Biasakan anak lelaki dengan pasar

Tugas sebagai wartawan menemukan saya dengan ramai chef yang hebat dan berbakat besar. Tak kira yang terlibat di dalam bidang perhotelan atau membuka perniagaan sendiri. Ramai juga di kalangan mereka yang terdiri daripada lelaki terutama yang berkhidmat di hotel-hotel.

Bila ditanya, kata mereka, kerja di dapur bukan kerja ringan dan waktu bekerja yang panjang kadangkala membuatkan tak ramai chef wanita yang bertahan lama sementelah berkeluarga.Meleset andaian bahawa bidang masakan adalah bidang yang lebih sesuai dilakukan oleh wanita. Bukan tak boleh, tapi menjadikan chef sebagai kerjaya dan peranan sebagai ‘chef’ di rumah berbeza ye. Kalau di rumah, perkakas yang digunakan berbeza di hotel-hotel yang berat dan besar. Kadangkala tak terlarat kudrat seorang wanita!

Pada zaman sekarang, lelaki yang pandai masak bukan lagi perkara asing. Bahkan kadangkala air tangan mereka lebih lazat daripada perempuan. Sebaliknya, ramai anak dara zaman sekarang yang liat nak masuk ke dapur. Mak ayah pula tak galakkan, alasannya biarlah tumpukan pada pelajaran. Lagi pun bibik ada.

Tapi belajar ilmu rumah tangga seperti memasak dan mengemas rumah juga penting, Bukan sebab nak kahwin saja, tapi ia adalah keperluan untuk kehidupan seharian. Ini, ada yang masak nasi pun hangit! Belum sentuh bab ke pasar. Agak-agaknya ramai tak anak dara zaman sekarang yang terror dan kenal rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan. Jika ke pasar, tahukah mereka jenis ikan yang hendak dibeli?

Ads

Mak Ayah, Tolong Biasakan Anak Lelaki Dengan ‘Bau Pasar’!

Anak lelaki pun sama, kena diajar semua perkara ini sejak kecil. Barulah tak menyusahkan isteri kelak. Jadi, jangan takut nak bawa anak-anak lelaki ke pasar. Jangan takut baju mereka kotor dan berbau busuk.Mak ayah pun satu, dah tahu nak ke pasar, janganlah pakaikan anak-anak baju cantik. Kalau badan berbau busuk terkena air ikan dan sebagainya, balik boleh mandi. Biarkan saja mereka pegang ikan, sotong dan segala sayuran yang dijual di pasar. Terangkan pada mereka setiap apa yang mereka pegang itu.

Ads

Bila bercakap soal pasar, saya tak ada anak perempuan tapi anak lelaki tunggal saya yang berusia 15 tahun sudah biasa ke pasar. Dia sudah tahu, setiap Sabtu dan Ahad. dia akan mengikut saya dan suami ke pasar. Kata suami, dia nak anak kami biasa dengan bau pasar, kenal ikan, kenal sayur. Jangan pandai makan saja. Suami juga akan beritahu tentang harga setiap barangan yang dibeli agar anak dapat belajar tentang harga pasaran barangan basah yang dijual di pasar.

Ads

Jika dulu pernah minta dibeli serai untuk memasak tom yam, hanya sebatang dibelinya kerana dia tak dapat agak jumlah yang sepatutnya dibeli. Kini dia makin ‘advance’, dah pandai memilih dan membezakan ikan yang segar atau tidak, sudah tahu harga semasa barangan basah, mengalahkan diri saya sendiri.

Di rumah, dia juga sudah biasa membantu saya di dapur. Malah, dia lebih pandai memasak nasi berbanding saya. Nasi yang dimasaknya sedang elok, tak terlalu lembek dan tak terlalu keras. Dia pernah beritahu, kawan-kawan perempuan sekelasnya di sekolah ramai yang tak pandai masak nasi. Tepuk dahi saya mendengarnya!

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI