Zaman berubah, begitu juga dengan cara ibu bapa mendidik anak. Sebagaimana kata- kata yang terkenal “Didiklah anakmu sesuai mengikut zamannya’. Dalam kehidupan yang semakin moden ini, semakin banyak impian dan keinginan yang ingin dicapai.
Secara tidak langsung, ia memerlukan ibu bapa memiliki kerjaya masing-masing. Di tambah pula dengan kewujudan gajet dan sosial media, tumpuan dalam kehidupan telah di alihkan kepada banyak perkara.
Dengan kata lain, perkataan ‘multitasking’ menjadi popular. Ibu bapa sekarang berkeupayaan untuk membuat pelbagai perkara dalam satu masa. Contohnya seorang wanita mempunyai kerjaya, mempunyai bisnes online sambilan, menjadi seorang isteri yang taat, ibu kepada anak- anak, membuat kerja rumah dan sebagainya.
Menurut, Pakar Analisa Tulisan Tangan & Pembangunan Karektor, Dr Azura Hashim, tanpa masyarakat sedar, melakukan pelbagai tugas secara serentak mencerminkan tumpuan yang semakin berkurangan. Ianya biasanya menghasilkan output yang kurang kualiti berbanding seseorang yang fokus melakukan satu perkara sahaja.
“Secara tidak langsung, ini berkait rapat dengan tanggung jawab ke atas anak-anak. Berkemungkinan, ibu bapa yang sibuk akan mengambil jalan mudah dengan menyuap si kecil dengan gajet.
“Lalu di sini anak mudah mendapat jalan untuk akses ke dunia luar tanpa sempadan. Mudah membina teman lain melalui media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan banyak lagi aplikasi yang menarik perhatian mereka.
“Situasi ini perlu dijaga, kerana anasir- anasir luar tanpa sempadan kawalan yang membimbangkan. Input apa yang masuk ke dalam minda anak- anak? Adakah di pantau oleh ibu- bapa?” katanya memulakan perbualan.
Di samping itu, jelas Dr Azura perlu di tekankan bahawa rumah adalah madrasah pertama membina khalifah di masa hadapan. Peranan kita sebagai ibu bapa adalah untuk melengkapkan madrasah tersebut dengan aqidah Islam, akhlak, adab terutamanya tauhid dan dicurahi dengan kasih sayang dalam berkeluarga.
Dr Azura mengaitkan bahawa pihak ketiga adalah individu yang mendapat kepercayaan oleh anak-anak. Sudah tentu pihak ketiga juga boleh terdiri daripada bapa atau ibu saudara, guru, pembantu rumah, rakan sebaya atau teman berlainan jantina.
Sebenarnya, anak mahukan perhatian, mahukan ibu bapa mendengar cerita dan luahan anak. Di saat mereka memerlukan tempat mengadu, ibu bapa tiada ataupun masih sibuk dengan telefon. Lalu mulalah mereka menagih kasih pihak ketiga.
“Kalau di luar, anak berkawan dengan rakan sebaya, mereka bebas untuk bergaul. Cuma kadang ada yang tersilap langkah, batas pergaulan terlalu bebas. Ya betul, guru mendidik anak-anak di sekolah, namun harus di ingat pendidikan pertama adalah dari rumah.
“Ibubapa sendiri perlu tahu menunjukkan contoh yang terbaik di hadapan anak-anak. Didikan yang tepat dapat melindungi anak-anak dari termakan dengan sikap diri sendiri.
“Di sinilah perlunya koreksi diri, apa yang sudah berlaku dan bagaimana kita mahu memperbaikinya,” jelas Dr Azura satu-persatu.
Terdapat pelbagai punca yang menyumbang kepada permasalahan ini mengikut pandangan Dr Azura antaranya:
Apalah ertinya keluarga tanpa kebahagiaan. Apabila anak-anak lebih memilih orang luar berbanding ahli keluarga sendiri. Hilanglah rasa kasih sayang dan nilai penyayang dalam diri anak-anak. Nilai kekeluargaan itu pergi seiring dengan masa.
“Ibu bapa hanya dijadikan tempat meminta duit dan bercakap apabila perlu. Jangan jadikan harta sebagai ukuran kebahagiaan dalam keluarga. Anak-anak tidak lagi menghormati dan menghargai ibubapa.
“Lalu adakah mereka sudah menderhakai kita ataupun sebenarnya kita adalah ibubapa derhaka? Sesuatu yang perlu direnung secara mendalam.
“Apabila anak-anak selesa memilih orang ketiga, mulalah hendak mencari salah siapa. Namun apabila difikirkan semula, semua orang memiliki kekhilafan masing-masing. Yang sepatutnya bertindak dahulu adalah ayah sebagai ketua keluarga,” ujarnya lagi.
Tambah Dr Azura, sesungguhnya seorang ayah yang perlu berusaha untuk mewujudkan suasana “bersama” sekurang-kurangnya sekali seminggu ataupun setiap dua minggu. Ketika itu ajarkan didikan agama, mengaji dan solat.
Selain itu, didik anak-anak, termasuk anak lelaki membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, menyapu, membuang sampah dan sebagainya.
Manakala ibu, sediakan dan didik anak-anak dengan ilmu masakan, penjagaan rumah dan diri, ajari anak-anak tentang pergaulan, tambah-tambah anak perempuan. Perlu dingat, menegur anak juga biarlah kena dengan caranya. Ada yang perlu ditegur secara terbuka, ada yang perlu ditegur secara sentuhan personal.
Akhir sekali Dr Azura menyeru ibu bapa untuk memulihkan situasi ini, sebagai ibu bapa muhasabah semula apa yang telah berlaku.