba seks lebih 1,000 kali dalam tempoh 18 bulan sejak hari jadi ke-15 remaja itu pada 2014.
Kasmeer Lata, 36, didapati bersalah berurusan dengan hamba dan meraih untung daripada perkhidmatan seks komersial daripada orang bawah umur kerana memaksa anaknya itu menjual badan sekerap 5 kali sehari kepada beberapa lelaki.
Dia datang ke New Zealand dari Fiji bersama anak-anaknya pada 2014 dan terus tinggal di negara itu selepas visa mereka tamat tempoh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat bersekolah selain keluarga tiada pendapatan kerana Kasmeer tidak dapat bekerja.
Kasmeer pernah menjadi pelacur mula mencari duit dengan cara itu sebelum memaksa anaknya turut berbuat demikian apabila menjual remaja berkenaan kepada lelaki berusia 50-an pada hari jadinya ke-15.
Mangsa dikurung di dalam rumah selama setahun setengah malah pernah terpaksa menggugurkan kandungan sebelum diarahkan terus bekerja.
Pelanggan dikenakan bayaran kira-kira NZ$200 (RM570) dengan mencari pelanggan melalui iklan di Craigslist serta akhbar The NZ Herald.
Dia dianggar meraih untung kira-kira NZ$100,000 (RM285,000) hasil menjual anaknya dengan wang berkenaan digunakan untuk membayar sewa serta bil. Remaja itu akhirnya berjaya melarikan diri pada November 2016.