Mak-mak ada lebih banyak masa untuk menyediakan sarapan istimewa untuk anak-anak dan suami apabila bekerja dari rumah, dalam keadaan kita semua perlu hadkan pergerakan dan duduk di rumah untuk mengawal wabak Covid 19 yang sedang melanda negara kita.
Jadi, untuk mak-mak, boleh ajak anak-anak untuk sama-sama memasak supaya mereka ada aktiviti ketika di rumah. Selain itu ia juga untuk mendidik anak-anak supaya rajin masuk dapur. Taklah mengadap handphone je.
Apa kata anda cuba resipi berasaskan telur untuk dijadikan sajian sarapan enak untuk seisi keluarga. Telur sebagai bahan utama, mesti ada dalam tiap rumah kan?
Mak-Mak, Ini resipinya…Selamat mencuba!
BAKED BREAKFAST OMELETTE
BAHAN-BAHAN:
4 biji telur gred A
½ cawan susu segar
¼ cawan cencangan sosej/pepperoni
1 biji tomato – cencang
2 sudu makan parutan keju – Mozarela/Romano/Parmesan
1 sudu makan cencangan daun basil
Garam, lada hitam dan lada sulah secukupnya
Mentega secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam satu mangkuk, pukul telur bersama susu segar hingga sedikit kembang (jangan pukul berlebihan).
- Kemudian masukkan cencangan sosej/pepperoni. Tambah tomato, garam, serbuk lada hitam dan lada putih secukup rasa. Ketepikan.
- Sediakan loyang/bekas pembakar yang telah disapu sedikit mentega di sekelilingnya.
- Tuang bancuhan telur tadi ke dalam bekas tersebut.
- Tabur cencangan daun basil dan parutan keju.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 190-200C selama 15-20 minit atau hingga telur masak.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
MAK-MAK JUGA BOLEH MASAK NI..
SCRAMBLE EGG MUSHROOMS
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur
8 biji cendawan butang | hiris nipis
1 biji tomato | cencang
1 sudu makan cencangan cili Benggala
½ cawan susu segar
½ cawan parutan keju parmesan dan mozzarella
Garam dan lada sulah secukup rasa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk; pukul telur bersama susu, garam dan lada sulah secukupnya. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tuang bancuhan telur dan masak hingga agak kental.
- Masukkan cencangan cendawan, cili Benggala, parutan keju dan cencangan tomato. Gaul sebati dan hancurkan.
- Hidangkan bersama kepingan roti, salad dan sos pilihan jika mahu.
ROTI BAKAR TELUR GOYANG
BAHAN-BAHAN:
2-4 keping roti putih
2-4 biji telur
Mentega secukupnya
Kaya secukupnya
Garam dan lada sulah secukup rasa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Bakar roti hingga perang.
- Sapu mentega dan kaya secukupnya di atas roti itu. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Goreng telur mata setengah masak (kuning telur masih cair sedikit).
- Letakkan telur di atas roti bakar tadi dan tabur sedikit garam dan lada sulah. Hidangkan segera.
TOMATO EGG MUFFIN
BAHAN-BAHAN:
6 biji telur
2 biji tomato | cencang dadu
1 batang daun bawang |cencang
¼ sudu teh paprika
Garam dan lada sulah secukup rasa
Mentega secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk, pukul telur hingga agak kembang bersama garam dan lada sulah.
- Tuang bancuhan telur ke dalam acuan muffin yang telah disapu sedikit mentega atau ke dalam cawan kertas muffin.
- Tambahkan cencangan tomato dan daun bawang ke dalam bancuhan telur tadi.
- Tabur sedikit serbuk paprika.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 190-200C selama 15 minit atau hingga telur masak.
- Keluarkan dan sedia dihidangkan.
EGG PRATA ROLL
BAHAN-BAHAN:
2-3 keping roti prata segera | nyah bekukan
1 labu bawang besar | cencang halus
3 biji telur
1 sudu makan cencangan daun bawang
Garam dan lada sulah secukup rasa
Minyak zaitun secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk, pukul telur bersama garam dan lada sulah secukup rasa.
- Masukkan cencangan bawang besar dan cencangan daun bawang, gaul rata. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak zaitun di dalam kuali leper.
- Panaskan roti prata di kedua-dua bahagian hingga agak perang. Angkat. Ketepikan. Ulangi langkah hingga selesai.
- Menggunakan kuali yang sama, tambah sedikit minyak zaitun lalu tuang bancuhan telur ke dalam kuali. Biar telur masak di kedua-dua bahagian.
- Letak telur ke dalam prata dan gulung kemas. Potong mengikut cita rasa masing-masing dan sedia dihidangkan.
Jangan lupa follow kami di:
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita