Kalau anak-anak sakit, mak-mak la yang biasanya tak senang duduk. Siang malam tak tidur menjaga si kecil yang tak sihat. Yang pasti bila anak sakit pasti mereka susah nak makan. Perut si kecil tetap perlu diisi agar mereka mendapat nutrisi secukupnya untuk kembali sihat. Tapi bila dah sakit tentulah tak ada selera makan pula. Salah satu cara nak bagi mereka cepat sihat adalah menyediakan makanan yang sesuai dengan masalah kesihatan yang dialami anak-anak. setiap masalah kesihatan yang mereka alami mempunyai menu yang berbeza untuk diambil supaya mereka boleh sihat dengan cepat.
Demam selesema
Perkara asas untuk melawan demam selesema adalah rehat yang cukup selain makanan yang penuh nutrisi. Keperluan tenaga dan protein anak lebih tinggi berbanding dalam diri mereka yang sihat kerana metabolisma mereka sedang meningkat. Untuk memberikan rasa yang selesa setiap kali makan, pilihlah menu berkuah untuk anak-anak. Aneka sup pasti dapat menambah selera mereka.
Batuk
Batuk merupakan mekanisme pertahanan badan untuk saluran pernafasan. Ia merupakan gejala penyakit atau reaksi badan terhadap iritasi yang berlaku di tekak. Sama juga seperti demam selesema, untuk membuatkan si kecil lebih kuat, mereka memerlukan tenaga dan protein yang lebih daripada biasa. Agar lebih selesa semasa makan, pilihlah makanan lembut dan berkuah untuknya. Selain menu utama, mama juga boleh memberi si kecil minuman panas yang mengandungi halia dan madu. Elakkan makanan yang boleh mencetuskan batuk seperti makanan bergoreng, makanan manis dan juga makanan sejuk.
Cirit- birit
Ketika sistem pencernaan si kecil terganggu akibat cirit-birit, sebaiknya mama memilih makanan yang mudah dicerna dan diserap. Buah dan sayur yang berserat rendah sangat sesuai untuk diberikan kepada anak-anak yang mengalami cirit-birit. Makanan seperti pisang, epal, lobak merah, kacang pis dan kentang adalah contoh terbaik untuk diberikan kepada si kecil anda. Hindari makanan pedas dan masam, makanan berserat tinggi dan juga makanan tinggi lemak yang mengandungi susu dan santan.
Sembelit
Sembelit biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang tidak suka makan sayur dan buah. Untuk mengatasinya, pilih makanan yang tinggi seratnya seperti buah betik, limau, buah plum dan aprikot. Jangan lupa juga untuk menggalakkan si kecil anda minum air yang banyak antara 1 hingga 1.5 liter setiap hari bagi melancarkan penghadaman mereka.
Sakit tekak
Cuaca yang panas sering menyebabkan tekak si kecil mudah sakit. Jika mereka mengalami masalah ini pilihlah makanan yang mudah untuk ditelan seperti bubur dan jus. Meminum air kosong secukupnya juga perlu untuk memulihkan keadaan si kecil yang sakit tekak. Selain makanan tinggi karbohidrat seperti bubur nasi, sup kentang dan sebagainya, anda juga digalakkan memberi anak-anak dengan makanan yang mengandungi tinggi vitamin C seperti oren, strawberi, tomato, kiwi dan brokoli.